Nasi Goreng Berkat
12:44 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Malam tadi Encik Suami pergi tahlil di kampung. Balik rumah, kita sudah tidur. Encik Suami kejutkan kita. Katanya ada nasi berkat dengan kuih yang dibawa dari tempat kenduri. Hendak makan tak? Kita kata, simpan sajalah dalam peti sejuk. Esok pagi boleh goreng nasi berkat buat sarapan.
Pagi tadi, terlupa ada nasi berkat dalam peti sejuk. Agaknya malam tadi antara dengan sedar dengan tidak saja, mulut kata hendak buat nasi goreng.
Balik dari pasar tani, baru teringat!
Jadi, kami sarapan sajalah apa yang dibeli di pasar tani.
Tentang nasi berkat itu, kita hendak goreng juga. Tapi perut masih kenyang makan nasi khao mok dengan pulut kuning sambal kerang. Encik Suami pun katanya masih kenyang juga makan kuih-muih. Teringat Firdaus yang akan balik dari kelas tuisyen pukul 12:00 tengah hari. Firdaus memang suka makan nasi goreng, tapi yang bertelur dan pedas dengan potongan cili padi.
Wokey!
Goreng sajalah nasi berkat itu tadi.
Nasi Goreng Berkat |
Nasi Berkat Cocos |
Sama juga dengan orang kampung kami di Bukit Hijau, orang Cocos pun ada nasi berkatnya kalau kenduri seperti majlis tahlil.Nasi berkat di sini biasa berlauk ikan dan ayam goreng, sambal kates (betik), telur masin dan lain-lain. Di bawah lauk itu ada serondeng ikan (tak nampak).
Kuih-muih yang dibawa pulang. |
Selain membawa pulang nasi berkat, tetamu yang pulang turut membawa kuih-muih.
Kita pisahkan lauk-pauk, dan ambil nasi dengan serondeng ikan sahaja untuk digoreng. Oleh kerana Firdaus suka telur, jadi kita pecahkan dua biji telur untuk digoreng bersama nasi. Cili padinya pula kita letak bulat-bulat. Nanti kalau Firdaus hendak makan nasi goreng, pandai-pandailah dia pucut nak bagi rasa pedas. Warna nasi goreng berkat kelihatan oren kemerahan dari warna serondeng ikan. Ikan goreng dan ayam gorengnya pula kita panaskan dalam air fryer.
Nasi Goreng Berkat |
Sudah pukul 12:40 tengah hari. Firdaus belum sampai rumah. Tahulah kami, bapa Khalid bawa Firdaus makan tengah hari dahulu sebelum dihantar pulang. Setiap kali pergi tuisyen, Encik Suami yang hantar Firdaus dan Khalid. Pulangnya, ayah Khalid yang ambil. Khalid selalu beritahu, kalau balik lambat maknanya mereka makan di luar.
Apabila Encik Suami melihat ada nasi goreng, tiba-tiba dicapainya pinggan dan disenduknya nasi goreng! Eh, kata tak nak makan. Lama tak makan nasi goreng katanya!
9 comments
so jgn bagitau firdaus ada nasi goreng laa kan? 🤣🤣
BalasPadamHahahaa... dia dah kenyang makan bersama Khalid.
PadamHahahah.. ni sama dgn PI la, kata tak nak makan tapi kalau kita masak, dia yg mula² duduk di meja. Kira tak sia² la kak Amie goreng nasi berkat, dah ada yg lapar tuuu.
BalasPadamSelalulah dia begitu SK.
PadamKadang tanya nak makan tak, jawabnya tak. Bila kita masak, dialah yang teruja hendak makan.
Unik ye nasi berkat orang cocos. Rindu nak dapat nasi berkat kalau ada kenduri.
BalasPadamUniknya sudah berkurangan Notie. Sekarang diorang tempah sahaja, yang tradisinya semakin hilang.
PadamMirip dengan tradisi disini Mbak bila ada kenduri. Pulang kenduri biasanya dibekali berkat, isinya biasanya nasi dengan temannya (semisal daging rendang/daging ayam, sambal goreng, bihun/mie) ditambah dengan beberapa jenis kue.
BalasPadamSalam,
Alhamdulillah.
PadamBudaya kita tidak jauh bezanya. Syukurlah masih ada amalan yang sebegini, tidaklah pupus begitu sahaja ditelan zaman.
Nasi berkat ini biasanya banyak di Jawa. Seperti kata mas asa. Tp di JKT, jangan haraplah mudah menemukan ini 🤣. Dah langka orang kenduri bagi nasi berkat. At least di lingkungan rumah saya tak ada
BalasPadam