Huh! Awal pagi lagi Encik Suami bawa kami bujang tengah dengan si bongsu ke Dewan Masyarakat Lahad Datu. Rupanya ada aktiviti bersama YB di situ. Sempat jugalah kami menyaksikan penyampaian laptop 1Malaysia kepada orang ramai. Sebelum pulang, kami sempat menjejak kaki ke pasar ikan dan pasar sayur. Sampai ke rumah, menjelang pukul 12. 15 tengahari dan sudah masuk waktu Zuhur. Oleh kerana Encik Suami ada urusan kerja selepas pukul 1 tengahari, kelam-kabutlah Amie masak supaya kami boleh makan tengahari bersama. Itu pun, semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, Amie telefon si bujang sulung supaya masak nasi! Wokeh... dalam tempoh tidak sampai satu jam, siaplah hidangan tengahari kami yang ringkas tapi melelehkan peluh di dahi dan hidung bila menikmatinya!
Amie rebus saja ikan bolu @ milkfish dengan serai dan daun limau purut. Untuk sayurnya pula Amie tumis peria dengan hati ayam dan tidak ketinggalan sebagai pelengkap hidangan, Amie tumbuk sambal belacan! Pertemuan Sambal Belacan dengan Ikan Bolu Rebus Berserai itu yang buat meleleh peluh dari dahi dan hidung tu!
Resepi : Ikan Bolu Rebus Berserai
Sumber : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
1 ekor ikan bolu seberat 700 gram - bersihkan dan potong 6 bahagian
2 keping asam gelugur
2 batang serai - dititik
5 helai daun limau purut
2 biji tomato - belah 4
3 biji bawang putih - pecahkan
1 labu bawang besar - mayang kasar
1 sudu teh serbuk kunyit
garam & perasa pilihan secukupnya
7 biji cili padi
500ml air
Cara:
1. Didihkan air dalam periuk.
2. Masukkan serai, bawang putih, bawang besar, serbuk kunyit, asam gelugur dan cili padi. Biarkan sehingga air mendidih.
3. Masukkan ikan bolu dan biarkan selama 7 minit atau sehingga masak.
4. Masukkan garam dan perasa pilihan serta tomato.
5. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.
Sayur peria ini Amie tidak ramas dengan garam untuk kurangkan rasa pahitnya sebab peria jenis begini tidaklah pahit sangat rasanya. Pahit-pahit peria sebenarnya elok sangat untuk kesihatan.
Resepi : Peria Goreng Hati Ayam
Sumber : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
1 biji peria seberat 300 gram - bersihkan dan hiris nipis (jika ingin kurangkan pahit, ramas dengan sedikit garam dan bilas bersih)
4 keping hati ayam - potong ikut cita rasa
1 biji telur
1 biji cili merah - hiris
2 biji bawang putih - hiris
3 biji bawang merah - hiris
1 sudu serbuk pati ayam Maggie
minyak
Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang merah, bawang putih serta cili merah hingga naik bau.
2. Masukkan hati ayam dan gaul rata. Gunakan api sederhana perlahan dan tutup kuali. Kacau hati sekali-sekala sehingga masak.
3. Masukkan peria dan gaul sebati bersama serbuk pati ayam Maggie sehingga peria bertukar warna.
4. Pecahkan telur dan biarkan seketika sebelum digaul rata.
5. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.
Resepi : Sambal Belacan
Sumber : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
10 biji cili padi
1 biji cili merah
1 labu bawang besar
3cm belacan
1 biji tomato - cincang
3 biji limau kasturi - ambil jusnya
garam & gula secukup rasa
Cara:
1. Tumbuk cili padi, bersama cili merah, belacan dan bawang tetapi jangan terlalu lumat.
2. Lenyekkan tomato cincang di dalam lesung.
3. Masukkan garam, gula dan jus limau kasturi. Gaul hingga sebati.
4. Sedia untuk dihidangkan.
Amacam? Ringkas bukan? Tapi memang menyelerakan... jom makan sama!