Sebab apa sampai buat dua hari berturut-turut? Tak lain tak bukan sebab sedaplah...... kan! Kali pertama buat dapat 20 keping. Disebabkan murtabak segera ini kecil comel, jadi cepatlah masuk ke perut! Ditambah pula dengan inti burger daging kesukaan anak-anak, lagilah dideranya kita supaya buat lagi!
Terima kasih EMBUN ROSALIZA kerana sudi berkongsi resepi yang sangat mudah tapi enaknya tak terkata! Mula-mula Amie buat murtabak segera ikut versi asal, gunakan daging burger dan kentang. Habis licin 20 keping tak tinggal sisa! Lepas tu buat lagi versi lain ikut permintaan anak-anak, masih gunakan daging burger tapi bubuh sayur kobis pulak! Dapat 16 keping.
Pun habis licin!
Kawan-kawan, untuk resepinya sila ketuk pintu dapur EMBUN ROSALIZA ye.... tok tok tok!
Berkat sabar menanti dan mencari akhirnya Amie temui resepi Nasi Ayam Penyet idaman! Terima kasih daun keladi buat Cikgu Warite Laeda yang sudi berkongsi resepi Nasi Ayam Penyet ini. Ketika sedang menyampuk-nyampuk cerita tentang resepi ini tiba-tiba ada seorang ibu ingin berurusan dengan Amie tentang masalah kehadiran anaknya. Jadi Amie pun tergesa-gesa meninggalkan meja Cikgu Warite, tetapi dapat juga mencatat beberapa bahan yang diperlukan tanpa sempat bertanya berapa sukatannya dan bagaimana cara memasak tiap-tiap bahan tersebut.
Inilah hasilnya Nasi Ayam Penyet versi terbaru yang Amie sediakan untuk juadah berbuka bersama keluarga kecil kami. Sebaik sahaja keluar dari pintu pagar sekolah, kepala Amie memang sudah penuh dengan pelbagai bahan yang perlu disediakan untuk menghasilkan hidangan ini. Lewat pukul 3 petang Amie sampai ke rumah, dan ketika menidurkan Firdaus Amie pun ikut tertidur sehinggalah pukul 4.30 petang. Nampaknya Amie perlu segera bersilat di dapur memandangkan waktu berbuka puasa hari ini pukul 6.25 petang.
Setelah merasai sendiri keenakan Nasi Ayam Penyet versi istimewa ini, Amie cadangkan supaya rakan-rakan mencubanya, dan jangan bertangguh sebab bila asyik bertangguh memang tak akan jadi sampai bila-bila. He hehehhe... apalah Amie ni, nasihatkan orang pulak ye, suka hatilah orang nak buat ke tidak, ye tak! Oh ya! Antara sebab resepi ini sungguh istimewa:
1. Ayam direbus sehingga separuh masak bersama air kelapa dan rempah-rempahan, dan kemudian dipenyet (ditekan - Amie tekan dengan permukaan parang belitung sehingga tulang ayam patah). Selepas itu panggang ayam hingga masak.
2. Tempe dan tauhu direbus terlebih dahulu dengan air kelapa bersama beberapa bahan yang lain termasuk gula merah, ketumbar serta bawang.
3. Sambal ulek yang sungguh enak... kesemua bahan digoreng terlebih dahulu dan kemudian diulek - oleh kerana Amie tidak ada 'pengulek' Amie tumbuk saja dalam lesung!
4. Sepatutnya ada keropok melinjo - disebabkan Amie pun asyik terkejar-kejar dengan 'masa' habis lintang pukang semua bahan yang hendak dibeli sehingga terlupa untuk membeli keropok melinjo di pasar. Jadi cacatlah sikit Nasi Ayam Penyet Amie kali ini sebab tak cukup aksesori.
Apa yang Amie sebutkan di atas merupakan ilmu yang disampaikan oleh Cikgu Warite yang diturunkan secara lisan kepada Amie pada pukul 11.05 minit pagi tadi. Jadi, sekarang Amie perturunkan pula ilmu tersebut secara tulisan melalui perkongsian maya bersama teman-teman semua.
Bila Cikgu Warite sebut tentang air kelapa tua, tertanya-tanya pula mana nak cari! Cikgu Warite kata, minta saja dengan penjual kelapa parut di pasar. Amie pun minta air kelapa tua dengan penjual kelapa parut, tapi katanya kelapa tua tak ada air, yang ada cuma tombongnya saja. Penjual kelapa parut tadi suruh anaknya cari beberapa biji kelapa yang agak muda, dan dapatlah Amie air kelapa daripada 3 biji kelapa! Sebenarnya, Amie konon-konon beli kelapa parut dulu, barulah minta air kelapa! Memang tak dijual pun, tapi Amie hulur juga sebab lain kali taklah segan nak minta lagi he he ehhhh....
Wokey, di bawah ini Amie turunkan resepi Ayam Penyet seperti yang disebutkan oleh Cikgu Warite. bagaimana pun segala bahan yang digunakan Amie gunakan sukatan sendiri. Amie tidak sempat pula bertanya adakah serai perlu dikisar atau hanya dititik sahaja. Amie kisar semua bahan menjadi satu. Dan sukatan air kelapa pun, Amie bubuh ikut agak-agak sendiri.
Ayam Penyet
Bahan:
3 keping daging ayam bahagian peha
4 cawan air kelapa
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 sudu teh jintan putih
1 sudu teh jintan manis
1 sudu makan ketumbar biji
1 batang serai
2cm lengkuas
2cm halia
2cm kunyit hidup
Cara:
1. Masukkan kesemua bahan di atas ke dalam periuk.
2. Didihkan dengan api sederhana sehingga ayam separuh masak.
3. Toskan daging ayam.
4. Tekan / penyetkan daging ayam - Amie gunakan permukaan parang belitung sehingga tulang ayam kedengaran patah.
5. Panggang daging ayam sehingga masak.
Jangan lupa Sambal Ulek sebagai pelengkap Nasi Ayam penyet. Tanpa Sambal Ulek, Nasi Ayam Penyet tak ada ertinya hohohooooo....
Sambal Ulek
Bahan:
1 genggam cili padi - kalau takut pedas gunakanlah dalam kuantiti yang sedikit
3cm belacan
7 biji bawang merah - hiris kasar
2 biji tomato - belah 8
minyak
garam / gula / perasa pilihan
Cara:
1. Goreng kesemua bahan di atas kecuali garam / gula / perasa pilihan.
2. Untuk hasil yang lebih memuaskan gunakan lesung 'ulek', tapi kalau tak ada memadailah gunakan lesung batu macam Amie gunakan.
3. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
Nota : Komen anak-anak & Encik Suami : Sambal Ulek sangat sedap!!!!!
Seterusnya kita tutorial Tempe dan Tauhu Bacem pula. Amie pun tak sempat nak tanya Cikgu Warite berapa banyak sukatan air kelapa untuk merebus kedua-duanya, boleh atau tidak direbus campur atau perlu berasingan dan lama mana bahan-bahan ini hendak direbus. Di bawah ini amie turunkan resepinya ikut olahan Amie ye.
Tauhu & Tempe Bacem
Bahan:
potongan / kepingan tempe secukupnya - 2 batang - dipotong 7 setiap satu batang
potongan / kepingan tauhu secukupnya - 4 keping dibelah 2
air kelapa - agak-agak atas paras tauhu dan tempe
minyak
Bahan kisar:
1 sudu makan ketumbar biji - disangai terlebih dahulu
gula merah atau gula batu - sebesar 2 ibu jari
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
garam / gula / perasa pilihan
Cara: Amie rebus berasingan
1. Bahagikan bahan kisar kepada 2 dan masukkan dalam periuk.
2. Tambahkan air kelapa secukupnya ke dalam periuk.
3. Masukkan tempe dan tauhu ke dalam periuk masing-masing.
4. Masak sehingga kuah mengering.
5. Panaskan minyak dan goreng bahan tadi hingga masak.
Nota: Sesungguhnya ini merupakan kali kedua Amie makan Tempe & Tauhu Bacem setelah hampir 3 tahun mencari resepi ini! Kali pertama Amie makan Tempe Bacem... di Bandung!
Komen : Enaknya Tempe Bacem sungguh tak terkata! Bayangkan setelah direbus dengan pelbagai bahan, digoreng pula!
Ini Tauhu Bacem. Pada mulanya Amie bayangkan tauhu akan melekat dalam kuali akibat direbus, tetapi sangkaan Amie salah sama sekali! Jadi... kawan-kawan, jangan takut mencuba! Bila digoreng, tauhu tidak meletup-letup seperti byang dijangkan sebelumnya!
Sampailah masa untuk menghidangkan Nasi Ayam Penyet. Sediakan nasi putih secukupnya, Ayam Penyet, Sambal Ulek, Tempe Bacem, Tauhu Bacem, ulam daun kemangi, terung goreng & timun serta keropok melinjo!
Akhirnya Amie temui jua resepi Biskut Tart Nenas yang dapat memenuhi citarasa Amie selama ini! Terima kasih Raihanna dari SWEET V@NiLL@ kerana sudi berkongsi resepi yang diperolehi daripada mamanya yang belajar buat resepi ini daripada seorang peniaga kuih tart. Jemput ke dapur Raihanna untuk tutorial selanjutnya, dan anda pasti teruja untuk mencuba resepi ini sendiri.
Alhamdulillah, Amie sangat berpuas hati dengan penerangan panjang lebar daripada Raihanna sebelum mencuba tart versi ini. Kata Raihanna, gunakan butter yang sedap, kulit tart tidak boleh tebal sangat untuk elak rasa muak, dan inti jem mesti mau banyak! Katanya lagi, untuk mendapatkan tart nenas bentuk buah seperti di bawah ini, tidak boleh gunakan jem yang cair, tidak boleh gunakan doh yang gebu seperti tart gulung kerana bila masak, biskut akan mengembang dan jadi penyek. Jadi, adunan tart yang Amie paparkan ini ikut arahan Raihanna supaya tidak gunakan tepung jagung atau tepung kastard seperti kebiasaan dalam membuat tart.
Tahukah anda kenapa tart nenas Amie teramatlah montelnya? Adeeehhhh.... untuk hari ini nampaknya ini sahajaah yang dapat Amie hasilkan. Pada mulanya memang hendak menyiapkan beberapa jenis biskut tapi.....
Pada mulanya, Firdaus tidur dengan lena sekali. Amie pun dengan senang hatinya menyelinap ke dapur, tinggalkan Firdaus dalam buaian bersama Encik Suami dan abang-abangnya. Ketika Amie menguli doh, terdengar rengek-rengek Firdaus....
Makin lama makin kuat.... rupa-rupanya Firdaus menangis! Dan tangisannya berlarutan sampailah Amie siap membakar biskut ini. Entah berapa kali Encik Suami bawa Firdaus ke dapur! Aduhai sayangggggg.... akhirnya tart yang dihasilkan tak nampak rupa seperti yang dibayangkan!
Sebenarnya Firdaus ingin bermain-main, dan dilayan bercakap. Tapi semua 'penjaganya' mengantuk dan pakat tidur ramai-ramai. Itu yang buat Firdaus tambah mengamuk tu... kesian sayang Mummy, habis bengkak mata menangis ye sayang! Tak apalah, biar biskut tart nenas Mummy jelek rupanya, asalkan sedap rasanya. Besar nanti bantu Mummy gentel inti tart ya... bolehlah kita bakar banyak-banyak sebab biskut tart nenas ni kegemaran Mummy.
Inilah hasil kerja bila dah kelam kabut nak cepat siap. Lintang pukang dah tak tentu hala kedudukannya. Kalau boleh nak buat besar-besar penumbuk biar cepat siap ha hahahhaaa.... iyelah kalau dah dengar Firdaus menangis, rasa nak terus dukung dan peluk-peluk. Apa pun siap jugalah tart gemuk gedempul, tak sama saiz, ada yang lonjong, ada yang tirus dan ada yang bulat tapi semuanya sempat Amie bubuh tangkai batang bunga cengkih.
Jom semak resepinya.
Resepi : Biskut Tart Nenas Bentuk Buah
Sumber : Raihanna SWEET V@NiLL@
Bahan untuk inti : Jem Nenas
2kg nenas anggaran 2 biji - parut
2kg nenas anggaran 2 biji - parut
400 gram gula pasir
1 sudu teh essen vanilla
3 titik pewarna kuning
sebatang kulit kayu manis jika suka
Cara:
1. Buangkan sedikit air nenas yang diparut tetapi jangan sampai kering.
2. Satukan semua bahan di atas di dalam rice cooker dan kemudian tekan 'on'.
3. Biarkan periuk tidak bertutup untuk mengelak air nenas membuak-buak, dan bila air mula kering sedikit bolehlah tutup rice cooker.
4. Pastikan jem benar-benar kering sebelum diangkat, dan sekiranya butang button rice cooker terangkat, sila 'on' kembali sehingga jem kering.
5. Tapis jem, dan simpan dalam peti sejuk supaya jem menjadi agak keras sedikit. Struktur jem nenas nampak cantik dan kelihatan bertali kerana diparut.
6. Gentel dan bulat-bulatkan jem mengikut saiz yang dikehendaki untuk memudahkan kerana selanjutnya.
Bahan untuk doh tart
Bahan A:
1 kg tepung gandum
630 gram butter pada suhu bilik
Bahan B:
4 biji kuning telur
1 biji putih telur
2 sudu teh essen vanilla
sedikit pewarna kuning
sedikit garam
Bahan lain:
bunga cengkih secukupnya
1 biji telur & pewarna kuning lemon - satkan, dan pukul ringan
Cara:
1. Uli Bahan A sehingga rata.
2. Satukan Bahan B, cukup sekadar ratakan, tak perlu dipukul.
3. Masukkan Bahan B ke dalam Bahan A.
4. Uli dengan tangan sehingga menjadi doh.
5. Ambil sedikit doh dan leperkan.
6. Masukkan jem, dan leperkan jem tadi.
7. Tutup semula doh dan bulatkan ia supaya tertutup rapatdan kelihatan kemas.
8. Kemudian bentukkan supaya menjadi lonjong.
9. Gunting permukaan doh menjadi bentuk segi tiga tetapi jangan sampai putus .
10. Cucuk batang bunga cengkih menjadi tangkai atau sebagai hiasan.
11. Sapukan telur yang telah dipukul dengan pewarna kuning lemon.
12. Bakar dalam ketuhar bersuhu 180'C selama 30-40 minit.
Selamat mencuba, buat cantik-cantik dan dalam keadaan tenang dan bukannya kelam-kabut macam Amie petang tadi ye... he he ehhh. Yang ini Amie makan-makan gitu je, bukan untuk hidangan raya ... nampak montelkan macam pipi Firdaus!
Tentu ada sesuatu yang istimewa ketika menikmati Mango Casablanca sehingga ingin mengulang makan berkali-kali!
Teman-teman yang menempah Mango Casablanca nampaknya sangat berpuas hati dan kesemuanya menyatakan hasrat untuk menampah lagi. Semua tau.... bukan sebahagian daripada mereka, dan 2/3 daripadanya telah 2 kali menempah dari Amie!
Nak tahu keistimewaannya? Cubalah sendiri resepi di bawah ini. Harga mangga di Sabah tersangatlah mahal sehingga Amie sendiri berfikir 2 - 3 kali untuk membelinya! Ketika Amie pulang ke Selangor pada Mei lepas, Amie bawakan Bonda beberapa biji mangga udang yang besar-besar, tetapi bila Amie mengunjungi beberapa buah pasar malam Amie tidak dapat menahan gelora rasa dari membeli buah mangga di sana! Bayangkan kalau 3 - 4 kilo dengan harga RM10 sahaja! Sudahlah manis, elok lagi buahnya. Jadi Amie pun angkutlah mangga dari pasar malam bawa pulang ke Lahad Datu. Percaya atau tidak, mangga yang dijual dengan harga RM10 untuk 3-4 kg di sana, di sini berharga RM10 untuk sekilo dan adakalanya mencecah sehingga RM11 atau RM12 dan kalau tak ada pilihan terpaksalah beli mangga dari Philipine dengan harga RM10-20 selonggok... nama saja longgok (macam banyak bunyinya ye), balik rumah bila ditimbang cuma 1.5kg untuk harga RM20. Itu pun kira nasib baiklah kalau rasanya manis sebab luaran saja nampak kuning cantik, tapi sebenarnya dipaksa masak he heheheh.
Wokey, lupakan tentang harga mangga! Asyik berkira-kira nak membeli mangga, akhirnya terliur-liur tak jadi makan Mango Casablanca pulak. Anak-anak dah mula merungut, katanya Amie hanya buat Mango Casablanca untuk tempahan saja, sedangkan untuk mereka Amie tak buat. Iyelaaa... sayang Mummy. Petang ini Mummy buatkan sayang semua Mango Casablanca yang sangat sedap itu! Jaga ya... kalau tak habis seloyang, Mummy tak mahu buat lagi... ha ahahhhhhh!
Nampaknya tak sia-sialah usaha Amie dengan Cikgu Fauziah Biran mencari dan mengorek resepi Mango Casablanca selama berbulan-bulan beberapa tahun lepas. Maklumlah, tak dapat korek daripada tuan punya yang menjual Mango Casablanca ini, akhirnya berkat usaha gigih kami menyelidik dengan lebih lanjut tentang rasanya, mencuba dan mencuba dan terus mencuba, dapatlah dikongsikan bersama resepinya di sini dan telah beberapa kali dikongsi dalam entri yang lepas-lepas..
Resepi: Mango Casablanca
Sumber : Fauziah Biran & Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
27 keping Biskut Cream Crakers
1 kg mangga masak ranum - kupas kulit dan hiris nipis
250 gram Philadelphia Cream Cheese - kali ini Amie gunakan jenama Anchor
2 tin (300gram setiap 1 tin) Nestle Cream
300ml Sweeted Cream - boleh gunakan sukatan sendiri untuk rasa manis yang dikehendaki
susu cair - pilihan (Amie tidak gunakan)
bekas persegi ukuiran 8" X 8"
Cara:
1. Pukul Philadelphia Cream Cheese / Anchor Cream Cheese, Nestle Cream dan Sweeted Cream menggunakan mixer sehingga kembang.
2. Ambil satu senduk besar campuran krim di atas dan tuang merata di bahagian dasar bekas persegi.
3. Susun 3X3 biskut berjumlah 9 keping.
4. Tuangkan satu senduk campuran krim dan sapu merata di atas susunan biskut.
5. Susun kepingan hirisan mangga di atasnya.
6. Tuangkan satu senduk lagi campuran krim dan sapu merata di atas susunan biskut.
7. Susun lagi 3X3 biskut sebanyak 9 keping.
8. Ulangi langkah 4, 5 dan 6 sehinggalah habis 27 keping biskut.
9. Tuangkan lebih sedikit campuran krim ke atas kepingan biskut yang terakhir.
9. Tutup bekas persegi tadi dan masukkan ke dalam peti sejuk. Sekiranya ingin dinikmati segera, bolehlah simpan di bahagian beku selama 1 jam tetapi sekiranya tidak untuk segera dimakan, bolehlah simpan di bahagian bawah sahaja sehingga sejuk.
10. Keluarkan bekas dari peti sejuk, dan potong untuk dinikmati.
Amie gunakan loose bottom cake pan, supaya lebih mudah untuk keluarkan Mango Casablanca sekiranya hendak dipotong.
Gunakan mangga masak ranum. Amie gunakan mangga manila. kalau ada mangga harum manis lagi sedap!
Sebelum ini kalau Amie potong rupa Mango Casablanca sangatlah jeleknya... kali ini okey sikit he he ehhhh!
Jom jamu mata dengan Puding Yogurt Belahan Jiwa.... hasil sentuhan jari jemariku yang berjumlah 5 di tangan kiri dan 5 di tangan kanan!
Menyiapkannya tidaklah serumit mana.
Tapi nak menerangkan cara penyediaannya tu yang rumit.
Idea mengolahnya datang secara spontan, ada bahan yang terpandang di depan mata terus masuk dalam periuk lebur dengan agar-agar!
Terasa lucu pula bila melihat hasilnya.....
Entah apa-apa Amie ni.... tak pasal-pasal bagi nama Puding Yogurt Belahan Jiwa! He he ehh... mungkin disebabkan salah satu bahannya daripada yogurt kot.
Santai-santai dulu kawan.... resepinya kemudian ye, nak imbas kembali cara Amie buat puding ni dua minggu lepas!
Amie copy paste dari entri Amie yang lalu di MALAM KETUPAT.
Pernah dengar istilah malam ketupat? Malam ketupat merupakan amalan tradisi masyarakat Melayu Cocos menyambut malam ke 15 sempena berpuasa di bulan Ramadhan. Pada malam tersebut, biasanya mereka akan membawa ketupat ke masjid dan akan bertukar-tukar ketupat selepas solat terawih sesama mereka. Isi ketupat terdiri daripada beras pulut, dan adakalanya diisi dengan kacang tanah, atau kacang hijau dan juga udang kering, dan ada juga yang kosong begitu sahaja.
Bentuk anyaman kelongsong ketupat sama saja dengan yang kita buat, cuma isinya sedikit berbeza dengan penambahan bahan. Hanya ketupat sahaja yang dibawa untuk ditukar, dan Amie buat sendiri sambal kacang di bawah ini untuk cicah dengan ketupat.
Tradisi Malam Ketupat memang unik! Amie tidak pasti sekiranya ada amalam begini dalam masyarakat berbilang keturunan di negara kita.
Jom nikmati secawan teh 'O' panas kurang manis dengan Puff Pastry Inti Kari Ayam & Kentang. Ada sesiapa nak ikut kami 'dating' di bawah sinar bulan Ramadhan yang kelam ditutup awan, dan tidak pula kelihatan walau sebutir bintang yang berkerlipan di langit malam! Alahai... tak puitis langsung gambaran alam kali ini iye....
Ada waktu-waktunya Firdaus 'keluarkan tingkah' atau 'jual tingkah'... istilah Melayu Cocos kalau tiba-tiba ada orang meragam! Akhir-akhir ini asyik minta ditimang-timang, minta dilayan segala gelak tawanya, dan pandai pula mengamuk kalau penat meniarap atau sesekali agak kepayahan untuk meniarapkan badannya. Kalau lambat sikit siapkan susunya, alamat meraunglah bujang kenit kami ini sampai bingit satu rumah! Tapi... semuanya sungguh menghiburkan!
Tidak kiralah, sama ada petang atau pagi Firdaus bertingkah, Mummynya tetap juga ambil kesempatan ke dapur. Bukan lagi gaya lipas kudung, tapi dah berkudung-kudung pulak jadinya!
Sekarang Firdaus sedang lena, jadi dapatlah Mummynya mengemas dapur dan hidangkan Puff Pastru Inti Kari Ayam & Kentang untuk rakan-rakan maya. Resepinya biasa saja, tapi Amie paparkan juga di sini. Manalah tahu satu hari nanti anak-anak kami yang pernah merasa air tangan Mummynya ini tiba-tiba teringin nak makan, jadi bolehlah buat sendiri mengikut resepi seperti di bawah ini.
Resepi : Puff Pastry Inti Kari Ayam & Kentang
Olahan : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
10 keping puff pastry - jenama KAWAN (nyahbekukan - ikut arahan yang tertulis pada bungkusan)
1 biji telur - pukul ringan
Bahan inti:
1/2 cawan cincangan isi ayam
1/2 cawan kentang dipotong kecil / dadu
2 sudu makan serbuk kari daging
3 batang daun / pokok ketumbar - hiris halus
1 ulas bawang putih - cincang
2 biji bawang merah - cincang
1 cawan air
sedikit minyak
garam / gula / perasa pilihan
Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang putih serta bawang merah hingga harum.
2. Masukkan serbuk kari daging, dn perlahankan api. Kacau sebati.
3. Masukkan cincangan isi ayam serta potongan kentang.
4. Masukkan air dan biarkan mendidih sehingga daging ayam dan kentang empuk.
5. Apabila masakan menjadi pekat, perasakan dengan garam / gula n/ perasa pilihan.
6. Masak seketika sehingga kuah hampir kering.
7. Tutup api dapur, dan masukkan kari ayam dan kentang ke dalam bekas. Ketepikan.
8. Ambil sekeping puff pastry dan potong menjadi dua. Terpulang untuk potong bentuk 3 segi atau 4 segi sama.
9. Kelar-kelar sedikit salah satu bahagian puff pastry yang dipotong. Ketepikan.
10. Ambil satu sudu makan atau secukupnya inti kari ayam & kentang dan bubuh dengan berhati-hati di atas kepingan puff pastry yang satu lagi.
11. Ambil kepingan puff pastry yang dikelar dan tutup / cantum seluruh permukaan inti tadi.
12. Gunakan hujung garfu untuk menekan sekitar / keliling / tepi puff pastry.
13. Sapukan telur di permukaan puff pastry.
14. Bakar di dalam oven yang telah dipanaskan 15 minit awal pada suhu 180'C selama 20 minit.
Ini lagi satu hasil akibat sering menerima tempahan Mango Casablanca. Akhirnya terciptalah satu resepi Puding Mango Casablanca pula!
Walaupun Mango Casablanca di dalamnya tampak kurang kemas, tapi abaikan saja sebab ini versi percubaan... he hehh kali pertama buatlah kononnya! Lain kali boleh buat penambahbaikan supaya lebih sedap mata memandang selain sedap ketika dinikmati. Memang rasanya sedap sekali, sebab antara bahan pudingnya Amie tambahkan 250 gram puri mangga!
Selain bahan untuk puding bahagian luarnya, bahan-bahan di bawah ini diperlukan untuk dijadikan intinya.
Resepi : Puding Mango Casablanca
Olahan : Amie's Litttle Kitchen
Bahan-bahan:
1 paket agar-agar tali - 20 gram
1 tin susu cair
1 tin susu pekat - 505 gram
1 sudu kecil asen vanilla
4 keping roti gardenia
1 biji telur
1 sudu besar mentega
250 gram puri mangga
5 cawan air
pewarna kuning telur
Bahan inti:
125 gram cream keju - Amie gunakan jenama Anchor
1 tin cream Nestle
3/4 cawan susu pekat
kepingan biskut cream crakers secukupnya
hirisan mangga masak ranum secukupnya
Putar cream keju hingga kembang, dan kemudian masukkan cream Nestle. Putar lagi hingga sebati dan akhir sekali masukkan susu pekat dan putar perlahan sehingga rata. Ketepikan
Cara :
1. Masak agar-agar dengan 5 cawan air sehingga mendidih dan agar-agar hancur.
2. Kisar roti gardenia, telur, susu cair, susu pekat, puri mangga, pewarna kuning telur, esen vanila & mentega.
3. Masukkan bahan kisar ke dalam periuk agar-agar yang sedang mendidih. Kacau seketika.
4. Tuangkan sebahagiannya ke dalam bekas empat persegi / atau bekas pilihan.
6. Sejukkan selama 5-7 minit dalam peti sejuk bahagian atas. Keluarkan dari peti sejuk.
7. Ambil satu senduk bahan yang diputar dan ratakan di bahagian tengah puding.Jangan sampai ke tepi.
8. Susun 4 keping biskut cream crakers.
9. Ambil lagi satu senduk bahan putar dan ratakan diatas biskut tadi.
10.Susun pula hirisan mangga hingga menutupi bahagian berkrim tadi.
11. Ambil lagi satu senduk bahan putar dan ratakan di atas hirisan mangga.
12. Ulangi langkah7, 8 dan 9. Jika ingin lebih banyak boleh buat sehingga 3 lapisan biskut dan 2 lapisan mangga, dan setiap satu lapisan hendaklah dilapis dengan bahan berkrim.
13. Akhir sekali tuang semua baki puding dengan berhati-hati sehingga menutupi keliling dan atas mango casablanca tadi.
14. Sejukkan, dan bolehlah dipotong untuk dinikmati setelah puding menjadi keras.
Walaupun agak comot tapi Amie berpuas hati kerana dapat menghasilkan puding yang tersendiri. Mango Casablanca memang sedap, tapi jika dikreativitikan bertambahlah lazatnya!
Selalunya hanya rupa paras Mango Casablanca seperti gambar di bawah ini sahaja yang dapat Amie kongsi.
Tapi kali ini Amie dapat kongsikan rupa mango Casablanca walaupun hanya sedikit (sebagai inti), sebagai versi percubaan untuk menghasilkan Puding Mango Casablanca.
Jika ingin mencuba resepi ini, Amie persilakan dengan segala senang hati. Bagi yang tak berapa mahir memuding macam Amie, percubaan pertama mungkin nampak selekeh, tapi mungkin lebih molek kejadiannya untuk kali kedua dan seterusnya. Practice makes perfect!
Petang kelmarin, sambil melapis kek (tak habis-habis cerita kek lapis), Amie sempat telefon Bonda.
Amie: Kepiye arek nggawe bubur suro yo mak?
Bonda : Arek nggawe bubur suro? Jikok beras sitik vaey. Pesusi resik-resik. Banyunya seng akeh. Leboni bunga lawang karo kayu manis. Angger wes kembang berasey, lebokkey santan.
Amie : Nganggo merico porak mak?
Bonda : Nganggo. Lebokkey seng ireng, tapi angger mok kotor buburey ditumbuk disek mericoney, dibungkus njero kain putih, diiket lebokkey njero bubur. Nganggo merico werno putih pun keneng.
Amie : Ooooo.
Bonda : Kentang, tempe, kacang tanah digoreng Ayammey pun digoreng, wes mateng dicuil-cuil. Wong kampung keney nak nggawe angger buburey wes mateng gitakkey nang nduwurey. Annger emak yo tak lebokkey terus njero bubur, wong arek dipangan karo bubur kok.
Amie : Oooooo.
Bonda : Ojo kelalen veiy godong sop, godong bawang karo bawang goreng.
Terjemahan:
Amie : Macamana cara nak buat bubur asyura mak?
Bonda : Nak buat bubur asyura? Ambil beras sikit saja. Basuh bersih-bersih. Bubuh banyak air. Masukkan bunga lawang dan kayu manis. Kalau beras sduah kembang, masukkan santan.
Amie : Guna lada putih tak mak?
Bonda : Guna. Masukkan lada hitam, tapi kalau tak mahu bubur nampak kotor, tumbuk dulu lada hitam, bungkus dalam kain putih, ikat dan masukkan dalam bubur. Gunakan lada putih pun boleh.
Amie : Oooooo.
Bonda : Kentang, tempe, kacang tanah digoreng. Ayam pun digoreng, dan disiat-siat setelah masak. Orang kampung kita kalau bubur dah masak bubuh saja di atasnya. Tapi emak masukkan terus dalam bubur, sebab memang nak makan dengan bubur juga.
Amie : Oooooo.
Bonda : Jangan lupa bubuh daun sup, daun bawang dan juga bawang goreng.
Catatan: Sajian bubur asyura berbeza-beza mengikut negeri di Malaysia. Apa yang Amie paparkan di sini merupakan bubur asyura di daerah Kuala Selangor khususnya di beberapa buah kampung di mukim Jeram termasuk Bukit Hijau.
Inilah hasil tutorial dengan Bonda. Tidak dijelaskan berapa banyak berasnya, dan berapa sukatan air dan santannya serta bagaimana rupa potongan kentang dan tempe yang digoreng. Orang veteran memang main campak-campak saja, tapi hasilnya mengalahkan hidangan bertaraf bintang!
Ada yang mengatakan Bubur Asyura negeri Selangor lebih kurang sama seperti bubur lambuk. Namun begitu, lain daerah barangkali agak lain sedikit bahan-bahan yang digunakan. Amie pernah dengar bubur asyura mesti menggunakan lebih 10 jenis ramuan! Rujuk DI SINI untuk lebih lanjut tentang bubur asyura dan sejarahnya.
Agak-agak ada atau tidak 10 ramuan yang digunakan dalam Bubur Suro resepi orang kampung kami ini. Jom kita lihat bahan-bahannya di bawah ini.
Resepi : Bubur Suro @ Asyura
Sumber : Bonda Marsinah Dollah Mukhri
Olahan : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
1 cawan beras - cuci bersih
2 kuntum bunga lawang
1 batang kulit kayu manis
1 sudu teh lada hitam /lada putih - tumbuk
1 liter air
5 cawan santan daripada 1 biji kelapa
garam / perasa pilihan
Bahan sampingan:
1 cawan hirisan / potongan kentang goreng
1 cawan hirisan / potongan tempe goreng
1 cawan kacang tanah goreng
1 cawan ayam goreng yang sudah disiat-siat
hirisan daun sup
hirisan daun bawang
hirisan cili merah
bawang goreng
Cara:
1. Masukkan air bersama beras, bunga lawang dan kayu manis di dalam periuk. Masak sehingga beras kembang.
2. Masukkan santan, lada hitam / putih tumbuk, garam / perasa pilihan.
3. Kacau sekali-sekala sehingga bubur agak pekat.
4. Tutup api.
5. Hidangkan bubur bersama bahan sampingan yang disediakan.
6. Enak dinikmati semasa panas.
"I am submitting this post to Malaysian Food Fest ( Kuala Lumpur Selangor Month hosted by Shannon of Just As Delish"