Salam tengahari Ahad. Pernah makan Sambal Bambangan? Biasanya di tempat Amie, bambangan dibuat jeruk yang memang menjadi makanan kegemaran masyarakat Kadazan-Dusun. Bagaimanapun Amie lebih suka mengolahnya menjadi sambal. Isi buah bambangan bersabut apabila sudah cukup tua. Jom kita lihat resepi Sambal Bambangan di bawah ini.
Resepi: Sambal Bambangan
Sumber: Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
1 cawan buah hirisan buah bambangan
7 biji cili padi
1.5cm belacan
1/2 cawan hirisan bawang besar
garam / gula / perasa
1 sudu jus limau kasturi
Cara:
1. Tumbuk kasar cili padi bersama belacan.
2. Masukkan hurusan bambangan dan hirisan bawang besar. Lenyek dengan alu sehingga sebati.
3. Masukkan sedikit garam, gula, serbuk perasa dan jus limau kasturi. Gaul rata.
4. Sambal Bambangan sedia untuk dinikmati.
Amie gandingkan Sambal Bambangan bersama durian merah dan ikan talapia goreng. Durian merah yang rasanya berlemak biasanya dimakan dengan cara menggaulnya bersama nasi panas! Bagi yang suka rasanya, tentulah mereka akan mengatakan sedap dan lazat! Bagi yang tidak pernah mencubanya tentulah akan rasa pelik. Amie tak bolehlah nak kata sedap atau sebaliknya sebab kalau kata sedap, ada yang kata tak sedap, kalau kata tak sedap nanti ada yang kata durian merah ini sedap. Ha.... jadi, kita ikut sunah Nabi Muhamad s.a.w. Diam-diam saja, sebab semuanya ini baik sedap atau sebaliknya, kita suka atau tidak adalah tumbuh-tumbuhan ciptaan Allah s.w.t. Syukur Alhamdulillah, setakat ini lidah dan tekak Amie tidaklah cerewet sangat bab makan sebab yang paling penting ialah halal. Dan satu lagi, Amie ingin simpan resepi ini untuk rujukan keturunan akan datang dan juga kongsi dengan rakan-rakan yang suka menambah informasi.