Minggu lepas Encik Suami panggil Amie keluar rumah. Katanya ada buah kelapa muda untuk Amie. Firdaus angkat buah kelapa dari bonet kereta dan letakkan di depan pintu dapur. Oh! Buah kelapa rupanya, kata Amie.
Agaknya pada masa yang sama Encik Suami ingin ambil kesempatan untuk tunjukkan bunga orkidnya yang mula mengeluarkan bunga. Nampak teruja sungguh Encik Suami. Maklumlah dari sejumlah 117 spesies bunga orkid yang hampir mati, hanya beberapa pokok sahaja yang sempat diselamatkan.
Sebenarnya sebelum Encik Suami beritahu tentang kemunculan bunga orkidnya, Amie sudah melihatnya terlebih dahulu. Bukankah setiap hari waktu pagi, tengahari dan petang Amie berada di dapur. Susunan pasu orkid Encik Suami pula terletak di sebelah dapur. Kalau Amie buka jendela dapur, memang Amie terus nampak tanam-tanaman Encik Suami.