Assalamualaikum.
Nampaknya akhir-akhir ini tekak kita sudah pandai cerewet. Sudahlah malas masak, tapi selera makan tetap ada! Bujang tengah tegur, kenapa Mummy jarang masak akhir-akhir ini. Bukan tidak masak langsung, tapi bila menjelang petang, capai saja apa yang ada untuk dimasak. Kalau ada telur di peti sejuk, goreng telur sajalah. Kalau ada ikan sardin, alamatnya memang masak sardin sajalah! Kasihan si bujang tengah! Biasanya kalau pulang dari sekolah memang dia terus meluru ke dapur kerana terhidu bau masakan, tapi selepas seminggu menyambut raya, dapur jarang berasap, kelam dan suram! Namun, demi kasih sayangku buat keluarga tercinta, petang tadi kugagahi juga turun ke dapur untuk menyediakan hidangan malam kami. Harapan Amie, sebelum bujang tengah dan Encik Suami tiba di rumah, hidangan sudah siap tetapi jangkaan Amie meleset..... kita bermalas-malas dulu di depan televisyen sampai mata terlelap, dan terlupa segala sotong serta ikan yang direndam sejak pukul 3 petang! Apa pun, akhirnya siap juga hidangan malam kami. Ada Sotong Goreng Rangup, ada Sayur Lemak Putih dan Ikan Susu Kukus Halia. Amie gunakan seekor sotong saiz besar untuk digoreng salut tepung. Memang hidangan ini paling digemari anak-anak!
Resepi : Sotong Goreng Rangup
Sumber : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
1 ekor sotong saiz besar - anggaran 600gram - bersihkan dan potong ikut cita rasa
1 paket tepung Crispy Fry Nona
3 sudu minyak
120ml air
minyak yang banyak untuk menggoreng tenggelam
Cara:
1. Tuangkan sepaket tepung Crispy Fry Nona ke dalam sebuah bekas.
2. Tambahkan 3 sudu besar minyak dan 120ml air. Kacau sebati menjadi satu adunan.
3. Masukkan sotong dan gaul rata.
4. Panaskan minyak yang banyak untuk menggoreng.
5. Goreng sotong hingga kuning keemasan.
6. Angkat, toskan minyak dan sedia untuk dihidang.
Oleh kerana teringin makan sayur lemak putih, Amie campurkan segala bahan yang ada termasuk tauhu, anak jagung, kacang buncis, lobak dan suhun. Amie tambah ikan bilis sebagai perencah selain bawang putih dan bawang merah. Aroma masak lemak putih daripada santan kelapa segar memang membangkitkan selera! Lebih berselera kalau ada sambal belacan, tapi Amie sengaja tidak sediakan sebab kalau boleh selepas raya, nak kurangkan makan pedas! Bukan apa, nak sejukkan badan saja!
Ini Ikan Susu Kukus Halia. Amie sendiri tidak menjamah masakan ini. Bujang tengah dengan Encik Suami yang meratah! Oh... harap-harap esok lusa semangat untuk memasak kembali sepenuhnya.... tapi, esok dan lusa memang sudah penuh dengan undangan rumah terbuka!