Nasi Aron (Nasi Jagung Putih) : Masakan Tradisional Suku Tengger
9:04 PTG
Mari kita minum, ajak Linda.
Linda memesan minuman panas, tapi tak ingat minuman apa sebab mata melilau melihat sesuatu yang baru tersusun di meja.
Tidak pesan minuman? Tanya Linda lagi setelah melihat Amie tercegat memerhatikan periuk-periuk berisi nasi, nasi warna kuning campur putih dan butiran halus warna putih.
Tidak, sahut Amie.
Ingat perut tu!
Makan bu, pelawa Farid.
Masing-masing mengambil pinggan dan menceduk makanan dari periuk.
Tuan punya gerai, yang kemudian Amie panggil Mbok Eh kelihatan sibuk menggoreng sesuatu di dalam kuali dibantu seorang lelaki.
Ambil saja. Jangan dipandang-pandang. Enak ini, Farid berkali-kali mengganggu. Pinggan di tangannya sudah penuh dengan makanan. Kemudian duduk berdekatan Linda, dan terus makan. Mbok Eh menghantar minuman panas kepada mereka.
Ketika itu, Amie pun bertanya kepada Mbok Eh, wanita setengah baya yang kelihatan cergas melayan pelanggan dan mengurus warung makannya.
Ini apa Mbok?
Nasi jagung.
Ooooo. Jagung boleh jadi nasi?
Ya. Bisa aja. Jagung putih direndam. Ditumbuk. Disaring. Langsung dimasak. Enak ini.
Ketika itu datang beberapa orang pelanggan dari pintu belakang. Perbualan kami terhenti.
Sempat juga Amie tanya Mbok Eh nasi warna kuning putih seperti dalam gambar di atas. Itu nasi dicampur jagung, jawabnya. Yang kuning itu jagung, yang putih itu nasi.
Ada juga nasi putih!
Amie perhatikan para pelanggan mengambil lauk sendiri dari dalam periuk. Semuanya kelihatan panas berasap. Seorang dua menegur Amie, sambil mengatakan betapa sedapnya makanan yang akan mereka nikmati sambil mengajak Amie makan sama.
Kebanyakan mereka mengambil sesenduk nasi putih, sesenduk nasi dengan jagung kuning dan sesenduk nasi jagung putih. Kemudian mereka tambahkan lauk kegemaran masing-masing seperti sayur, ikan masin dan juga telur serta sambal belacan. Sekali pandang tidak ada bezanya seperti kita makan nasi dengan pelbagai lauk-pauk!
Menurut Linda, pelanggan yang baru masuk dari pintu belakang ini ialah pemandu-pemandu jeep yang membawa penumpang ke Puncak Penanjakan dan seterusnya ke kaki Gunung Bromo. Sementara penunggu para penumpang menunggang kuda ke kawah gunung, mereka berehat seketika untuk mengisi perut.
Ikan kering goreng ini nampak sedap!
Ini sayur lodeh, kata mereka.
Tempe goreng masih panas.
Ikan kering / masin goreng.
Ikan laut goreng celup tepung.
Telur goreng.
Nasi putih dan nasi jagung mula berkurangan.
Akhirnya Amie ambil sesudu nasi jagung, sesudu nasi campur jagung dan seekor ikan kering goreng.
Kenapa makan begini aja?
Terkejut juga bila ditegur Farid.
Ambil tu tempe goreng. Sedap itu. Masih panas. Ambil sana.
Amie pun mengambil sekeping tempe goreng yang masih panas.
Sedap juga!
Terubatlah sedikit rindu dengan tempe goreng Penanjakan yang tak ditemui lagi setelah 3 tahun menunggu!
Barangkali ada di antara mereka melihat Amie masih terkial-kial untuk mencuba makanan tradisional mereka, jadi dengan ramahnya mereka memberitahu nasi jagung itu boleh dimakan dengan apa-apa sahaja lauk. Semuanya sedap bu.
Mereka dengan senang hati menghulurkan pinggan berisi nasi dan lauk yang dipilih bila Amie minta untuk ambil gambar.
Nampak meriah sungguh gerai makan Mbok Eh di pagi itu.
Selesai bersarapan, kami meninggalkan gerai yang masih dipenuhi dengan para pelanggan.
Sekarang kami berada di luar warung. Nampaknya rakan-rakan yang menunggang kuda ke kawah Gunung Bromo sudah ada yang pulang.
Bukan main lebar senyum Farid.
Tour guide kami ini memang ceria orangnya.
Ada sahaja lawak jenakanya yang diselit setiap kali menyampaikan sesuatu kepada kami.
Beginilah pemandangan di sekitar kaki gunung, berpasir dan berdebu. Namun tidak mematahkan semangat para peniaga bakso, peniaga buah-buahan dan penjual t-shirt untuk memanggil para pengunjung membeli jualan mereka.
Sempat jugalah beli t-shirt di sini buat kenang-kenangan. Di sinilah timbul istilah 'orang tamak selalu untung' 3 tahun lalu. Ketika itu Amie beli 15 helai t-shirt dan dapat 2 helai percuma. Kawan-kawan yang lain tak mahu beli, sebab nanti katanya boleh beli di Surabaya. Sampai di Surabaya, harga sehelai t-shirt bersamaan dengan 6 atau 7 helai t-shirt yang Amie beli! Jenis dan kualitinya pun sama! Jadi, siapa untung?
Hahaaa... orang tamak selalu untung!
Itu cerita dulu... sangat indah bila dikenang.
Walaupun tak naik kuda (sebab dulu dah naik kuda di sini), rasa sangat bertuah dapat berkenalan dengan masakan tradisional suku Tengger. Tak sabar rasanya nak tanya lebih lanjut dengan Pak Google tentang nasi jagung putih itu!
Di belakang kuda-kuda itulah deretan gerai yang salah satunya gerai makanan tradisional suku Tengger.
Jom kita dengar apa kata Pak Google tentang masakan suku Tengger terutama nasi jagung putih yang Amie temui itu.
Nasi jagung putih ini dikenali dengan nama nasi aron. Diperbuat daripada jagung putih yang hanya dapat ditemui di lereng Gunung Bromo. Nasi aron ini dikatakan lebih mengenyangkan berbanding nasi biasa, dan boleh disimpan sehingga seminggu, dan tidak basi. Dikatakan juga dengan mengamalkan pengambilan nasi aron ini, kadar kolesterol yang tinggi mampu diturunkan, dan boleh mencegah diabetes.
Antara lauk-pauk yang boleh disesuaikan dengan nasi aron termasuklah sayur meranti, tauhu, kentang, sambal terasi, dan juga ikan laut serta pelbagai lagi.
Boleh klik di sini untuk info lanjut : Wisata ke Bromo, Jangan Lupa Cicipi Nasi Aron Khas Tengger
Entri berkaitan Trip Surabaya:
|
0 comments