Bulan Jun sudah tiba di penghujungnya! Julai akan mengantikannya. Terima kasih kerana masih setia menemani dan melayan celoteh di dapur Amie yang tak sepertinya ini. Bukan apa. Resipi yang disajikan adalah resipi biasa-biasa sahaja, jauh sekali paparan menu yang luar biasa. Dapur maya ini sekadar dijadikan tempat meluah rasa, melepas rindu pada kenangan lalu terutama berkaitan dengan air tangan ibu dan yang sewaktu dengannya.
Benarlah kata orang. Apabila berjauhan segala kenangan lalu menjadi buah rindu. Ketika itu hanya mampu mengutip sisa-sisa kenangan silam yang masih terakam dalam memori hati.
Hari ini segala yang dirancang berjalan lancar. Alhamdulillah. Dapat ikuti google meet pada pukul 9 pagi, dan dapat menyiapkan laporan PDPR menjelang pukul 4 petang. Pukul 2:30 ada google meet lagi tetapi ditangguh pula ke pukul 3:00 petang. Firdaus pula tidak banyak buat hal. Elok saja patuh arahan menyiapkan tugasan PDPR. Semua hasil kerjanya Amie sempat hantar kepada guru-guru mata pelajarannya. Cuma, dari malam tadi entah berapa puluh kali Firdaus mengingatkan supaya dapat mandikan kucingnya. Jadi, sebaik sahaja selesai google meet petang tadi, Amie terus ajak Firdaus mandikan kucingnya dan kemudian kami sama-sama siram pokok bunga dan cuci lantai halaman.
Tengahari tadi Amie sempat menyelit ke dapur menyediakan hidangan tengahari. Kali ini Amie buat kerabu kacang botol. Amie masak singgang kepala ikan tuna. Oleh kerana hanya bahagian kepala dan matanya sahaja yang boleh dijamah, Amie tambahkan ikan bawal putih goreng. Seperti biasa, ulam-ulaman juga yang akan Encik Suami cari. Jadi sediakan juga ulam daun salad, hirisan timun dan juga petai. Ada telur masin. Ada sambal tempoyak. Ada buah honeydew. Cukuplah. Lengkap dengan sumber karbohidrat, protein dan fiber.
Kerabu Kacang Botol |
Hidangan makan tengahari. Nasi putih dengan lauk-pauk kampung. |
Ikan Bawal Putih Goreng. |
Ulam-ulaman daun salad, timun, petai & telur masin. |
Sambal Tempoyak. |
Singgang Kepala Ikan Tuna dengan Kacang Bendi. |
Honeydew. |
Kerabu Kacang Botol |
- 7 batang kacang botol - cuci bersih - hiris nipis
- 1 cawan kelapa parut - sangat sehingga kuning keemasan
- 5 biji tomato ceri - belah 4
- 2 batang serai - ambil isinya yang putih - hiris halus
- 1 labu bawang besar- mayang
- 1 sudu besar udang kering - rendam hingga lembut - tumbuk kasar
- 7 tangkai cili padi - tumbuk
- garam / gula / perasa pilihan
- 3 biji limau kastri - perah jusnya
- Campurkan kesemua bahan dari hirisan kacang botol hingga cili padi tumbuk.
- Taburkan gharam / gula / perasa pilihan secukupnya. Gaul rata.
- Akhir sekali perahkan jus limau kasturi.
- Gaul sekali lagi dan sedia untuk dihidangkan.
Jumpa lagi esok di bulan Julai. Selamat malam & sweet dream!