Setiap keluarga ada cara dan olahan masakan yang tersendiri. Itu sebabnya, makanan atau masakan termasuk dalam budaya atau cara hidup sesebuah keluarga yang membentuk komuniti kecil lalu berkembang menjadi keturunan kepada generasi seterusnya. Generasi demi generasi inilah yang bertanggungjawab membawa apa jua warisan nenek moyang mereka agar tidak pupus ditelan masa.
Walau bagaimanapun, perubahan masa disertai dengan kecanggihan teknologi dan maklumat, banyak berlaku perubahan dalam pelbagai perkara termasuklah dalam hal makanan. Amie sendiri akui, anak-anak lebih sukakan hidangan moden dan terkini berbanding masakan tradisional termasuk lauk-pauk, kuih-muih dan sebagainya. Kalau Amie hidangkan pengat, memang hanya Amie dengan Encik Suami sahaja yang akan menjamahnya.
Salah satu cara Amie tarik minat anak-anak untuk makan pengat ialah dengan cara mempelbagaikan rasanya. Banyak kali juga Amie memilih pengat sebagai pencuci mulut untuk dibawa ke kampung ketika makan-makan keluarga. Alhamdulillah, anak-anak buah sangat menyukainya.
Sebenarnya, satu sahaja bahan tambahan Amie masukkan dalam setiap pengat atau bubur. Kalau ada sesiapa yang perasan, Amie selalu tambahkan jagung krim. Biasanya kalau masak bubur kacang atau pengat, Amie akan tambahkan jagung sama ada jagung krim atau jagung biji dalam tin.
Pengat Pisang Nangka Amie's Little Kitchen |
Pengat Nangka Amie's Little Kitchen |
- 3 biji pisang nangka masak - buang kulit - potong serong
- 1 tin jagung krim
- 1/2 cawan sagu biji - bilas
- 1 helai daun pandan - siat dan simpul
- 1/2 sudu kecil garam
- 1/2 cawan parutan gula Melaka
- 3 sudu besar gula perang
- 500 ml air
- 250 ml santan pekat
- Masukkan air bersama sagu biji ke dalam periuk.
- Jerang sehingga mendidih, dan kemudian masukkan gula Melaka, gula perang serta daun pandan.
- Setelah gula larut, masukkan pula pisang nangka.
- Tambahkan garam.
- Apabila masakan mendidih sekali lagi, tuangkan pula santan pekat.
- Kacau beberapa kali, dan apabila mula mendidih di bahagian tepi periuk, segera padamkan api.
Amie gunakan bekas seramik kiriman Syazni Rahim |