Assalamualaikum.
Moga Jumaat nan redup dan damai ini memberi seribu ketenangan dan keberkatan buat semua. Tengahari tadi Amie sediakan menu ringkas, Ikan Cencaru Sumbat Sambal Bunga Kantan & Tomato, dengan sayur bening bayam merah. Kiranya menu yang dihidangkan ini tergolong dalam menu ringkas, sihat dan berkhasiat.... almaklumlah, dua tiga hari lepas rasa panas badan semacam gara-gara melantak durian, manggis, rambutan, mangga dan entah apa-apa lagi. Kelmarin pagi, semasa dalam bilik air untuk mandi sebelum berangkat ke sekolah, tak semena-mena meleleh tak henti-henti darah merah dari hidung.... alamak! Lubang hidungku sudah bocor... kata Encik Suami itu akibat panas dalam! Kita pun fahamlah... kalau dah panas kat dalam tu tentu disalahkannya durian.... durian sekarang ni dah mula berlonggok di tempat kami. Amie pun lepaskan rindu dendam makan durian tak henti-henti! Memang kena berpada-padalah kalau nak makan buah bermusim. Semuanya manis-manis belaka termasuk manggis dan rambutan. Amie pun tak tahu berapa biji menelan manggis, dan kelmarin petang sewaktu Encik Suami membawa pulang rambutan, Amie tak berani makan walau sebiji!
Mula-mula Amie cadang nak buat ikan cencaru sumbat kelapa tapi memandangkan kelapa parut dalam keadaan beku dalam peti sejuk, akhirnya Amie putuskan untuk gunakan bahan-bahan yang sedia ada dan mudah untuk diolah.
Resepi : Ikan Cencaru Sumbat Sambal Bunga Kantan & Tomato
Olahan : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
1 ekor ikan cencaru (500 gram) - bersihkan dan belah belakang
1 biji tomato - hiris kasar
garam / perasa pilihan
sedikit pati asam jawa
daun pisang / aluminium foil untuk memanggang
Bahan kisar kasar:
3 biji cili merah
2 ulas bawang putih
3 ulas bawang merah
1 sudu makan udang kering - rendam
1 kuntum bunga kantan - hiris kasar
1 biji tomato - belah 4
Cara:
1. Lumurkan ikan cencaru dengan sedikit garam.
2. Tumis kesemua bahan kisar sehingga pecah minyak. Perasakan dengan asam jawa, garam & perasa pilihan.
3. Masukkan bahan tumis ke dalam belakang ikan, dan sumbatkan hirisan buah tomato.
4. Panggang sehingga masak - Amie bungkus dalam aluminium foil dan panggang dalam oven, dan apabila separuh masak Amie buka pembungkusnya dan terus memanggang hingga masak.
Yang bulat-bulat warna coklat tu tempe goreng!
Cukuplah hidangan buat hari ini, ada ikan bakar, ada tempe goreng dan ada sayur bening!