Assalamualaikum.
Rakan-rakan pengunjung yang disayangi..... Kek Lapis Keju Masam Manis ini merupakan paparan terakhir daripada Amie's Little Kitchen untuk bulan Mei 2013. Esok pagi, selepas solat Subuh, Amie akan berangkat ke Airport Tawau untuk penerbangan Air Asia ke Kuala Lumpur. Hari Ahad lepas, Bonda meminta Amie pulang untuk menyelesaikan satu urusan keluarga. Doakan agar dipermudahkan segala urusan Amie nanti, in shaa Allah.
Amie sempat menyiapkan Kek Lapis Keju Masam Manis pada malam semalam. Kek ini mempunyai 20 lapisan versi bakar. Sebelum ini Amie pernah membuat kek yang sama tetapi versi kukus DI SINI. Amie berani mengatakan Kek Lapis Keju Masam Manis ini memang dijamin sedap! Kek ini merupakan kek lapis pertama yang Amie pelajari di kelas masakan. Mungkin resepinya sedikit berbeza dengan kek lapis masam manis yang lain, tetapi penggunaan keju krim dan juga keju parmesan membuatkan kek ini terasa berganda kelazatannya!
Semenjak dua menjak ini Amie memang agak gopoh sedikit ketika menyediakan bahan untuk paparan bersama. Ini disebabkan Amie perlu memberi tumpuan yang lebih kepada si kecil Firdaus, jadi ambil gambar pun main tangkap muat saja! Bukan itu sahaja.... lihatlah cara Amie potong kek di atas! Pisau pun tumpul semacam sehingga menyebabkan nampak gerigi di tepi-tepi kek. Bukan apa... semuanya nak segera... nak cepat siap sebab nak main-main dengan si kenit! Oh...! Firdaus terpaksa ditinggalkan dengan kakak ipar untuk beberapa hari sementara Amie berurusan di Selangor sehingga Amie kembali ke Sabah.
Inilah rupa Kek Lapis Keju Masam Manis sebanyak 20 lapisan!
Bahan-bahan:
250 gram Philadelphia Cream Cheese
100 gram parutan Parmesan Cheese
450 gram mentega berkualiti tinggi - Amie gunakan jenama Anchor
100 gram gula halus
1 tin susu pekat manis - (berat 505 gram)
10 biji telur gred AA
30 gram ovallette
250 gram tepung Hong Kong
150 gram Horlicks
haw flakes secukupnya
pewarna hijau pandan
Loyang berukuran 8 X 8 X 3, yang telah dialas kertas dan digris pada dasar loyang dan sekelilingnya.
Cara:
1. Pukul mentega hingga putih, dan kemudian masukkan gula serta ovallete.
2. Setelah kelihatan sebati, masukkan Philadelphia Cream Cheese serta parutan Parmesan Cheese. Pukul lagi sehingga licin dan berkrim.
3. Masukkan telur satu persatu, dan pukul lagi sehingga kembang dan pekat.
4. Masukkan susu pekat manis dan pukul sebentar dengan kelajuan rendah.
5. Perlahankan pada kelajuan rendah, dan masukkan tepung Hong Kong diikuti dengan Horlicks.
6. Setelah adunan benar-benar rata dan sebati, bahagikan kepada 2 bahagian. Amie gunakan timbangan untuk menyukat adunan.
7. Amie warnakan satu bahagian adunan dengan pewarna hijau pandan, dan satu adunan lagi tanpa warna.
8. Ambil 1 senduk adunan berwarna hijau pandan dan ratakan di atas loyang kek. Bakar menggunakan api atas selama 10 minit menggunakan suhu 160''C (ikut kepanasan oven masing-masing).
9. Keluarkan loyang kek dan untuk mengelakkan daripada kek menggelembung, cucuk-cucuk permukaan kek dengan garpu, atau tekan dengan penekan kek - lakukan begini pada setiap lapisan kek.
10. Susun haw flake di atas permukaan kek - Amie gunakan sebanyak 25 keping untuk setiap lapisan yang ketiga.
11. Ambil 1 senduk adunan tanpa warna dan ratakan. Bakar lagi selama 10 minit.
12. Ulangi Langkah 8, 9 dan 10 dan seterusnya sehingga selesai.
13. Setelah selesai membakar lapisan terakhir, ubah api di bahagian bawah dan bakar lagi di antara 12-15 minit supaya masak keseluruhan kek. Gunakan suhu antara 120-140'C (ikut kepanasan oven masing-masing).
Amacam? Okey tak? Jom... kalau ada sesiapa yang ingin mencuba resepi ini, dipersilakan dengan segala senang hati. Untuk menyediakan bahannya memang memerlukan modal yang agak lebih sedikit dan untuk menyiapkannya juga memang menuntut kesabaran dan tahap kerajinan yang tinggi! Namun... hasilnya memang berbaloi-baloi!!!!