Bismillahirrahmanirrahim.
Apa khabar rakan-rakan blogger.
Rindu rasanya hendak berblogging setelah berhibernasi buat seketika dari dunia maya. Selamat bertemu kembali dan marilah sama-sama terus memeriahkan rumah kita. Terima kasih buat semua yang sudi berkunjung dan bertanya khabar menerusi emel.
September ini, banyak ceritanya tetapi kita ambil yang baik-baik saja supaya terus menjadi bekal kegembiraan untuk menyambut bulan Oktober.
Dalam entri September setiap tahun sudah semestinya Amie catatkan kenangan sambutan ulang tahun ketiga-tiga anakanda yang berkongsi bulan kelahiran yang sama iaitu Fuad (14 September 1998), Fairuz (19 September 2001) dan Abang Farid 30 September 1995).
14 September 2024, perancangannya itulah tarikh pernikahan anakanda Fuad, di hari ulang tahunnya atas cadangan bakal bapa mentuanya. Bagaimanapun, suratan takdir mengatasi tadbir hamba-Nya. Untuk kedua-duanya, kami ibu bapa kedua belah pihak hanya mampu mendoakan dari jauh supaya masing-masing mengambil iktibar atas segala yang berlaku. Belajarlah dari pengalaman lalu agar lebih matang dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan penting dalam hidup.
19 September 2024, ulang tahun anakanda Fairuz. Fairuz sudah berani melangkah mengejar cita-citanya sendiri. Selain membekalkan ikan, anakanda ketiga ini menjadi mekanik. Isnin hingga Jumaat bekerja di bengkel, manakala hari Sabtu dan Ahad menghantar bekalan ikan di pasar raya sekitar Bandaraya Kota Kinabalu. Nampaknya Fairuz memang bertekad tidak mahu sambung belajar walaupun bertahun lamanya kami memujuknya untuk menimba ilmu di IPT. Jika itu memang kemahuanmu anakanda, kami doakan agar dirimu sentiasa teguh dengan pendirian dan semoga terus berjaya.
30 September 2024, hari ini hari ulang tahun anakanda sulung kami Abang Farid. Masih teringat tengah malam 30 September 1995 mula sakit perut dan mundar-mandir menahan sakit sambil menanda kertas Peperiksaan Percubaan SPM murid-murid. Menanda kertas sambil berdiri, sekejap duduk dan sekejap berjalan! Esoknya 8:20 minit pagi lahirkan anakanda kami. Sekarang Abang Farid sudah berumahtangga dan sudah memiliki Hamzah berusia tiga bulan setengah. Alhamdulillah, Abang Farid juga telah berjaya menyiapkan kerja penyelidikan Ph.Dnya pada tahun ini.
Sekian, coretan di akhir September.
Jumpa lagi di bulan Oktober.