Assalamualaikum.
Selamat pagi.
Alhamdulillah dapat bertemu kembali setelah hampir seminggu menghilangkan diri.
Kita keluar daerah untuk melaksanakan tugas rasmi.
Petang kelmarin sampai LD.
Badan letih, terus tidur sampai pagi.
Jom minum kopi.
Kali pertama kami jejak kaki ke Agnes Keith House pada tahun 2016 di sini: AGNES KEITH HOUSE & ENGLISH TEA HOUSE. Kali kedua kunjungan kami pada 13 Mac 2022.
Agnes Keith House : 2022 |
Hampir enam tahun sejak 2016, kalau berkunjung ke Sandakan kami tidak singgah menjejakkan kaki ke rumah yang pernah didiami oleh penulis tersohor Amerika Syarikat iaitu Agnes Newton Keith bersama suaminya, Harry Keith dan anak mereka, George.
Dahulu, memang dilarang sama sekali untuk merakam sebarang gambar di dalam rumah ini. Kali ini tiada pula larangan tersebut, dan para pengunjung kelihatan teruja berswafoto.
Laluan masuk ke Agnes Keith House. |
Papan tanda Jejak Warisan Sandakan yang sudah kabur dek hujan dan panas.
Rumah Agnes Keith terletak di Jalan Istana, Sandakan, Sabah. Rumah agam dua tingkat yang dibina berasaskan kayu didirikan di atas bukit dan dikelilingi pokok-pokok menghijau.
Seni bina rumah agam ini kelihatan unik, dengan hiasan dalamannya yang menggamit memori dan sejarah masa silam para penghuninya. Khabarnya, suatu waktu dahulu rumah ini pernah terbiar dan hampir musnah. Bagaimana pun usaha pemuliharaan telah dilakukan oleh Muzium Negeri Sabah pada 2001 dan reka bentuk asalnya berjaya dikekalkan. Buat pertama kalinya, Muzium Sabah mengadakan pameran mengenai Agnes Keith House pada 29 Oktober 2003.
Sebelum melangkah masuk, kenalah buka kasut terlebih dahulu. Di sebelah kiri pintu terletak ruang dapur dan meja makan, di tengah-tengahnya tangga menuju ke tingkat atas dan di sebelah kanannya pula ruang rehat atau ruang tamu. Hiasan dalamannya terdiri daripada perabut era kolonial untuk mengekalkan konsep asal dekorasi rumah tersebut.
Susun aturnya kelihatan kemas dan ringkas. Setiap sudut di ruangan makan ini mempamerkan koleksi perabot kayu, barang-barang antik seperti tembikar, pasu, pinggan mangkuk dan seumpamanya untuk menonjolkan hiasan dalaman Agnes Keith House ini berada pada kelas tersendiri pada zaman tersebut.
Masih ada tinggalan radio lama terletak di sudut dapur.
Inilah radio tersebut, radio jenama BUSH buatan London.
Rakaman gambar aktiviti di dapur. |
Ada sebuah peti sejuk lama terletak di sudut dapur bersebelahan dengan tangga. Peti sejuk ini tinggalan Mr. & Mrs Martin Johnson. Sebenarnya rumah ini bukan hanya dihuni oleh Agnes Keith sahaja tetapi pernah didiami oleh 26 individu yang lain. Nanti kita kongsikan mengapa hanya Agnes Keith yang menjadi tumpuan sehingga dinobatkan sebagai 'ratu' atau "Maharani Putih" Sabah.
Modern City Refrigerator with KEROSENE ELECTROLUC |
Inilah rupa di dalam peti sejuk pada zaman kolonial.
Keratan akhbar bertajuk ICE CREAM IN JUNGLES OF BORNEO. |
Suku kaum Murut merasa ais krim buat pertama kali dari peti sejuk Osa Johnson.
Ini merupakan ruang rehat atau ruang tamu.
Setiap sudut dan dinding dihiasi dengan gambar dan pinggan mangkuk antik.
Alat pemain piring hitam. |
Telefon. |
Banyak jugalah kita nampak tajau saiz kecil dan besar di rumah ini.
Sekeping gambar Agnes Keith terpampang di laluan tangga.
Di bawahnya ada sebiji lagi tajau.
Dibahagian atas pula dihiasi gambar Agnes serta gambar keluarganya.
Laluan masuk ke bilik tidur utama dan bilik menulis.
Agnes sering mencatatkan pengalaman seram yang pernah dialaminya sepanjang menghuni rumah ini.
Katanya, dia tidak percaya pada hantu. Namun begitu setiap hari beliau terlihat seorang wanita tinggi lampai mengucapkan selamat tinggal kepada suaminya, mengambil bayinya dan turun ke jalan seorang diri dan ketika berdiri di hujung jalan wanita tersebut menoleh ke belakang.
Pengalaman seram tersebut turut dilalui seorang lagi penghuni iaitu Rosemary, isteri kepada G. L. Carson yang tinggal di situ selama 12 tahun sekitar 1955 hingga1967. Sewaktu suaminya bertugas di Kota Kinabalu, Rosemary tinggal seorang diri di rumah tersebut.
Pernah berlaku peristiwa sewaktu Rosemary terbangun pada waktu subuh, wanita ini terdengar pintu di bilik hujung rumah ditutup beberapa kali dan kedengaran bunyi tapak kaki orang berjalan menuju ke biliknya. Sebaik sahaja Rosemary membuka mata, satu lembaga wanita berdiri di hujung katil sambil merenung ke arahnya. Rosemary terus pengsan dan tidak mengetahui apa yang berlaku seterusnya.
Bilik kerja atau tempat menulis.
Selain barang antik yang lain di atas para dan almari, terdapat tiga barangan antik dipamerkan di atas meja iaitu mesin taip, mesin jahit dan telefon.
Mesin jahit jenama Vickers buatan British. |
Sewaktu kita datang pertama kali dahulu, kita sempat buat catatan begini:
Nampaklah mesin taip lama di atas meja. Sempat melihat hasil tulisan Agnes... kita terjemahkan begini : setiap malam saya terlihat hantu datang... (lupa-lupa ingat : hantu tinggi ka atau hantu panjang!) Itu sajalah yang sempat kita baca. Nak baca lebih-lebih nanti takut rasa 'seram' pulak!
Maklumlah ketika lawatan dahulu tidak boleh ambil gambar, tapi sekadar mengingat sahaja. Nampaknya ada sedikit perubahan bahan yang dipamerkan di sini. Dahulu memang ada jugalah rasa seram itu, tetapi kali ini agak kurang sedikit perasaan tersebut. Nanti kita cerita sedikit perkara ini di hujung entri.
Ketika tangkap gambar, tidak fokus pada tulisan yang mengandungi maklumat, jadi tak berapa jelas pula nama jenama mesin taip ini. Yang kelihatan hanya perkataan Remington.
Telefon lama. Pernah jumpa telefon begini tak?
Jom kita masuk ke bilik tamu yang sudah diubahsuai menjadi ruang teater dan bilik bacaan.
Antara hasil penulisan Agnes Keith.
Bilik air di bilik tetamu.
Ruangan mini teater.
Ruangan ini merupakan galeri mini bergambar yang memaparkan perjalanan hidup Agnes terutama sepanjang menetap di Sandakan.
Siapakah Agnes Keith? Apakah kelebihan dan keistimewaan yang dimiliknya sehingga nama wanita ini diabadikan di sini?
Tanah tumpah darah Agnes nun jauh di Illionis, Amerika Syarikat. Beliau dilahirkan pada 6 Julai 1901. Beliau meminati bidang penulisan dan sejak remaja telah menghasilkann cerita fiksyen. Karyanya banyak diterbitkan dalam beberapa majalah terkemuka termasuk Reader’s Digest. Selepas menamatkan pengajian di University Of California, Berkeley, Agnes memilih kerjaya sebagai wartawan dan bekerja dengan The San Francisco Examiner pada 1924.
Agnes berkahwin dengan Harry Keith iaitu seorang Pegawai Konservasi Hutan yang bertugas di Sandakan pada 1934. Pada mulanya mereka tinggal di rumah bujang yang disediakan untuk Harry tapi mereka berpindah ke rumah yang lebih selesa (Agnes Keith House).
Mereka merupakan penghuni kedua tinggal di rumah itu selepas M.M.Clark. Rumah tersebut sinonim dikaitkan dengan Agnes kerana dalam rumah itulah beliau menghasilkan buku ‘Land Below The Wind’ pada 1939 yang menceritakan mengenai kehidupan masyarakat tempatan Sabah serta alam semula jadinya. Buku tersebut telah mengalahkan 600 buku lain untuk memenangi pertandingan kategori bukan fiksyen anjuran majalah Atlantic Monthly.
Gelaran Negeri Di Bawah Bayu yang diberikan ke atas Sabah adalah inspirasi daripada karya beliau. Dengan itu beliau turut dianggap sebagai ‘duta’ negeri ini.
Ketika meletus Perang Dunia Kedua, Agnes sekeluarga pulang ke Amerika Syarikat. Apabila mereka kembali ke Sandakan pada 1946, rumah yang mereka diami telah musnah. Rumah ini dibina semula dan Agnes menamakannya sebagai Newlands.
Agnes meneruskan usahanya berkarya dan di dalam rumah itulah terhasilnya dua lagi buku karangan Agnes yang bertajuk Three Came Home (1946) dan ‘White Man Returns’ (1951).
Walaupun mereka telah pulang ke Amerika Syarikat pada 1952 namun nama Agnes terus kekal dalam ingatan masyarakat Sabah terutamanya di Sandakan. Apabila Muzium Negeri Sabah membaikpulih semula rumah tersebut, nama Rumah Agnes Keith atau Agnes Keith House diabadikan sebagai satu penghargaan kepadanya.
Ini merupakan rumah pembantu rumah. Ada peristiwa yang menyebut tentang seorang pembantu rumah yang bekerja ketika Tom Bayles tinggal di situ pada 1967 hingga 1968. Katanya pembantu rumah tersebut pernah terserempak wanita sedang berdiri di anak tangga.
Kita sempat bertanya kepada pengawal yang bertugas di Agnes Keith House. Kita kata, macam rasa kurang seram pula datang ke sini. Tidak seperti dahulu, bagaikan ada mata yang memandang ketika kita berada di bahagian atas rumah. Katanya, sebenarnya tempat ini masih 'keras' dan ditutup seawal pukul 4:30 petang. Pernah berlaku peristiwa histeria di sini. Maklumlah, katanya orang putih yang menghuni rumah ini dahulu suka menyimpan barang-barang antik yang dijumpai. Dan katanya lagi, termasuklah menyimpan kepala manusia. Dahulu, memang ada tradisi memanggal kepala manusia dalam kalangan kaum tertentu. (Boleh rujuk Pak Google jika ingin mengetahui lebih lanjut tentang perkara ini). Akibat gangguan tersebut, kepala manusia itu dipindahkan ke Kota Kinabalu. Wallahua'lam.
Teringat tahun 2005 kita pernah ke rumah panjang suku kaum Murut di Kampung Silungai, Pensiangan. Kawan kita tunjukkan beberapa buah tajau saiz besar tersimpan di belakang rumah. Tajau tersebut berisi mayat manusia yang terdiri daripada kaum keluarga yang telah meninggal dunia. Dahulu, penganut pagan @ animisme akan 'menguburkan' mayat di dalam tajau.
Kami tidak dapat berlama-lama di sini kerana selepas ini kami akan bergerak ke water park dan daftar masuk hotel. Firdaus sudah tidak sabar untuk bermain air!
Pejabat dan tempat membeli tiket masuk.
Inilah antara gambar-gambar yang Amie ambil dari entri lama.
Buku-buku tulisan Agnes Keith ini Amie beli di Kota Kinabalu.
Salah sebuah karya penulis wanita yang berasal dari Amerika Syarikat ini berjudul Land Below The Wind yang terus digunapakai gelaran kepada Sabah Negeri di Bawah Bayu hingga ke hari ini!
Selain Land Below The Wind, Agnes juga menghasilkan buku Three Came Home pada tahun 1946 dan White Man Returns pada tahun 1951.
Encik Suami tuliskan nama Firdaus di atas buku catatan pengunjung.
Jadi Firdaus pun turunkan tanda tangan dengan komen : Very good!