Hidangan Tengah Hari / Malam
Pucuk Ubi Masak Lemak Putih, Sambal Belacan Mangga & Ikan Belanak Goreng
Assalamualaikum.
Bertemu lagi kali ini dengan hidangan kampung dari dapur Amie. Alhamdulillah, dapat juga Amie sediakan Pucuk Ubi Masak Lemak Putih dengan gandingan Sambal Belacan Mangga dan dilengkapi dengan Ikan Belanak Goreng. Sebenarnya Amie rindu sangat dengan Ikan Belanak Goreng..... tapi ikan belanak saiz kecil yang bonda selalu hidangkan zaman kanak-kanak dulu! Sayangnya, saiz yang Amie maksudkan tidak dijual di sini.
Memang nostalgia zaman kanak-kanak kembali terimbau bila mengadap hidangan sebegini. Selalunya Ayahanda akan membeli beberapa kati (timbang sukat dulu-dulu) anak ikan belanak. Jenuhlah Bonda menyiang (teringat segala keturunan kucing berebut-rebut menerkam kepala anak belanak yang bonda potong dan lemparkan). Bonda akan goreng kesemua anak ikan belanak sehingga garing dan setelah mengasingkan bahagian yang akan dimakan ke dalam almari gerobok, bonda menyimpan sebahagian besar lagi ke dalam periuk besar bertutup rapat siap ditindih dengan lesung batu! Al-maklumlah ketika itu tidak ada peti sejuk dan adik-beradik pula ramai. Jadi, pandai-pandailah Bonda mencari tempat yang selamat untuk menyimpannya agar dapat dinikmati bersama pada waktu makan seterusnya. Rupanya, rasa ikan belanak yang disimpan lebih sebih sedap berbanding ikan belanak yang baru digoreng! Itu yang Amie tidak dapat lupakan hingga ke hari ini.
Ikan belanak di atas ini bersaiz agak besar, dan rasanya lebih tawar berbanding rasa anak belanak yang Bonda goreng dulu. Seringkali juga Amie pulang lewat ke rumah selepas sesi persekolahan (sekolah menengah rendah), kerana menunggu air pasang di Pantai Jeram. Pada ketika itu sebahagian air pasang terus mengalir hingga ke muara sungai dan pada masa yang sama terdapat anak-anak ikan belanak melompat tercungap-cungap mengikut arus air pasang ke pantai! Bayangkan... betapa seronoknya menangkap anak-anak ikan belanak dan kami kendung di dalam kain.....kain sekolah warna biru tu.... hmmmm seronoknya zaman itu! Kami bawa pulang anak ikan belanak yang masih segar dan bila digoreng, terasalah lemak manisnya anak-anak belanak tadi.
Tak apalah, tak dapat anak belanak yang lemak manis, dapat belanak yang tawar pun ... syukurlah! Tunggulah ada rezeki nanti, dapat balik kampung, bolehlah makan anak belanak puas-puas!
Ini Pucuk Ubi Masak Lemak Putih. Amie sukakan aroma santannya yang segar tanpa campuran serbuk kunyit untuk memberikannya warna kuning. Inilah hidangan turun-temurun kami sekeluarga yang Bonda selalu masak.
Resepi : Pucuk Ubi Masak Lemak Putih
Sumber : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
1 cekak pucuk ubi - celur hingga lembut dan hiris ikut citarasa
500ml santan pekat
1 genggam ikan bilis - tumbuk kasar
2 biji bawang putih - tumbuk kasar
3 biji bawang merah - tumbuk kasar
1 biji cili merah - hiris kasar
garam dan perasa pilihan secukupnya
Cara:
1. Masukkan santan pekat ke dalam periuk bersama kesemua bahan yang lain.
2. Panaskan periuk di atas api sederhana panas.
3. Kacau sekali-sekala sehingga kuah mendidih agar tidak pecah santan.
4. Tutup api dan sedia untuk dihidangkan.
Untuk menjimatkan masa, Amie kisar kesemua bahan Sambal Belacan Mangga! Rasanya? Sedap.... memang sedap! Apalagi kalau sudah bertemu dengan Pucuk Ubi Masak Lemak Putih dengan Ikan Belanak Goreng!