Bismillahirrahmanirrahim.
Jumpa lagi dengan cerita dari dapur. Apabila sedang edit gambar untuk dijadikan entri, baru perasan hari ini masak tanpa menggunakan minyak. Hanya rebus dan panggang sahaja.
Hidangan Makan Tengah Hari / Malam |
Ikan Jenahak Panggang. |
Ikan jenahak ini Amie panggang dengan lapik daun pisang. Hanya lumur sedikit garam dan serbuk kunyit.
Hasilnya, ikan agak garing.
Sayap ayam ini pula Amie panggang dalam air fryer. Terlebih garing juga tapi isinya masih lembut. Hari ini ada ikan dan ayam. Firdaus hendak makan ayam. Jadi, panggang sahajalah. Senang cerita.
Sayur Bening Petola |
Sayurnya pula, hanya masak bening. Sayur bening petola, ditambah kentang, lobak dan suhun serta perencah bawang dan udang kering. Kalau hendak hirup kuahnya yang sedap, kenalah nikmati sayur bening ketika masih panas.
Nasi Beras Bario |
Hari ini habiskan stok beras bario. Cantik nasinya, kecil-kecil butirannya. Entah bila lagi hendak ke Kundasang. Boleh beli lagi pelbagai beras kampung di sana.
Pagi tadi sempat melawat tanaman Wak Kamil. Petik beberapa biji belimbing buluh. Balik rumah hiris-hiris campur dengan cencaluk. Tambahkan hirisan cili padi, bawang merah dan petai.
Buah Limau Sunkist |
Inilah lauk-pauk kampung yang simple dimple!
Sekian.