Enaknya kalau dapat cicah lemang, nasi himpit atau ketupat dengan Rendang Ayam Kota Lama! Makan dengan nasi putih panas pun sodap! Rendang Ayam Kota Lama merupakan satu lagi resepi tradisi negeri Perak yang sungguh enak tetapi amat mudah untuk disediakan. Semua bahan hanya perlu dilebur di dalam kuali tanpa menumisnya terlebih dahulu. Sepanjang tempoh memasak, anda akan terhidu semerbak campuran pelbagai jenis herba termasuk serai, lengkuas, halia dan kunyit hidup! Aroma yang terbit daripada hirisan daun kunyit sebagai sentuhan terakhir membuatkan anda tidak sabar untuk menjamahnya!
Resepi asalnya menggunakan ayam kampung, dan memang daging ayam kampung yang agak keras sedikit berbanding dengan ayam daging amat sesuai untuk dijadikan masakan rendang!
Resepi : Rendang Ayam Kota Lama oleh Chef Sapiah
Sumber : Resepi Tradisi Cita Rasa Malaysia : Perak
Bahan-bahan:
1 ekor ayam kampung
2 sudu makan cili boh
2 sudu makan kerisik
1 cawan santan
2 helai daun kunyit - dihiris
sedikit air
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
3 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
3 batang serai
1 1/2 inci lengkuas
1 inci kunyit
1 inci halia
Cara:
1. Bersihkan ayam.
2. Masukkan ayam ke dalam kuali bersama bahan yang sudah dikisar tanpa perlu menumis.
3. Biarkan mendidih dan boleh masukkan kerisik dan santan.
4 .Tambah sedikit air dan biarkan hingga masak.
5. Kemudian masukkan daun kunyit yang sudah dihiris.
6. Hidangkan bersama lemang atau nasi putih panas.
I am submitting this post to Malaysian Food Festival Perak Month hosted by Wendyinkk of Table for 2....or More