Bismillahirrahmanirrahim.
Hurrmm... walaupun jalan-jalan lapan hari ke Brunei dan Sarawak sambil menanda kertas sebelum tidur malam dan ketika bangun pagi, hanya sebahagian sahaja yang siap. Balik LD, kami sambung lagi. Minta maaf saudara dan jiran tetangga, kita tak dapat penuhi undangan raya. Kita wakilkan Encik Suami dan Firdaus sahaja.
Petang kelmarin, jiran hulurkan buras serta lauk-pauk. Jadi, kita pun gantung periuk. Jimat masa dan boleh tumpu menanda kertas. Penat menanda kertas, tonggang terbalik luruskan pinggang. Kemudian tulis entri. Tutup laptop, sambung semula tugas yang belum selesai.
Petang tadi, Alhamdulillah rezeki datang bergolek. Sedang menanda kertas, Firdaus masuk bilik. Katanya Encik Suami panggil supaya turun ke dapur. Sampai dapur, banyak bungkusan di atas meja. Mereka berdua baru balik kenduri dari kampung. Nampaknya bukan Encik Suami seorang yang dapat nasi berkat. Firdaus pun dapat juga!
| Nasi Berkat |
Beginilah rupa bentuk nasi berkat dari Kampung Cocos, kampung Encik Suami.Tradisi membawa pulang nasi berkat masih diteruskan oleh masyarakat Cocos. Di bawah daun pisang ada nasi putih. Dan lauk-pauknya tersusun di atas daun pisang. Dalam sepinggan nasi berkat ada:
- Nasi Putih
- Ayam Goreng
- Ikan Goreng
- Sambal Kates (tertutup lauk)
- Serondeng Ikan (tertutup lauk)
- Telur Masin
- Telur Dadar
- Lobak Merah Rebus
Lauk-pauk dalam nasi berkat sebenarnya tidak terhad seperti yang dibawa pulang oleh Encik Suami. Terpulang kepada tuan rumah hendak bubuh lauk apa tetapi yang wajib ada sudah tentulah serondeng ikan dan sambal kates serta ayam goreng serta kepedel.
Menurut Encik Suami, majlis kenduri yang diadakan merupakan kenduri selamatan sempena Hari Raya Aidil Adha. Jadinya, tuan rumah turut menyediakan pulut kuning serta ayam panggang dan juga nasi begana. Pulut kuning dan nasi begana dibahagi-bahagikan bersama ayam panggang buat tetamu lelaki yang bersama-sama dalam majlis doa tersebut.
| Pulut kuning dan ayam panggang. |
Gambar di atas menunjukkan dua bungkus plut kuning dan dua keping ayam panggang yang Amie satukan dalam sebuah pinggan.
| Nasi Begana |
Memang rezeki sungguh! Nasi Begana pun dapat dua bungkus.
Bungkusan wajib ada sudah tentulah 'kuih-kuih lembik'. Kuih-kuih lembik merujuk kepada kuih yang lembut. Biasanya mereka akan membuat kuih brengkes, kuih panjang, nagasari, kuih Bugis dan sebagainya. Sekarang agak jarang tuan rumah sediakan kuih-kuih tradisional. Mungkin kekurangan waktu atau kekurangan pembuat kuih.
Sekurang-kurangnya memadailah ada kuih bahulu gulung dan kek.
| Dua bekas bahulu dan kek. |
| Tektekan |
Gambar di atas dipanggil tektekan, oleh-oleh atau jajan untuk ditinting atau dibawa pulang. Biasanya tuan rumah akan sediakan pelbagai buah-buahan, biskut, minuman dan jajan yang akan dibahagi-bahagikan kepada tetamu lelaki.
Wokey!
Sekian, selingan untuk malam ini. Kita hendak sambung kerja menanda kertas lagi.
Sekian, selingan untuk malam ini. Kita hendak sambung kerja menanda kertas lagi.