Salam petang Jumaat buat semua rakan dan pengunjung setia Amie's Little Kitchen. Tak tahu nak tulis apa, dan bagaimana untuk memulakannya! Mungkin inilah yang dikatakan ujian dan dugaan daripada-Nya. Namun Amie yakin, Amie boleh melaluinya dan percaya ada hikmah di sebaliknya.
Hari Selasa malam Rabu, Encik Suami dimasukkan ke hospital akibat bisul yang tumbuh membesar di bahagian tengkuk dan terpaksa menanggung kesakitan hampir 2 minggu lamanya. Inilah kali pertama Amie berhadapan dengan keadaan begini. Ketika diberitahu pada jam 11.30 malam tersebut, kakak ipar suruh Amie berkemas menyiapkan pakaian dan apa-apa yang patut untuk dihantar ke hospital. Entah mengapa, Amie tidak boleh berbuat apa-apa, menggeletar dan terduduk beberapa ketika. Malam itu juga, Amie tinggalkan anak-anak tidur di rumah, dan Amie menjaga Encik Suami di hospital. Menjelang pukul 4.30 pagi,. Amie bergegas pulang ke rumah untuk menyiapkan anak-anak ke sekolah. Ketika itulah Amie rmenyedari minyak kereta hampir kering dan sudah keluar tanda amaran! Dan untuk pertama kalinya Amie ajak anak kedua Amie (sekolah petang) ke stesyen minyak untuk isi minyak pada pukul 4.45 subuh kerana dia tahu bagaimana untuk mengisi! Ini merupakan pengajaran pertama buat Amie!
Amie mengambil cuti tehat khas pada hari Rabu kerana pada pagi itu Encik Suami menjalani pembedahan. Sekali lagi Amie terpana, kerana doktor beritahu Encik Suami disyaki mempunyai risiko kencing manis! Sehari selepas pembedahan, tahap gulanya meningkat kepada 17.6. Kepada bondalah tempat Amie mengadu siang dan malam melalui telefon. Banyak kata-kata perangsan dan semangat bonda berikan untuk Amie. Amie tidak boleh cerita panjang di sini kerana sebentar lagi Amie akan mengambil anak bongsu dari sekolah, kemudian pulang menukar pakaian dan akan bergegas semula ke hospital. Selepas kelas pagi tadi, Amie hantar anak sulung untuk menjaga ayahnya di hospital dan mengambil anak tengah yang menjaga ayahnya dari subuh tadi. Anak kedua bersekolah di sebelah petang. Setiap malam memang Amie yang menjaga Encik Suami sehingga pukul 4.30 pagi.
Banyak pengajarn yang Amie perolehi, antaranya:
1. Jangan bergantung segala perkara kepada suami termasuk mengisi minyak kereta, sehingga nak buka pintu tangki minyak pun Amie tak tahu.
2. Selama ini hanya suami yang beri belanja sekolah anak-anak, sekarang Amie pula yang terkial-kial sediakan wang kecil untuk mereka.
3. Telefon bimbit Amie tidak boleh digunakan selama 2 hari ini kerana telah tamat tempoh perkhidmatannya disebabkan sudah sampai waktu untuk membayar pada 22 Februari, tapi Amie tak tahu bagaimana untuk membayarnya.
4. Road-tax kereta yang Amie bawa telah tamat tempoh pada 23 Februari tapi Amie tidak tahu bagaimana untuk menguruskannya.
5. Ansuran bulanan kereta untuk bulan ini sepatutnya dibayar pada hari ini, 24 Februari pun Amie tidak tahu bagaimana untuk membayarnya.
6. Dan pelbagai lagi....
Doktor beritahu Amie, sekiranya masih ada saki-baki akar bisul, pembedahan akan dijalankan sekali lagi! Waduh! Biarpun namanya bisul tetapi Amie tidak tahu ada bisul yang cukup membahayakan nyawa!
Beberapa hari ini memang rutin harian Amie sudah tunggang-langgang, tak terurus, makan pun mana yang sempat. Anak-anak..... kasihan! Tapi bonda pesan, uruskan Encik Suami baik-baik. Katanya lagi ini cubaan daripada-Nya. Banyak ingin Amie cerita tapi masa amat terbatas.
Teman-teman tersayang.... doakan Amie kuat, doakan Amie tabah!