Masih lagi dalam suasana PKPB yang entah bila akan berakhir sepenuhnya. 19 Oktober 2020 terima khabar duka. Seorang sahabat baik, bersama-sama menuntut ilmu di UM, telah kembali ke pangkuan-Nya. Tidak dapat digambarkan rasa sayu ketika mendengar berita itu. Terakhir berjumpa sewaktu bersama-sama menghadiri kursus di Grand Blue Wave Hotel, Shah Alam, 18 tahun lalu. Sempat bercerita dan mengenang kembali suka duka zaman di kampus. Beberapa tahun lepas, ada seorang teman menyampaikan salam daripadanya kerana mereka menyelesaikan tugas bersama di Kuala Lumpur. Khabarnya, sahabat baik Amie ini mengidap diabetes tahap kritikal. Sewaktu kami bercuti di Malaya, Encik Suami ajak Amie untuk menziarahinya kerana kebetulan kami jalan-jalan ke Melaka dan Negeri Sembilan. Amie telefon, tetapi tidak diangkat. Amie hantar mesej, juga tidak dijawab. Setelah kami pulang ke LD, barulah sahabat baik ini menjawab mesej dengan menyelitkan gambar dirinya berada di hospital, berselirat dengan wayar-wayar! Katanya: Kenapa engkau tak datang tengok aku?
Sejak itu, berjanji dalam hati sekiranya berkesempatan bercuti lagi kami akan cuba ziarahinya. Namun setiap kali pulang, setiap kali itulah pula telefon tidak dijawab, dan mesej tidak dibalas. Beberapa bulan lepas, tiba-tiba sahabat baik ini memberi komen di FB rakan sekuliah kami. Masih cerita yang sama, mengenang zaman suka duka di kampus dan menyebut diri ini sebagai sahabat baiknya di kala susah dan senang. Setiap kali kami cuba bertanya tentang kesihatannya di WhatsAap Group, sahabat baik ini hanya mendiamkan diri.
Selamat jalan sahabat baikku. Selamat menempuh jalan yang lurus. Selamat bertemu dengan-Nya. Moga aman dan tenteram di alam abadi. |
Zakaria, seorang rakan yang berbudi bahasa, cekal dan tabah menempuh hidup. Moga terus berjaya dunia dan akhirat. |
Amie pernah menjadi salah seorang pembaca sukarela kepada Zakaria di bilik karel (bilik khas untuk pelajar kurang upaya). Amie pernah menulis sedikit kenangan di sini: One Day In Your Life. Teringat sewaktu mengikuti Minggu Haluan Siswa, Zakaria dengan tongkatnya terjatuh ke dalam longkang. Setiap kali kuliah, Zakaria adalah orang pertama berdiri di depan pintu kuliah untuk masuk ke dewan. Zakaria akan duduk di barisan paling hadapan, melipat kemas tongkatnya, dan mengeluarkan tape recoder untuk merakam isi kuliah yang disampaikan oleh pensyarah.
Rasa kagum sangat dengan kesungguhan Zakaria menuntut ilmu. Ketika majlis konvokesyen berlangsung, Zakaria mendapat tepukan paling gemuruh dengan pencapaian cemerlangnya! Segalanya berakhir di situ. Tiada sebarang berita yang kami perolehi tentang Zakaria sehinggalah 3 hari lepas terpampang gambarnya dengan ucapan TAHNIAH sebagai Penerima Anugerah Khas Semarak Cinta Rasul.
Alhamdulillah. Tahniah buat Zakaria. Teruskan amanah dan usaha memberi ilmu kepada anak didik. Ya! Sudah 28 tahun berlalu, tiba-tiba mendengar khabar gembira ini. Moga Zakaria sentiasa sihat dan gembira di samping keluarga dan anak didik tercinta.
Petikan catatan lalu: One Day In Your Life