Selamat petang semua.
Musim cuti sekolah sudah bermula.
Anak-anak pun asyik berulang-alik ke dapur mencari makanan, buka tudung saji, buka peti sejuk. Mesti keluar pertanyaan :
Mommy tak masak?
Mommy masak apa hari ini?
Yang bagusnya tu, makanan yang dimasak tidak bersisa sampai ke hari esok, atau masukkan di dalam peti sejuk untuk dipanaskan semula pada waktu yang lain.
Kentang yang terbiar di dalam bakul pun mula menunjukkan tanda-tanda untuk tumbuh! Banyak juga lebihan kentang yang belum digunakan. Anak-anak pun suka kalau Amie buatkan mereka pegedil kentang, boleh ratah begitu sahaja. Jadi Amie pun kupaslah 1.2 kg kentang! Amie tambahkan dengan hirisan bawang daun atau bawang prei (bahasa Indonesia) atau leek, orang putih kata. Ringkas sahaja bahan yang digunakan, tapi kalau dah namanya pegedil kentang, memang sedaplah!
Bahan-bahan:
1.2 kg ubi kentang - kupas - potong ikut suka dan goreng hingga masak - toskan minyak
2 batang bawang daun - hiris nipis
3 batang daun sup - hiris halus
1 cawan bawang goreng (merah dan putih)
1 sudu kecil lada putih - tumbuk
2 biji telur - dipukul ringan
1 sudu besar perencah Maggi Cukup Rasa
minyak
Cara:
1. Tumbuk atau lenyek kentang hingga halus, dan gaul sebati dengan bawang goreng, daun sup, bawang daun , lada putih dan perencah Maggi Cukup Rasa.
2. Kepal bahan tadi sebesar bola ping pong atau mengikut saiz yang disukai. Bulat-bulatkan, kemudian leperkan menjadi pegedil yang mampat.
3. Panaskan minyak menggunakan api panas sederhana untuk menggoreng tenggelam.
4. Celupkan pegedil di dalam telur dan goreng hingga kuning keemasan.
5. Angkat dan toskan.
Enak dimakan begitu saja!