Hujan sepanjang hari, dari pagi hingga ke petang.
Berat sangat kaki untuk melangkah ke dapur!
Rasa nak tidur sahaja sampai ke petang.
Jadi, kalau Encik Suami balik petang nanti nak makan apa?
Paksa diri untuk ke dapur!
Sampai ke dapur, bukannya angkat periuk nasi tapi cari tulang lembu dalam peti sejuk.
Telefon Encik Suami :
- Petang ini kita makan bakso ye?
+ Mana-manalah.
Wokey.... kita membakso!
Eh! Apa itu bakso?
Bakso yang kami maksudkan ialah bebola daging yang diperbuat daripada campuran daging lembu dengan tepung ubi kayu. Biasanya kalau kami makan bakso di Tawau, banyaklah pilihannya seperti bakso ping pong (saiz bakso yang lebih besar daripada saiz bakso biasa) kerana ukurannya sebesar bola ping pong! Apa yang selalu menggamit selera kami ialah aroma sup bakso yang sungguh menggoda! Adeeehhhh... apalagi bila musim hujan begini! Aromanya mampu menembusi selera orang yang sedang tidur!
Kalau kami jalan-jalan di LD di sebelah petang, biasanya kami singgah makan di sebuah warung yang berjejeran dengan gerai makanan. Tapi, kurang selesa kerana tempatnya sempit dan terlalu ramai pelanggan.
Ini Bakso Sup Tulang yang Amie hidangkan petang tadi.
Biasanya bakso disajikan bersama mee hoon atau mee kuning, dan berkuah sup tulang. Pelbagai bahan tambahan lain dijadikan pelengkap hidangan bakso seperti taugeh, hirisan sayur kubis, sayuran hijau seperti kailan atau sawi dan sebagainya.
Bakso paling sedap yang pernah Amie nikmati ialah Bakso Malang.
Ketika itu kami berkunjung ke Surabaya, dan singgah di Padang Rumput Savana selepas menuruni Penanjakan untuk melihat matahari terbit di Bromo. Memang rasa sangat lapar sebab mendaki kawah gunung berapi dan menunggang kuda! Aroma sup bakso di gerai Bakso Malang (satu-satunya gerai di situ) sungguh menggoda selera kami. Akhirnya kami menghabiskan kesemua bakso yang ada! Masing-masing tak cukup semangkuk, minta tambah itu ini termasuklah kulit wantan goreng yang sedap itu!
Bakso Malang dalam kenangan!
Teringat tuan punya gerai - sebaik sahaja melayan pelanggan, menyediakan bakso, dia terus mengambil kain pelikatnya untuk menyelimuti dirinya dari suhu dingin di situ!
Jom kita masak!
Mula-mula kita sediakan sup tulang lembu untuk dijadikan kuah bakso.
Bahan-bahan: -
1 kg tulang lembu -didih selama 10 minit - buangkan airnya - rebus sekali lagi menggunakan air baru sehingga daging empuk - asingkan tulang dan air rebusan (gunakan air secukupnya - sebanyak yang dikehendaki)
400 gram bakso (bebola daging lembu)
2 pokok sayur sawi - potong ikut suka
1 sudu besar serbuk rempah sup
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 sudu kecil lada putih - tumbuk
3 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan secukupnya
Bahan kisar:
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
2 cm halia
Bahan hiris:
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
Bahan lain:
hirisan daun sup
bawang goreng
Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar bersama bawang putih dan bawang merah sehingga layu.
2. Kemudian masukkan rempah 4 sekawan. Kacau sekali dua dan biarkan sehingga terbit aroma.
3. Masukkan bahan kisar dan tumis hingga wangi, dan seterusnya masukkan rempah sup. Gaul rata dan tambahkan air rebusan tulang serta lada putih.
4. Setelah kuah mendidih, masukkan pula tulang dan juga bakso.
5. Apabila bakso timbul dipermukaan, ini menandakan bakso sudah masak.
6. Masukkan sayur sawi, garam / gula / perasa pilihan. Kacau sekali dua.
7. Padamkan api dapur.
Jika sukakan aroma sup tulang yang semerbak sedapur, sebelum memadamkan api dapur, taburkan hirisan daun sup dan daun bawang serta bawang goreng. Biarkan seketika. Nikmatilah aromanya yang meruntum jiwa! Lepas itu barulah padamkan api dapur!
Bahan-bahan lain untuk melengkapkan hidangan Bakso Sup Tulang seperti limau kasturi, bawang goreng dan hirisan daun sup serta daun bawang.
Jika suka boleh tambahkan hirisan sayur kubis.
Jangan lupa Kicap Manis ABC yang pekat itu!
Dan lada cuka yang sememangnya pedas!
Walaupun bakso menjadi watak utama dalam resepi ini, tetapi jangan lupakan watak pembantunya iaitu mee hoon! Tanpa mee hoon atau mee yang sewaktu dengannya, siapalah bakso...hiks!
Hari ini hari mee hoon sedunia!
Pagi tadi sarapan Mee Hoon Goreng dengan Sardin. Sebelah petangnya pula makan Bakso Sup Tulang! Esoklah masak nasi ye.