Apabila Farid dan Fuad menyatakan hasrat untuk terbang pulang ke Lahad Datu pada 13 September 2020, Encik Suamilah orang yang nampak sangat gembira. Kata Encik Suami, nanti kita buat bacaan Yasin di rumah bersama ahli keluarga yang lain. Pada masa yang sama, kita sambut ulang tahun anak-anak. Maklumlah, katanya semenjak Farid melangkah keluar dari Lahad Datu kerana melanjutkan pelajaran di Matrikulasi Labuan pada 2013, bermula dari tahun itu kami tidak dapat menyambut ulang tahunnya bersama-sama. Begitu juga dengan Fuad. Ini disebabkan tiga beradik, Farid, Fuad dan Fairuz berkongsi bulan kelahiran. Jadi, pada hari Khamis malam Jumaat bersamaan 17 September 2020 tertunailah hasrat Encik Suami.
Yang menyambut ulang tahun tiga orang tetapi yang kecil itu nak masuk juga! Katanya kenapa hanya abang-abang tiga orang disambut, kenapa dia tidak?
Kami pun bubuh nama Firdaus juga di atas kek red velvet yang ditempah. Abang Farid sudah berusia 25 tahun pada hari ini (30 September 2020), Fuad mencapai usia 22 tahun pada 14 September 2020 dan Fairuz pula baru mencecah 19 tahun pada 19 September 2020.
Hai anak! Walau sudah berusia puluh tahun tapi Mommy rasa seperti baru kelmarin membawamu pulang ke rumah dari hospital. Masih terasa kehairanan melihat paras wajah kalian buat kali pertama sebaik sahaja lahir ke dunia! Masih terdengar tangisan pertama dari peti suara kalian! Allahu Akbar. Betapa besar nikmat bahagia yang Engkau kurniakan buat kami. Syukur seribu syukur kepada-Mu ya Allah!