Kelmarin, terima bungkusan berisi dua buah buku pembelian secara online, tebal dan berat! Rasa sangat teruja, tidak sabar untuk menatap isi kandungannya:
- Ustazah Basikal Siri 1 - setebal 708 halaman (RM79.00)
- Ustazah Basikal Siri 2 - 1018 halaman (RM99.00)
- Pembelian Combo 1 & 2 - RM169.00
- Kos Penghantaran RM50
- Jumlah Keseluruhan RM219.00
Kisah Adilah, seorang Ustazah yang dijodohkan dengan seorang Arkitek yang bernama Ahmad dengan pilihan ibu Ahmad sendiri sebagai pra-syarat untuk Ahmad keluar mengembara ke seluruh dunia dengan berbasikal.
Niat asal Ahmad untuk mengembara solo ke Eropah berubah menjadi pengembaraan ‘honeymoon’ bersama Adilah untuk mengenali hati budi masing-masing menuju Mekah, sebelum menuju ke Eropah.
Adilah nekad mengikut suaminya ke Mekah, dan Ahmad pula nekad meletakkan jawatan sebagai seorang Arkitek, keluar dari rumah sewa, jual kereta dan mulakan pengembaraan. 15 bulan mereka ‘homeless’.
Mereka merentasi 13 buah negara sebelum sampai ke Mekah. Banyak perkara yang tak dijangka berlaku. Ustazah Adilah dimasukkan ke ICU di Pakistan selama 3 hari. Ahmad menerima 5 jahitan di mata semasa di Iran. Mereka ditahan tentera bersenjata selama 3 hari di Pakistan. Mereka hampir diculik di Afghanistan. Namun, kuasa Allah mengatasi segalanya.
Di dalam setiap kesusahan, Allah hadirkan MAGIC (kuasa Allah) setiap hari kepada mereka. Diantara MAGIC yang Allah tunjuk adalah, Ahmad & Ustazah Adilah adalah manusia biasa, bukan atlet, tapi dengan kuasa Allah, mereka mampu berkayuh basikal dari Malaysia ke Mekah dengan hanya berbekalkan duit permulaan RM1,900 sahaja.
Sumber : GOOGLE
Nampaknya selang sehari selepas dapat bungkusan BKH#legasi_emak 8 judul buku, datang pula Ustazah Basikal! Orang tamak macam Amie ini rasanya nak 'telan' sekali harung 10 buah buku dalam satu masa! Setelah tamatkan antologi Ikan Celup Tepung petang kelmarin, pada sebelah malamnya pula selepas solat Isya' Amie mula 'mengerjakan' Ustazah Basikal pula. Asyik membaca, jam menunjukkan angka 11:30 malam. Amie berhenti membaca pada muka surat 250.
Pagi tadi, selesai membuat sarapan, dan bersihkan diri Amie sambung bacaan buku Ustazah Basikal. Ketika membaca muka surat 396 hingga 397 tak semena-mena air mata jatuh berlinangan sampai tersedu-sedu pula. Amie tutup buku Ustazah Basikal dan sambil mengesat air mata, Amie pergi ke dapur.
Isteri Shaukat Ali menghidangkan kepada kami nasi dan capati serta lauk kari ayam kepada kami, di bawah cahaya lilin.
Rupa-rupanya, bekas yang Shaukat ambil di rumah besar tadi berisi lauk kari ayam. Lauk itu yang dihidangkan kepada kami.
Aku pasti, mereka bergaduh tadi sebab mahu menjamu kami, tetapi Shaukat Ali berkeras untuk menjamu kami di rumah usangnya.
Setelah sedia, isterinya menjemput kami makan.
Tanpa berlengah, kami makan apa yang ada di depan mata kerana terlalu lapar. Aku jemput Shaukat Ali dan isterinya untuk makan sekali tetapi mereka menolak dan suruh kami habiskan semua lauk yang ada.
'Mungkin mereka dah makan.' Bisik hatiku.
Alhamdulillah.
Syukur, kerana perut kami sudah kenyang, Shaukat minta kami habiskan makanan yang berbaki, tapi kami sudah tidak boleh masuk lagi. Hanya berbaki seketul daging ayam di dalam bekas mangkuk tadi, sekeping capati dan sedikit nasi.
Selepas kami cuci tangan, kami duduk semula di atas katil. Isteri Shaukat Ali membawakan sebuah pinggan kosong untuk suaminya. Suaminya pun makan dari baki makanan yang kami tinggalkan.
Aku terus pandang Adilah.
"Eh, dia tak makan lagi ke??"
Perasaan bersalah mula mencengkam hati kami.
Kami telah "melantak" macam orang tak ingat dunia sedangkan Shaukat belum makan lagi!
Selepas shaukat Ali habis makan, 2 orang budak lelaki masuk ke dalam rumah tersebut. Dari cara mereka bersembang, budak-budak itu adalah anak-anak mereka.
Selepas shaukat Ali habis makan, 2 orang budak lelaki masuk ke dalam rumah tersebut. Dari cara mereka bersembang, budak-budak itu adalah anak-anak mereka.
Mereka mencangkung di lantai lalu ibunya mengambil sedikit kuah kari baki makanan suaminya tadi dan dihidangkan kepada kedua-dua anaknya dengan baki capati yang tinggal. Amatlah berat mata kami menyaksikan peristiwa itu. Aku rasa berdosa gila. Aku pasti Adilah pun sama.
Setelah si ibu memastikan anak-anaknya kenyang, baru ibu yang sedang sarat mengandung tadi makan dari baki makanan anak-anaknya tadi. Aku tak pasti apa yang tinggal. Allah.... aku dan Adilah terus menangis....
Air mataku meleleh. "Dosa apa yang kami dah buat ni.."
"Ya Allah, ampunkan kami Ya Allah..sungguh kami tak tahu.."
"Kami tak tahu mereka tak makan lagi. Kami telah makan semahunya sedangkan mereka semua sedang berlapar... Ya Allah, kejamnya kami...!
Ampunkanlah kami Ya Allah!"
Malam itu kami tidur dalam perasaan bersalah yang amat sangat. Kami mengambil keputusan untuk memberikan sebahagian dari sumbangan untuk madrasah kepada keluarga Shauki Ali walaupun dia tidak memintanya.
Kami teringat kisah di zaman Nabi dahulu, ada sahabat yang melayan tetamu walaupun mereka tidak punya apa-apa. Peristiwa yang sama kini terjadi di depan mata kami sendiri.
Ini adalah pengajaran yang sangat besar buat kami di India.
Kami masuk ke Nepal dalam keadaan yang sangat-sangat bersyukur. Kami akan menangis setiap kali teringatkan kisah Shaukat Ali di India.
Ya Allah! Banyaknya mesej dan pengajaran dalam setiap helaian muka surat yang Amie baca!
Setakat ini dahulu yang dapat Amie tuliskan. Amie nak sambung baca Ustazah Basikal Siri 1 ini.