Jom buat kuih onde-onde, lepas itu kita makan sama-sama.
Kamus Dewan kata, onde-onde ini sejenis makanan bentuk bulat-bulat kecil macam guli, diberi inti dan disalut dengan kelapa parut. Onde-onde juga dikenali sebagai buah melaka. Oleh kerana definisinya yang mengatakan sejenis makanan bentuk bulat, diberi inti dan disalut kelapa parut jadi banyaklah versi onde-onde di dapur kita! Ada onde-onde yang diperbuat semata-mata dengan menggunakan tepung pulut, ada yang dicampur dengan tepung gandum, tepung beras dan yang istimewanya untuk mengurangkan rasa liat tepung pulut ditambah pula dengan keledek dan juga labu! Sungguh kreatif betul orang kita dalam mengekalkan kuih tradisional ini. Bahan asasnya tetap digunakan, cuma ditokoh tambah dengan bahan lain untuk menepati citarasa masing-masing.
Jadi, petang tadi usik sedikit buah labu manis yang sudah 'disembelih' dua hari yang lalu. Kita nak buat Onde-Onde @ Buah Melaka Labu Manis.
Sebaiknya, buah labu ini kita kukus sebab kalau kita rebus, ia akan berair pula. Lepas itu kita lenyek seperti gambar di bawah ini. Jomlah kita semak resipinya.
Bahan-bahan:
2 cawan isi labu manis yang dikukus dan dilecek
3 cawan tepung pulut
1/2 sudu kecil garam
1 sudu besar gula pasir
gula melaka yang telah dikikis secukupnya
2 helai daun pandai - siat dan simpul
air secukupnya untuk merebus onde-onde
1 cawan kelapa parut gaul dengan 1/2 sudu kecil garam - kukus sebentar
Kalau rajin bolehlah potong kecil gula melaka bentuk kiub.
Cara penyediaan:
1. Dalam sebuah bekas, masukkan labu manis, tepung pulut, garam dan gula. Uli sehingga menjadi doh dan tidak melekat di jari. Oleh kerana labu manis sudah sedia lembut dan agak berair, jadi tidak perlu tambah air dalam adunan ini.
2. Ambil sejemput adunan dan bulatkan mengikut saiz yang dikehendaki.
3. Leperkan, dan kemudian letakkan 1/3 sudu kecil gula melaka di tengah-tengah dan seterusnya tutup dengan kemas bentuk bulat. Buat sampai habis.
4. Jerang air di dalam periuk bersama daun pandan sehingga mendidih dan kemudian masukkan onde-onde ke dalam periuk.
Rebuslah onde-onde dengan penuh kasih sayang. Api janganlah terlalu besar seperti yang Amie masak dalam gambar.... ahaks! Ini gaya orang masak macam nak kejar hantu jew ... hahahahaha! Dah rupa gempa bumi pula!
5. Apabila onde-onde tadi terapung di permukaan, menandakan ia sudah masak. Biarkan dahulu 2-3 minit dan kemudian angkat. Toskan di atas penapis berlubang.
6. Kemudian golek-golekkan di atas kelapa parut.
Encik Suami panggil onde-onde ini dengan nama kuih klepon!