Tengahari tadi, sementara mencuci pinggan mangkuk, Amie rebus ubi keledek ungu. Ubi keledek tu rasanya dah lebih seminggu bertapa di sudut dapur. Encik Suami selalu perli : Rajin beli keledek warna itu ini, tapi akhirnya tumbuh menjalar di dapur!
Dah selesai cuci pinggan mangkuk, keledek yang direbus pun dah empuk. Amie toskan airnya dan tinggalkan di dapur. Solat zohor, dan selepas itu intai-intai si google. Terintailah ke dapur seorang rakan blogger yang dikasihi, tak lain tak bukan si Rahel dari Tawau itu! Apa khabar kau Rahel. lama ndak dengar cerita! Na...kupinjam dulu ya resepi Bingka Keledek Ungumu itu!
Terima kasih banyak buat Rahel kerana sudi kongsi Bingka Keledek Ungu yang sangat sedap ini! Sesiapa yang berminat untuk mengetahui resepi ini dengan lebih lanjut bolehlah ke dapur Rahel DI SINI.
Cantikkan warnanya? Warna asli tanpa sebarang pewarna tambahan. Tak cukup makan sepotong, makan lagi dua tiga potong! Fairuz bukan main suka makan bingka ini, entah berapa potong masuk mulut!
Jom tengok resepinya di bawah ini. Amie copy paste dari dapur Rahel, dan dengan izinmu ya Rahel cayaaangg!
Resepi by:Rahel
Bahan:
300g keledek ungu yg sudah dibuang kulit-kukus*
1 cawan tepung gandum-ayak
1 cawan gula pasir*
2 biji telur gred A*
1 cawan santan pekat*
1/2 sudu teh esen vanila
3 sudu besar minyak masak*
sedikit bijan untuk tabur
1/2 sudu teh garam*
Cara membuat:
1.Kisar bahan bertanda hingga halus.
2.Satukan bahan kisar dengan esen vanila dan tepung gandum,gaul rata.
3.Tuang ke dalam loyang 7'' yang telah digris dengan marjerin.Taburkan bijan.
4.Bakar dalam oven pada suhu 170'C selama 35-40 minit.
Setelah masak biarkan betul-betul sejuk baru dipotong.
Memandangkan keledek ungu Amie agak melebihi jumlah resepi asal, jadi Amie pun ubah ikut sukatan yang sesuai. Keledek ungu yang Amie rebus, beratnya 500 gram. Jadi Amie pun tambahkan jumah sukatan tepung, gula, santan dan telur. Gula tu, Amie hanya lebihkan 2 sudu besar sahaja. Cukuplah tu rasa manisnya bagi Amie sebab keledek itu pun dah ada rasa manis semulajadi. Cara penyediaannya Amie ikut betul-betul dalam resepi Rahel.
Ini adunan ubi keledek ungu, telur, gula, garam dan santan yang telah dikisar bersama.
Rahel gunakan acuan 7 inci, Amie gunakan acuan empat segi 8" X 8 ". Okeylah tu kan, untuk tampung jumlah sukatan yang Amie adun. Jangan lupa oleskan dengan marjerin di sekelilingnya.
Tuangkan adunan ke dalam acuan.
Taburkan bijan di atasnya. Masukkan dalam oven yang sudah dipanaskan. Amie bakar selama 35 minit menggunakan api bawah. Bahagian tepinya nampak mula lekang dari dinding acuan. Kemudian Amie gunakan api selama 8 minit atas nak bagi bijan atas bingka tu lebih garing.
Keluarkan dari oven dan biarkan sejuk sebelum dipotong.
Biar benar-benar sejuk ye, baru boleh potong!
Bingka Amie ini tak berapa sejuk, terus potong sebab:
1. Tak sabar nak rasa.
2. Firdaus asyik nak mengacau, cubit-cubit bijan atas bingka tu!
3. Matahari dan mula sembunyi, Amie tak ada teknik / kepakaran ambil gambar. Takut gambar tak terang!
Syukurlah, kuih tak 'cedera parah' bila kena potong...hiks!
Jom! Minum petang dengan Bingka Keledek Ungu.
Amie simpankan sedikit untuk Rahel. Mana tahu malam ni dia tiba-tiba muncul di Lahad Datu...he he he heee...