Assalamualaikum buat semua pengunjung Amie's Little Kitchen yang dihargai. Nampaknya kali ini Amie hanya sempat menyediakan menu makan malam yang serba ringkas memandangkan Amie agak lewat pulang petang tadi. Amie terlibat sebagai AJK Pengurus Penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang untuk Pejabat Pelajaran Daerah Lahad Datu, dan bersama beberapa orang rakan pentadbiran yang lain telah melaksanakan tugas dalam raptai penuh di Dewan Siew Ching sehingga pukul 4.30 petang. Majlis sebenar akan diadakan pada hari Sabtu ini. Okey.... di bawah ini merupakan menu ulang tayang, sebab sudah biasa sangat buat ikan panggang terutama ikan baulu@bolu. Amie temankan ikan panggang ini dengan sambal tempoyak dan 7 jenis ulam. Adeeeehhhhh..... kenapa sampai 7 jenis? Sebenarnya Amie tak tersedar pun ada 7 jenis semuanya, yang hanya dicelur sahaja termasuklah terung Taiwan, sebab apa yang terpandang dalam peti sejuk yang boleh dijadikan sayur.... Amie ambil serba sedikit. Dan entah kenapa... teringinlah pula makan ikan kering cicah sampai tempoyak. Jadi, Amie kukuslah seekor ikan kering (tak tahu nama) di dalam rice cooker sebaik sahaja nasi mula mengering.
Ikan baulu@bolu ini Amie panggang menggunakan sedikit lada putih..... resepi jiran sebelah rumah. Anak-anak minta Amie renjiskan minyak bijan sebab mereka suka aromanya. Amie bubuh sahajalah ikut selera mereka.
Bahan-bahan:
1 ekor ikan baulu@bolu - bersihkan, cuci dan toskan
2 biji bawang putih - tumbuk
1.5cm halia - tumbuk
1/2 sudu serbuk kunyit
1/2 sudu lada putih - tumbuk
1/2 sudu pati asam jawa
garam
1 sudu minyak bijan
daun pisang / daun kunyit
Cara:
1. Lumurkan ikan dengan kesemua bahan tumbuk berserta asam jawa dan garam.
2. Taburkan lada putih di seluruh badan ikan.
3. Panggang hingga masak- Amie lapik dengan daun kunyit dan panggang di dalam kuali.
4. Renjiskan minyak bijan sebelum diangkat dari kuali.
5. Hidangkan bersama sambal tempoyak dan pelbagai ulaman.
Antara ulam-ulaman yang Amie sediakan termasuklah timun, tomato, kacang botol, kacang bendi, lobak merah, terung dan kubis bunga. Ulaman yang paling Amie suka tentulah lobak merah. Semuanya Amie celur termasuklah terung yang biasanya Amie goreng. Macamana menu Amie kali ini? Menyihatkan tak.... sebab tidak gunakan minyak. Hanya ikan panggang dan ikan kering kukus bersama pencicah dan ulam-ulaman.
Alhamdulillah...... jom makan!