Amie masih ingat, permulaan menyukai ikan talapia sebenarnya semasa belajar di UM. Setelah keluar dari Kolej Tunku Kursiah, Amie tinggal di luar kampus. Jadi, waktu makan kami bebas memilih kafeteria yang disukai. Dah puas makan di belakang Dataran Sastera, makan pula di Plazasiwa berhampiran Siswarama. Kadang-kadang merayap sampai ke Fakulti Ekonomi dan kalau ada urusan di Pekan Buku atau di Bangunan Pentadbiran, kami makan saja di situ. Di mana-mana sahaja kafetaria, pasti ada ikan talapia goreng berlada! Ikan talapia hitam! Ladanya pula, lada merah atau lada hijau hidup, dikisar kasar dan dituang atas ikan goreng. Jelas ternampak biji ladanya bulat-bulat dan ikan talapia yang digoreng garing. Simple bukan? Harganya.... seekor talapia goreng berlada hanya RM1.00 sahaja.
Hari ini Talapia Goreng Berlada ada di dapur Amie. Bezanya lada yang digunakan Amie kisar terlebih halus dan ikan talapia pula tidak begitu garing. Amie suka ikan goreng talapia lembap, dan berlemak!
Bahan-bahan:
10 ekor ikan talapia saiz sederhana - bersihkan dan lumurkan dengan sedikit garam dan serbuk kunyit
3 helai daun limau purut
1/2 sudu teh pati asam jawa
1 batang serai - dititik
garam / perasa pilihan
minyak
Bahan kisar:
10 biji cili merah hidup
3 ulas bawang putih
biji bawang merah
sedikit halia
sedikit belacan
Cara:
1. Goreng ikan talapia hingga masak.
2. Keluarkan minyak gorengan tadi dan tinggalkan secukupnya untuk menumis bahan kisar.
3. Tumis semua bahan kisar bersama daun limau purut, serai dan pati asam jawa.
4. Setelah pecah minyak, perasakan dengan garam / perasa pilihan.
5. Tuangkan bahan tumis ke atas ikan talapia goreng.
Lepas solat Jumaat tengahari tadi, habis 10 ekor ikan talapia kami ratah anak-beranak bersama nasi panas!