Assalamualaikum.
Kami berbuka puasa dengan Mee Rebus Chef Wan. Bagaimanapun Amie ubahsuai sedikit bahan yang digunakan memandangkan anak-anak kurang menggemari daging, jadi Amie tambah bebola daging di dalam kuahnya. Resepi asalnya Chef Wan namakan Mee Rebus Cik Aini tapi Amie ubah kepada Mee Rebus Chef Wan! Minta maaf ye Chef.... bukan apa, suka kat nama tu... he he he heh! Amie juga sediakan sambal kicap untuk menambah kepedasan hidangan ini. Rasanya... ketika 2 atau 3 suapan terakhir, baru Encik Suami bertanya: Masukkan apa dalam kuah ni? Amie tak terus jawab sebaliknya bertanya kembali: Sedap ke? Apa jawabnya? Sedap katanya. Sebelum ini bukan tak pernah buat mee rebus, tapi tak pernah pula bertanya apa bahan yang digunakan dalam kuahnya.
Selalunya kalau makan mee rebus Amie suka bubuh kuah banyak-banyak! Kalau untuk paparan dalam blog Amie bubuh kuah sampai menutup semua bahan, tak nampaklah rupa mee rebusnya, nampak kuah sajalah ye. Jumlah bahan yang Chef Wan gunakan adalah dalam kuantiti yang banyak, jadi kepada sesiapa yang berminat untuk mencuba resepi ini, pandai-pandailah gunakan sukatan sendiri.
Resepi : Mee Rebus Cik Aini
Sumber : Buku Masakan Selera Malaysia Chef Wan
Bahan-bahan:
2kg mee kuning segar
200 gram taugeh - dicelur sejurus sebelum menghidang
4 keping tauhu keras - digoreng terendam dan dipotong 6 setiap satu
3 tangkai cili hijau - huang biji dan hiris
2 tangkai cili merah - buang biji dan hiris
4 tangkai daun sup - hiris
4 batang daun bawang - hiris
3 biji telur rebus keras - dikupas dan dipotong baji
6 biji limau kasturi - dibelah 2
Amie tambah 20 biji bebola daging
Bahan kuah:
4 sudu besar minyak masak
3 sudu besar serbuk kari
110gram taucu
1kg daging lembu - dipotong kecil
air secukupnya
1kg ubi keledek - direbus, dikupas dan dilecek
2cm lengkuas - dikupas dan dititik
5 biji tomato - dipotong 4
85gram kacang tanah - dipanggang dan ditumbuk
garam dan gula secukupnya
Bahan pes rempah:
10 ulas bawang merah
6 ulas bawang putih
1cm halis dikupas
Cara:
1. Masukkan bahan-bahan pes rempah ke dalam pengisar dan kisar hingga halus.
2. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumiskan pes rempah sehingga wangi.
3. Tambah serbuk kari daging serta taucu dan tumiskan sehingga wangi.
4. Masukkan daging, air, ubi keledek serta lengkuas dan didihkan selama 20 minit.
5. Masukkan tomato serta kacang tanah kemudian kecilkan api dan renehkan sehingga tomato lembut - Amie masukkan bebola daging ketika ini.
6. Perasakan dengan garam dan gula.
7. Letakkan mee ke dalam mangkuk kemudian letakkan taugeh di atasnya. sendukkan kuah ke atasnya dan hidangkan dengan tauhu goreng, cili, daun bawang, daun sup, bawang goreng, telur serta limau.
8. Hidangkan segera.
Adakah kerana rasa kuahnya yang sedap, atau kerana lapar berpuasa.... habis seperiuk kuah Mee Rebus Chef Wan! Anak-anak berkali-kali menambah ke dalam mangkuk masing-masing! Alhamdulillah... selamat berbuka puasa.