Abang Farid dan Aseeyah kembali ke Kuala Lumpur pada hari Ahad 9 Januari 2022 melalui penerbangan Tawau-KLIA. Pada hari Jumaat malam Sabtu kami mengadakan bacaan Yasin dan doa selamat. Keesokan paginya kami bertolak ke Tawau, dan menginap satu malam di sana. Biasanya begitulah. Kalau anak-anak terbang waktu pagi melalui lapangan terbang Tawau, kami akan bermalam di Tawau supaya tidak kelam-kabut turun ke airport.
Bersama biras dan anak buah menyiapkan hidangan di dapur. |
Selesai majlis bacaan Yasin dan doa selamat, tiba-tiba terdengar bunyi riuh-rendah di ruang tamu.
Rupanya ipar - ipar, biras dan anak buah sedang 'menghambur' hadiah seperti gula-gula dan wang syiling.
Riuh rendah dan gelak ketawa ketika mengutip syiling dan gula-gula. Pada kulit gula-gula itu pula dilekatkan duit syiling.
Acara begini biasanya dilakukan ketika majlis berarak pengantin berpakaian tradisional Cocos. Kami tidak tahu rancangan saudara mara yang datang. Mereka sudah berpakat untuk memeriahkan suasana kerana ada pengantin baru di rumah kami.
Biras kita yang sulung menghambur bungkusan hadiah dari luar pintu.
Dalam keadaan begini, kita pun dah tak tahu nak tangkap gambar mana satu!
Nampak meriah sungguh apabila masing-masing menyambut dan berebut hadiah!
Paling seronok sudah tentulah kanak-kanak sebab mereka dapat kumpul duit syiling sebanyak yang boleh.
Sambil mengira duit syiling, sambil kepit bungkusan hadiah yang dapat direbut(warna ungu).
Acara tidak berakhir di sini sahaja. Sekali lagi mereka buat kejutan dengan membawa 4 helai kain ela.
Kain-kain tersebut dibentang dan pengantin dikehendaki berjalan di atasnya.
Tapi awas!
Sewaktu pengantin melangkah, tangan-tangan sudah sedia menanti untuk merebut kain tersebut! Nampak tak hujung kain ungu yang sedang dipijak kedua-dua pengantin? Ada tangan sedang cuba menariknya supaya tidak jatuh ke tangan orang lain.
Pengantin kenalah hati-hati berjalan, takut terjatuh sebab tangan-tangan sudah sedia tarik kain!
Inilah antara aksi orang yang berjaya merebut atau menarik kain ela yang dibentang setelah dipijak pengantin!
Hahahaaaa.... memang tak kering gusi melihat mereka berebut kain!
Oleh kerana leka bergelak ketawa, akhirnya kami terlupa untuk menyusun hidangan.
Jadi, nampak bertabur pulalah hidangan di meja.
Yang penting malam itu semua kelihatan gembira.
Alhamdulillah, sempat kita masak beberapa lauk termasuk kari kambing bersama Aseeyah. Ada bubur kacang hijau dengan durian, laksa asam, kotel dan juga kapurong.
Terima kasih Hasna, bawa kapurong untuk dijamah bersama pada malam itu. |
Budak Firdaus ini cukup gembira pada malam itu, tetapi keesokan harinya banjir mula melanda kerana terpaksa berpisah dengan kakak Aseeyahnya.