Assalamualaikum.
Sekalung penghargaan buat semua pengunjung budiman yang setia bertandang ke Amie's Little Kitchen. Jom jamu mata dengan resepi Sambal Udang Dengan Petai.Amie gunakan resepi yang agak berbeza dengan sambal udang yang biasa kita buat. Kelmarin Amie cuba resepi Sambal Ayam Penyet DI SINI dan diterima baik oleh seisi keluarga kerana rasanya yang enak dan mungkin disebabkan kesemua bahan digoreng terlebih dahulu menyebabkan aromanya sungguh menggoda selera! Memang sudah jadi lumrah selera manusia, yang sedap kalau boleh hendak diulang-ulang masak dan dinikmatinya sehingga puas! Jadi, Amie gunakan resepi tersebut untuk mengolah udang pula.
Resepi : Sambal Udang Dengan Petai (Resepi Asal : Sambal Ayam Penyet)
Sumber : Mamak Haji
BAHAN-BAHAN:
- 25 ekor udang kertas sederhana besar
- 1 cawan isi petai
- 15 biji cili masak dibuang bijinya (300gm).
- 10 bji cili padi - kalau nak pedas tambah saja.
- 10 biji bawang merah atau 3 biji bawang besar - dihiris.
- 5 ulas bawang putih
- 3 biji tomoto bersais besar dibelah enam
- 1 inci belacan.
- 1 gengam ikan bilis - Amie gantikan dengan segenggam udang kering
- 3 sudu besar gula merah atau gula melaka.
- Garam secukup rasa.
- Minyak
Cara:
1. Panaskan minyak, goreng ikan bilis (udang kering) sehingga garing dan asingkan. Dalam minyak yang sama goreng belacan dan asingkan - Pada masa ini Amie goreng udang kertas hingga berubah warna dan toskan minyaknya.
2. Masukkan cili merah dan cili padi sehingga layu. Bila cili mula layu, masukkan hirisan bawang, hirisan bawang putih. Goreng sehingga layu.
3. Masukkan tomato dan goreng sehingga layu.
4. Angkat semua bahan-bahan goreng tadi, biarkan sejuk dan kisar semua bahan-bahan tadi kecuali udang kertas separuh halus.
5. Keluarkan kisaran tadi dan masukan dalam kuali dan panaskan. Masukkan udang serta petai, gula dan garam secukup rasa. Jangan terlalu masak. Sekali mendidih sudah memadai. Sambal anda sudah siap.
Tidak terlalu pedas, sedang-sedang saja!