Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah, akhirnya pesawat mendarat dengan selamat di KLIA Terminal 2 dan kami menaiki aerotrain untuk ke terminal satelit. Ketika entri ini ditulis, sudah ada perkhidmatan penerbangan MAS dan AirAsia terus dari Kota Kinabalu ke Jakarta. Sebelum ini kami terpaksa terbang dulu ke Kuala Lumpur kalau hendak ke Jakarta atau Pulau Sumatera. Jadi selepas ini kalau hendak ke sana, tak perlulah transit Kuala Lumpur terlebih dahulu.
| Rasa syukur dan gembira yang hanya mampu dizahirkan melalui keceriaan yang terpancar dari wajah masing-masing kerana dapat menghirup kembali udara di tanah tumpah darah! |
Tempat pertama dituju setelah mengambil bagasi masing-masing sudah tentulah di Medan Selera. Rindu sangat rasanya hendak menjamah hidangan tempatan. Ketika ini kami tidak lagi bersama Kemi dan Liza kerana kedua-duanya meneruskan perjalanan pulang ke Melaka.
| Masakan yang sungguh menyelerakan! Amie memilih nasi putih lauk ikan keli masak lemak cili padi, sambal belacan dan sayur peria! |
| Gee pun pilih ikan keli juga, dengan sayur rebung masak lemak. |
| Fresh Orange |
| Jus Tembikai |
| Nampaknya ramai yang memilih ikan keli. Nanti sampai LD memang tak jumpa ikan keli atau ikan air tawar yang lain. |
| Boleh tarik nafas lega. Hanya tinggal satu lagi penerbangan untuk sampai ke sarang masing-msing. |
Sudah banyak kali naik kapal terbang tapi apabila sampai masa untuk self drop bagasi dan pasang tag itulah yang menjadi masalah! Jadi, kenalah saling bantu-membantu... ahaks! Kemudian kami sama-sama solat di musolla dan seterusnya menuju ke pintu masuk. Sempat menyimpang ke pintu sebelah untuk beli kek pisang dan kemudian patah balik ke pintu masuk sebenar pesawat yang akan kami naiki.
Begitu dan begini, sampailah di Lapangan Terbang Tawau. Van yang kami sewa sudah sedia menanti. Dalam perjalanan pulan ke LD, singgah di masjid di Kunak untuk tunaikan solat jamak. Pukul 11:35 malam, Encik Suami hantar video Firdaus sedang duduk di tepi pagar menunggu kepulangan kita. Ya Allah... hibanya rasa hati!
Firdaus sedang menunggu kepulangan kita. Tepat pukul 12:00 malam van sampai di depan rumah! Tak sabar-sabar Firdaus hendak peluk kita, sambil bergenang air matanya!
Seperti biasa, kita kena tunjuk wajah gembira dan ceria, sebab Encik Suami tak mahu dengar perkataan kita penatlah, sakitlah dan yang sewaktu dengannya. Kalau penat, kata Encik Suami lain kali jangan jalan-jalan lagi. Ayoyoyooooo!