Bertemu kembali dalam dunia maya.
Kita sambung main masak-masak.
Kali ini Amie kongsikan resepi Sup Ayam dengan Selada Air.
Biasanya Amie masak sup dengan menambahkan kentang, atau betik tetapi kali ini Amie tambahkan selada air dan juga tomato. Sebelum ini kalau Amie masak sup dengan tambahan selada air, Amie hanya rebus ayam dengan halia, dan bawang besar serta bawang putih sahaja. Masakan kali ini Amie cuba ubah cara memasak dengan menumis terlebih dahulu bahan perencah termasuk rempah sup. Amie tak bubuh rempah 4 sekawan, sebab hanya inginkan rasa sup yang sedang-sedang sahaja tanpa aroma rempah yang lebih kuat.
Nampaknya Fairuz dan Firdaus suka sangat hirup kuah sup ayam ini, dan Fairuz yang habiskan banyak selada air...hiks!
Secekak selada air yang Amie gunakan dalam masakan sup. Ambil pucuknya yang muda. Kalau nak ambil banyak bahagian batangnya boleh juga, tetapi kena masak agak lama sedikit sebab ia agak liat.
Inilah bahan-bahan yang Amie sediakan untuk masakan sup ayam dengan selada air. Jom kita lihat bahan-bahannya di bawah ini:
500 gram ayam - Amie gunakan sayap @ kepak ayam - potong ikut saiz yang digemari
secekak selada air - ambil daun dan pucuknya yang muda
2 biji tomato - potong dadu
1 sudu besar serbuk rempah sup
1 sudu kecil lada putih - tumbuk
3 sudu besar minyak
4 cawan air
garam / gula / perasa pilihan
Bahan hiris:
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 cm halia
Inilah antara bahan yang paling disukai ketika memasak, terutama sewaktu menumis memang sedap sungguh aroma bawang merah dan bawang putih serta halia. Biasanya ketika menumis in, Firdaus akan lari-lari masuk dapur, tanya Mommy masak apa?
Boleh gantikan lada putih dengan lada hitam.
Untuk ayam pula, boleh gunakan bahagian lain seperti kepingan dada, kaki dan sebagainya.
Buah tomato ini sebenarnya menjadi penyedap rasa, ada rasa manis dan masam - masam manja, tapi tentulah lebih kepada rasa manis.
Daun dan pucuk selada air yang lembut dan muda.
Jom kita mula masak.
1. Panaskan minyak dan goreng bahan hiris hingga terbit bau dan berwarna kekuningan.
2. Masukkan rempah sup, dan cepat-cepat gaul rata kemudian masukkan ayam.
3. Masak sehingga ayam berubah warna (layu), dan jika terlalu kering tambah sedikit air.
4. Tuangkan air dan biarkan masak mendidih.
5. Apabila ayam mulai empuk,masukkan tomato.
6. Setelah tomato menjadi lembut, masukkan pula selada air.
7. Biarkan kuah mendidih sekali lagi.
8. Perasakan sup dengan lada putih, garam / gula / perasa pilihan
9. Kacau sekali dua, dan padamkan api dapur.
Sup Ayam dengan Selada Air sedia untuk dinikmati!