Assalamualaikum.
Pengunjung Amie's Little yang dihargai, paparan ringkas untuk menu petang ini Amie kongsikan satu lagi resepi dalam hidangan berpantang iaitu Sup Kurma Merah. Sudah banyak kali Amie paparkan menu begini tetapi biasanya Amie tambahkan cendawan shiitake, kentang dan beberapa bahan lain termasuk white fungus. Khusus untuk anda yang masih tercari-cari resepi untuk diamalkan semasa dalam pantang, Amie turunkan menu yang diambil daripada buku masakan Kompilasi Hidangan Berpantang oleh Chef Nor Asmawati Nor Din.
Resepi asalnya ialah Sup Kurma Merah. Selain kurma merah dan daging ayam, bahan lain yang dimasak bersama sup ini ialah ikan bilis dan juga kacang hitam. Namun begitu Amie tidak masukkan ikan bilis dan kacang hitam, sebaliknya Amie tambahkan lobak putih. Terpulanglah pada cita rasa dan selera masing-masing untuk memilih bahan yang disukai.
Resepi Asal : Sup Kurma Merah
Sumber : Kompilasi Hidangan Berpantang oleh Chef Nor Asmawati Nor Din
Bahan-bahan:
500ml air
100 gram dada ayam - dipotong kiub
50 gram ikan bilis
20 gram kacang hitam
20 gram kurma merah
10 gram halia - hiris halus
10 gram bawang putih - hiris halus
garam secukup rasa
Cara:
1. Rebus kesemua bahan hingga mendidih dan ayam empuk sebelum dihidang.
Jom hirup kuah Sup Kurma Merah sementara masih hangat!
Catatan:
Resepi ini merupakan masakan Cina. Gabungan kacang hitam dan kurma merah membekalkan mineral untuk memperbaiki struktur kulit daripada luka dan parut. Baik untuk ginjal dan sistem paru-paru.
