Salam petang Sabtu, hari ini hari terakhir tahun 2011. Sewaktu pulang dari mesyuarat petang tadi, hujan turun renyai-renyai dan kemudian bertambah lebat. Terlelap seketika melepas lelah di ruang tamu. Bila terjaga rupanya keseorangan di rumah. Yang lain ke kampung, mengait rambutan lagi! Biasanya malam terakhir penghujung tahun, semua akan berkumpul di kampung, di rumah FIL. Masing-masing akan membawa hasil masakan dari rumah dan memang ada acara BBQ termasuk lamb, sayap ayam, ikan dan segala macam seafood termasuk sosej dan sebagainya sehingga tengah malam. Bukan sekadar untuk meraikan tahun baru dengan doa daripada FIL dan kami mengaminkannya, tetapi juga untuk mengeratkan hubungan silaturrahim. Berbeza pula tahun ini..... masing-masing dengan urusan tersendiri. Ada yang masih di timur, ada yang ke barat dan sayap ayam yang pada mulanya Amie diperap untuk dibawa ke kampung untuk dipanggang bertukar cara masakan pula! Malas untuk bersoal jawab tentang acara tahunan keluarga yang tidak menjadi ini sebab badan memang rasa letih. Jagung yang pada mulanya akan dipanggang, Amie rebus sahaja tapi kali ini rebus dengan susu segar.
Apa yang boleh Amie tuliskan tentang resepi akhir tahun 2011? Rasanya memanglah sedap ikut selera kami tapi sebab rancangan tidak menjadi, terpaksalah berubah cara memasak dari panggang atas bara kepada goreng dalam kuali. Tak kisahlah asalkan boleh dimakan!
Resepi : Sayap Ayam Goreng
Sumber : Amie's Little Kitchen
Bahan-bahan:
20 keping sayap ayam
3cm halia - tumbuk
5 biji bawang putih - tumbuk
2 batang serai - ketuk
1 sudu makan lada putih - tumbuk
1/2 sudu serbuk kunyit
2 sudu kicap pekat
3 sudu sos tiram
2 sudu minyak bijan
sedikit garam
madu / gula - pilihan
Cara:
1. Perap sayap ayam bersama kesemua bahan di atas selama 2 jam.
2. Panaskan minyak dan goreng hingga kuning keemasan.
3. Taburkan biji bijan di atasnya - sangan terlebih dahulu.
4. Hidangkan bersama sos kicap.
Jagung susu itu pula Amie rebus dengan susu segar, sedikit serbuk kulit kayu manis dan secubit garam. Resepi ini Amie terbaca sepintas lalu dalam Majalah RASA edisi Januari 2012.Kalau nak rasa yang lebih sedap, boleh tambah susu cair.
Selamat Tahun Baru 2012 untuk semua teman-teman blogger yang budiman. Terus pandang ke hadapan untuk lebih berjaya, tapi jangan lupa lihat ke bawah untuk mengingatkan diri tentang erti syukur. Senyum-senyum selalu! Kenangkan yang indah, simpan yang duka. Harap segala perancangan akan terlaksana dengan lancar.