Ya Allah....
Berilah hamba-Mu ini kekuatan untuk melaksanakan tugas yang digalas ini hingga selesai dengan sempurna.
Aamiin.
Jom merendang, jom buat dendeng.... jadi Rendang Dendeng!
Sekali cuba, mesti nak buat lagi. kalau tak percaya, cubalah.....
Sekali cuba, mesti nak buat lagi. kalau tak percaya, cubalah.....
Bahan-bahan:
1 kg daging tanpa urat - potong nipis dan lebar
2 sudu makan lada hitam - tumbuk
7 biji cili merah - tumbuk kasar
2 labu bawang besar - hiris kasar
1/2 cawan minyak masak
2 sudu makan jus limau kasturi
garam dan gula secukup rasa
Bahan kisar:
7 ulas bawang putih
5 labu bawang besar
5 sudu makan ketumbar biji
1 sudu teh jintan manis
3 cm halia
Cara:
1. Gaul daging bersama lada hitam dan garam serta gula secukup rasa.
2. Masukkan bahan kisar dan kemudian masak atas api sederhna sehingga daging agak empuk sedikit.
3. Padamkan api dapur dan keluarkan dagingnya, tinggalkan bahan perencah di dalam kuali.
4. Tumbuk daging tadi dan goreng hingga garing.
5. Panaskan minyak dan tumis bawang, cili merah tumbuk dan lebihan bahan perencah di dalam kuali tadi.
6. Masukkan jus limau kasturi, serta garam dan gula secukup rasa.
7. Akhir sekali masukkan daging yang telah digoreng tadi.
8. Gaul rata.
Selamat pagi semua.
Apa hidangan untuk tengahari ini?
Kita kongsikan resepi Sup Ikan Jenahak. Kalau kita rasa tak berapa sedap badan atau kurang selera nak makan, sup beginilah yang kita akan buat. Lada putihnya tu yang akan buat badan kita berpeluh, ditambah pula kalau ada sambal kicap! Wadeeehhh.....
Apa pun, kita kena tumis terlebih dahulu bahan-bahan perencahnya supaya naik aromanya yang pasti akan mengundang selera untuk menikmatinya!
Bahan-bahan:
4 kepingan ikan jenahak - 800 gram
2 biji tomato - belah 4
1 sudu besar lada putih - tumbuk
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
1 liter air
3 sudu besar minyak
2 sudu besar perencah MAGGI Cukup Rasa
Cadangan hiasan : bawang goreng dan hirisan daun sup / daun bawang
Bahan hiris:
1 labu bawang besar
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
2 cm halia
Kita gunakan banyak bawang sebab malas nak goreng bawang untuk hiasan, jadi bila goreng bahan hiris sup akan menjadi wangi! Tapi pastikan goreng bahan hiris lama sikit, sampai bawang berwarna kekuningan.
Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan hiris hingga naik bau. Kemudian masukkan kulit kayu manis, buah pelaga, bunga cengkih dan bunga lawang.
2. Setelah bawang kelihatan kekuningan, tuangkan air dan biarkan hingga mendidih.
3. Masukkan kepingan ikan bersama tomato.
4. Masak selama 3 - 4 minit. Tak perlu masak lama sebab isi ikan jenahak sangat lembut.
5. Tambahkan lada putih tumbuk dan perasakan dengan perencah MAGGI Cukup Rasa.
6. Padamkan api dapur.
Sotong....
Kalau sotong, resepi yang biasa Amie kongsi tak lari dari sotong goreng! Itulah satu-satunya resepi yang sangat digemari dan selalu dinanti-nantikan seisi rumah!
Tapi hari ini Amie ubahlah sikit resepi sotong. Asyik resepi sotong goreng saja, nampaknya tak bertambahlah resepi sotong dalam dapur maya ini...ahaks! Dengan menjadikan resepi AYAM MASAK KARI PAKISTAN sebagai sumber inspirasi, Amie olah sotong menjadi Sotong Masak Kari Istimewa sebagai hidangan tengahari kami. Apa pun Amie tidak gunakan cili serbuk sebaliknya Amie gantikan dengan cili merah kisar. Ayam Masak Kari Pakistan tidak gunakan rempah kari tapi Amie tambahkan serbuk rempah tersebut. Sebenarnya bahan asas yang Amie gunakan sama dengan resepi Ayam Masak Kari Pakistan ialah penggunaan bawang besar dan tomato! Tumis sehingga bahan-bahan tadi hancur dan bila pecah minyak, barulah Amie masukkan sotong. Sotongnya pula, Amie celur terlebih dahulu supaya apabila Amie masak, tidaklah perlu mengambil masa yang lama selain mengelakkan keluar air sotong dalam masakan.
Bahan-bahan:
600 gram sotong - bersihkan dan potong ikut citarasa - celur seketika dan toskan airnya
2 sudu besar rempah kari ikan
3 labu bawang besar - cincang
3 biji tomato merah - cincang
3 tangkai cili hijau - hiris
2 cawan air
1/2 cawan minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
5 tangkai cili merah
3 ulas bawang putih
2 cm halia
2 cm belacan
Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar cincang hingga kekuningan.
2. Masukkan tomato cincang dan teruskan tumisan hingga sebati.
3. Tambahkan bahan kisar dan masukkan sekali serbuk rempah kari.
4.
Kacau hingga sebati dan masukkan air. Biarkan bahan tumisan masak
sehingga bawang dan tomato hancur dan terbit minyak.
5. Masukkan sotong dan hirisan cili hijau, seterusnya perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
6. Kacau rata dan masak kurang dari 1 minit. Padamkan api dapur
Petang tadi, Encik Suami jinjing bungkusan terus bawa ke dapur. Kita tengah menyeterika alas meja sambil tengok televisyen. Bila keluar semula ke ruang tamu, kita tanya.
- Beli apa?
+Ikan.
-Ikan apa?
+Ikan kembung.
Malas nak tanya lagi. Kembung kecik ke kembung besar? Kenapa asyik beli ikan kembung. Tak ada ikan lain ke? Ni mesti beli kembung yang dah pecah perut! Ni mesti kena tipu lagi oleh penjual ikan. Nampak ikan tersusun cantik, tapi bila kita beli, main sodok je ddari bahagian bawah ikan yang sudah sedia buruk! Argh..... bila teringat Bonda selalu pesan jangan banyak membebel kalau suami pulang dari kerja, kita pun diam-diam sajalah. Kembung pun kembunglah. Bolehlah masak asam pedas. Yang penting air basuhan ikan kembung tu nanti boleh siram kat pokok selasih dan pokok limau purut, limau kasturi dan limau kapas.
Mmmm.... lauk dah siap!
Ada rupa ikan kembung tak?
Bila kita ke dapur, kita tengok bukan ikan kembung yang Encik Suami beli.
Ada dua jenis ikan... tapi susah benarlah nak cerita nama ikan ni. Nak senang cerita, yang dibelakang tu ikan Uji Rashid. Entahlah.... dari mana dapat namanya, sebab pernah dengar mata ikan ni bulat besar macam mata Uji Rashid. Yang di depan pulak MIL panggil ikan buntut kuning sebab ekornya kuning kot. Kalau di pasar, penjual ikan panggil ikan sulig. Kalau jengok Wikipedia, katanya nama ikan ni ikan ekor kuning, juga disebut ikan suli atau ikan sulih, atau juga ikan suliri dan ada juga disebut ikan sunin. Orang tempat kita sebut ikan apa ehhh....
Sewaktu hayat MIL masih ada, MIL selalu gunakan ikan ekor kuning ini untuk membuat serunding. Adeeehhh.... dah 9 tahun MIL tinggalkan kami! MIL pandai pilih ikan kalau ke pasar. Katanya ada jenis ikan kaku kejang, dan ada jenis ikan yang lembut isinya. Entahlah.... tak sempat menuntut ilmu.... patutlah kadang-kadang terjumpa ikan kejang keras bila digoreng!
Kita berkira-kira nak masak brengkes, masakan kegemaran keluarga MIL. Walaupun MIL tak berapa gemar gunakan ikan ini untuk masakan brengkes, tapi kita cuba saja, sebab beberapa kali pernah termakan brengkes ikan ini di tempat kenduri. Dua benda yang kita ingat sangat kalau nak masak brengkes ini ialah penggunaan kepala santan dan juga jus limau nipis. Itu bahan wajib! Masak sehingga pecah minyak. Masak dengan penuh hati-hati macam MIL selalu buat! Kalau nak terbalikkan ikan, MIL buat perlahan-lahan supaya ikan tak pecah!
Yang penting, air basuhan ikan kita nak siram kat tanam-tanaman di sekeliling rumah terutamanya pokok sweet basil. Encik Suami yang tolong siramkan pokok-pokok ini memandangkan kita tengah sibuk di dapur. Alhamdulillah, akhirnya nampak hasilnya berkat kesungguhan siram pokok sweet basil ini dengan air basuhan ikan. Gambar di atas baru kita ambil petang tadi. Gambar di bawah kita ambil sebulan yang lalu.
Wokey.... kita cerita tentang menu Ikan Ekor Kuning Masak Brengkes pulak. Tengah tumis bahan perencahnya, Encik Suami masuk dapur....
Mmmm... sedapnya bau! Katanya.
Itu bau tumisan perencah bercampur ketumbar. Gunakan ketumbar biji yang dikisar bersama cili kering dan bawang dan bukannya serbuk ketumbar.
Agaknya teringat masakan ibunya kot. Apa pun, jom kita lihat resepi warisan MIL di bawah ini.
Bahan-bahan:
2 ekor ikan ekor kuning - bersihkan
3/4 cawan santan pekat - ambil kepala santannya sahaja
1 sudu besar serbuk kunyit
2 biji limau nipis - perah jusnya
garam / perasa pilihan
1/2 cawan minyak
Bahan kisar:
5 biji cili kering
3 ulas bawang putih
5 ulas bawang merah
3 sudu besar biji ketumbar
Cara:
1. Goreng ikan separuh masak - angkat dan ketepikan
2. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga pecah minyak menggunakan api sederhana panas.
3. Masukkan serbuk kunyit dan gaul rata.
4. Masukkan ikan dan tuangkan santan pekat.
5.
Masak sehingga kuah mulai pekat dan keluar minyak. Jangan selalu
diterbalikkan ikan kerana isi ikan yang lembut (setengah masak) akan
pecah. Gunakan api perlahan.
6. Tambahkan garam / perasa pilihan.
7. Akhir sekali tuangkan jus limau nipis dan balik-balikkan ikan perlahan-lahan.
Hari ini kita masak ayam cara Pakistan. Dengan kata lain, Ayam Masak Kari Pakistan. Resepi ini Amie perolehi dari pada Umie Maria Hakem dari Cardiff. Apa khabar agaknya Umie Maria sekarang ni, lama benar tak telefon kita semenjak kita ada Firdaus he he heee..... maklumlah, masa agak terhad untuk kita sembang-sembang. Amie harap Umie Maria sihat-sihat selalu. Amie pernah masak resepi ini DI SINI dan DI SINI.
Bagi yang tak berapa gemar masakan bersantan dan berlemak, bolehlah cuba resepi ini. Cuma, kena sabar sedikit di awal masaknya tu... maklumlah kena tumis bawang besar sebanyak 4 biji sampai kekuningan. Lepas tu kena tunggu tomato sampai hancur. Memang agak memakan masa, tapi hasilnya cukup lazat! Tidak muak dan enak dinikmati samada dengan nasi atau dengan roti.
Jom tengok resepinya.
Bahan-bahan:
1 kg ayam - potong 8 bahagian
4 biji bawang besar - cincang
4 biji tomato merah - cincang
1 sudu besar halia kisar
1 sudu besar bawang putih kisar
1 sudu kecil serbuk kunyit
2 sudu besar serbuk cili
1 sudu kecil serbuk ketumbar
1 sudu besar garam masala
2 cawan air
garam / gula / perasa pilihan
1/2 cawan minyak
hirisan cili padi dan daun ketumbar untuk hiasan
Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bawang besar cincang hingga kekuningan.
2. Masukkan tomato cincang dan teruskan tumisan hingga sebati.
3. Tambahkan halia dan bawang putih kisar, serbuk cili, serbuk kunyit dan garam masala.
4.
Kacau hingga sebati dan masukkan air. Biarkan bahan tumisan masak
sehingga bawang dan tomato hancur.
5. Masukkan ayam dan gaul rata.
6.
Tidak perlu tambah air kerana daging ayam akan mengeluarkan air.
Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
7. Kacau sebati dan masak sehingga kuah pekat.
8. Hidangkan bersama taburan cili padi hiris dan daun ketumbar.
Dunia masakan memang sungguh meriah!
Luas tak bertepi, bak lautan tak bersempadan!
Luas tak bertepi, bak lautan tak bersempadan!
Kali ini Amie kongsi resepi Soto Banjar. Amie pernah beberapa kali menghidangkan Soto Banjar sempena rumah terbuka raya, tapi tak sempat nak tangkap gambar. Maklumlah kita sibuk melayan tetamu, sibuk lagi ulang-alik ke dapur! Yang tak dapat Amie lupakan, setiap kali menyediakan soto ini untuk tetamu, memang tak menang tangan menggentel berkilo-kilo kentang untuk dibuat pegedil!
Sebenarnya terdapat pelbagai jenis soto yang enak, yang mungkin belum pernah kita cicipi. Mungkin kita sudah biasa dengan soto ayam atau Soto Jawa, tapi kita belum biasa makan Soto Banjar. Begitu juga dengan Soto Medan dari kota Medan, Soto Padang dari Sumatera Barat, Soto Betawi, Soto Lamongan, Soto Kudus, Soto Madura, Soto Makasar dan macam-macam lagilah. Semuanya memiliki keunikan dan rasanya yang tersendiri.
Untuk mendapatkan resepi Soto Banjar yang asli, bolehlah klik DI SINI. Memandangkan banyak pilihan resepinya, anda boleh pilih sendiri. Ada 7 jenis resepi Soto Banjar di situ. Terima kasih kepada semua penyumbang resepi kerana memberi idea untuk Amie menghasilkannya. Di bawah ini Amie kongsikan secara ringkas gambar bahan-bahan yang perlu menu Soto Banjar.
Umumnya, Soto Banjar berasal dari Kalimantan Barat dan terkenal dalam kalangan suku Banjar di situ. Pada asasnya Soto Banjar mengandungi daging ayam yang dicarik, dengan pegedil atau kentang rebus, telur rebus dan juga ketupat. Bagaimana pun kebanyakan resepi yang Amie temui, mengandungi suhun celur di dalamnya. Apa pun, yang penting bahan asasnya tetap ada.
Gambar di atas merupakan daging ayam yang dicarik. Daging ayam ini direbus bersama rempah-rempahan terlebih dahulu. Tidak perlu digoreng sebagaimana kebiasaan yang kita buat tu... biasanya kita rebus ayam dan kemudian digoreng (bagi sesetengah orang) ketika menghasilkan soto ayam atau soto Jawa. Di sebelah ayam carik itu ada telur rebus. Selain telur rebus, menurut rakan FB tambahkan hirisan telur dadar yang digoreng nipis!
Disebut juga 'ketupat' sebagai salah satu pelengkap bahan Soto Banjar. Kita gunakan nasi himpit saja. Nak buat ketupat memang boleh, tapi nak mencari daun kelapa tu... itu yang parahnya!
Satu lagi bahan yang tak boleh ditinggalkan sudah tentunya pegedil kentang. Selain pegedil kentang, boleh juga gunakan hirisan kentang rebus. Mmmmm... kami anak beranak tak boleh jumpa pegedil kentang! Tak cukup 5 biji! Untuk Soto Banjar ini, Amie gunakan 1 kg kentang untuk menghasilkan pegedil.
Jangan lupa sup atau kuah soto! Rebus dulu ayam dalam periuk. Segala rempah-rempahan termasuk bawang merah, bawang putih, lada putih, halia, buah pelaga, bunga cengkih dan sebagainya ditumis terlebih dahulu. Boleh tumis gunakan minyak masak biasa atau minyak sapi sehingga terbit bau dan kemudian masukkan ke dalam periuk yang berisi ayam tadi. Sewaktu menghidangkan soto, sup ditapis terlebih dahulu untuk mengasingkan segala rempah-rempahannya. Oh! Ya.... resepi negara jiran kita biasanya menggunakan buah keras untuk memekatkan kuah sup! Jika suka, apa salahnya kita cuba....
Wah! Terpulanglah untuk menambah bahan yang mampu memenuhi citarasa anda! Sediakan bawang goreng, hirisan daun sup, limau kasturi atau limau nipis dan juga kicap lada! Waduuussss..... selamat menikmati Soto Banjar!
Untuk menambah kemeriahan, pastikan kehadiran sate di antara hidangan Soto Banjar anda!
Kakak ipar baru balik dari Kota Kinabalu. Biasanya bila melalui Kundasang, pasti banyak sayuran yang diborong, dibahagi-bahagikan untuk kaum kerabat. Kami pun dapat bahagiannya termasuklah lobak merah, sayur salad, kobis bunga, kubis panjang, timun jepun dan juga pucuk labu siam.
Encik Suami minta kita masak pucuk labu siam untuk lauk tengahari tadi. Jadi kita pun masaklah... Pucuk Labu Siam Tumis Belacan! Mmmmm... bau tumisan belacan satu dapur!
15 tangkai pucuk labu siam - bersihkan - potong sepanjang 3 cm - pisahkan batang dan daun pucuk yang lembut
10 ekor udang kertas - bersihkan
1 labu bawang besar - mayang kasar
1/3 cawan minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
10 tangkai cili kering
2 cm belacan
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
Cara:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga terbit minyak.
2. Masukkan udang, bawang besar dan batang labu siam. Kacau rata sehingga batang labu siam lembut.
3. Kemudian masukkan daun dan pucuk labu siam. Tutup kuali selama 3 minit.
4. Buka penutup dan perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
5. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.