Bismillahirrahmanirrahim.
Isnin, 29 Mei 2023. Seawal pukul 5:30 pagi, Wak Aton minta lokasi homestay kami. Rupanya Wak Aton bergerak dari kampung seawal pukul 5:30 pagi dan solat subuh di Klang, sebelum sambung perjalanan ke Muar. Memang Wak Aton sayang sungguh dengan anak-anak buahnya. Setiap kali anak-anak kami daftar masuk universiti di Malaya, Wak Aton sanggup ambil cuti untuk bantu urus pendaftaran anak-anak buahnya yang datang dari jauh, tidak lain tidak bukan Abang Farid dan Fuad. Walaupun Fuad bergraduasi di Johor, Wak Aton ambil cuti dan datang juga. Dan sekarang, kebetulan majlis bertunang Fuad pada hari Isnin tetapi Wak Aton ambil cuti juga dan sanggup datang dari jauh dengan suaminya untuk bersama-sama kami. Pukul 8:30 pagi Wak Aton sudah sampai ke Pagoh Jaya.
Alhamdulillah. Kami sempat beli sarapan di Pagoh Jaya sebelum Wak Aton sampai. Jadi, sempatlah kami bersarapan bersama-sama.
Banyak jugalah sarapan yang diborong dari gerai:
- Lempeng & Sambal Tumis
- Roti Jaya & Kuah Kari
- Kuih Ketayap
- Karipap
- Kuih Kasturi
- Sandwich
- Apam Pisang
- Nasi Lemak - lauk ayam goreng, lauk sambal kerang & sambal paru
- Mi Goreng
| Fuad sediakan minuman panas. Kebetulan kami bawa sepaket milo. Jadi, tiadalah pilihan kopi atau teh. |
| Firdaus hendak makan mi goreng. |
| Nasi lemak paru. |
Sementara menunggu waktu ke pukul 11 pagi untuk urusan merisik dan meminang, Wak Aton dan suaminya meronda Pagoh Jaya dan terjumpa durian. Diborongnya durian dan dibawanya pulang ke homestay.
Jadinya, kami pun sambung sarapan dengan makan durian!
| Terima kasih Wak Talhah (abang ipar) belanja kami makan durian. |
