Bismillahirrahmanirrahim.
Jom jalan-jalan ke Bukit Tinggi, Pahang. Kami berhasrat untuk singgah di mana-mana tempat yang boleh dilawati. Maklumlah dengan cuaca yang tidak menentu ditambah dengan musim tengkujuh di hujung tahun, tidaklah boleh mengharapkan semua perancangan menjadi nyata. Sebelum menjejak ke Bukit Tinggi terlebih dahulu kami melihat ramalan cuaca. Ribut petir dijangka akan berlaku di sebelah petang. Maknanya pada sebelah pagi sehingga lewat tengah hari kami boleh beraktiviti di sana. Sebelah petang duduk berehat sahajalah di hotel. Jadi, selepas sarapan di Royale Coffee House, kami bergegas meninggalkan bilik untuk daftar keluar.
Abang Farid sudah menempah penginapan di Colmar Tropicale Resort. Kami tiba di Bukit Tinggi pada pukul 11:05 minit pagi. Masih banyak waktu terluang sebelum daftar masuk hotel pada pukul 3 petang.
Pada mulanya kami bercadang untuk ke:
- Japanese Village
- Botanical Garden
- Rabbit Farm
- Bukit Tinggi Horse Trail Rides
Tertarik juga untuk mengikuti aktiviti yang agak lasak, tapi memikirkan cuaca dan juga tiada persediaan dari segi stamina, eloklah santai-santai sahaja. Antara aktiviti yang boleh disertai di Bukit Tinggi termasuklah:
- Flying Fox
- Canopy Walk
- Paintball Wayfare
- Rock Climbing
- High Rope Obstacle Course
- Dan Lain-lain
Salah satu tempat yang sempat kami lawati ialah Japanese Village. Terjebak jugalah Encik Suami dengan gambar yang ditunjukkan oleh juru gambar yang mengambil gambar kami di laluan masuk jalan ke Japanese Village.
| Gambar : RM30.00 |
Sebelum sampai ke Japanese Village, ada peringatan atau amaran dipaparkan di bawah anak tangga yang berbunyi:
Pelawat yang mempunyai masalah pernafasan dan jantung tidak digalakkan untuk mendaki 88 anak tangga ini. Pihak pengurusan tidak akan menerima liabiliti dan bertanggungjawab. Terima kasih di atas kerjasama anda.
| 88 anak tangga yang perlu didaki sebelum sampai ke jalan berbukit menuju ke Japanese Village. |
Sekarang kami sudah sampai di pintu masuk Japanese Village. Ada beberapa tempat di Japanese Village yang boleh dilawati seperti:
- Japanese Garden
- Japanese Tea House
- Tatami Spa
- Ume Tatami Suite
- Souvenir Shop
- Ryo Zan Tei Restaurant
| Selamat Datang ke Rumah Teh Jepun yang pertama di dunia dalam Hutan Tropika. |
| Souvenir Shop |
Kami meneruskan perjalanan menjelajah Japanese Village. Perkampungan Jepun terletak di tengah-tengah hutan hujan yang subur di Bukit Tinggi, Pahang. Perkampungan yang direka dan dibina oleh sepasukan arkitek dan tukang dari Jepun ini dipenuhi dengan laluan berliku, air terjun, taman yang indah berinspirasikan Zen, dan juga Japanese Tea House serta spa berkonsepkan Jepun.
Jika berminat boleh sewa kimono yang disediakan untuk mengambil gambar kenangan di kawasan sekitar.
Tenang saja suasana di sini dengan bunyi air yang mengalir di celah-celah batu. Amie videokan suasana di sini tetapi tak boleh dimuatnaik pula!
| Ume Tatami Suite |
Sekian. Cerita jalan-jalan di Japanese Village.