Bismillahirrahmanirrahim.
Apabila terpandang sebuah gerai dengan pemandangan asap nipis, Amie minta Encik Suami perlahankan kereta tetapi sudah terlajak ke hadapan. Terpaksalah Encik Suami undur semula. Dan, Alhamdulillah! Terjumpa gerai akok!
Siapa tidak kenal akok? Sejenis kuih tradisional yang lemak manis hasil kombinasi bahan adunan yang terdiri daripada telur, gula, santan dan tepung. Rasanya yang lembut dan lemak-lemak manis pasti tidak cukup untuk hanya makan seketul.
| Akok Terengganu |
Peniaga di gerai akok memberitahu kami bahawa akok yang mereka jual ialah akok Terengganu. Amie tanya, akok Kelantan tidak samakah dengan akok Terengganu sebab setahu Amie akok juga merupakan salah satu kuih tradisional negeri Kelantan. Mereka kata akok Kelantan kurang manis berbanding akok Terengganu. Akok Terengganu diperbuat dengan campuran tepung beras, dan rasanya lebih manis. Oh, begitukah?
Kita dengar sahajalah sebab kita pun tidak tahu sangat pembuatan kuih akok. Pernah sekali dua buat kuih akok tapi mungkin akok Kelantanlah kot sebab guna tepung gandum.
| Ada dua jenis akok iaitu akok biasa dan akok pandan. |
Kuih akok di gerai ini sangat laku. Setiap kali dikeluarkan dari acuan dan diletak bawah tudung saji, ada sahaja yang datang membeli panas-panas.
Inilah yang seronoknya datang ke negeri belah pantai timur negara kita. Penyediaan kuih tradisi masih lagi mengekalkan kaedah lama seperti dibakar dengan menggunakan tempurung kelapa yang dijadikan bara di bahagian atas dan bawah tempat pembakar.
Akok pandan sudah tentulah berbau harum. Tidak sabar rasanya hendak makan kuih akok yang sedikit berkerak di bahagian atasnya. Rasanya sudah tentulaha lemak manis dengan bahagian dalamnya yang sangat lembut serta sedikit lembik.
Tidak ingatlah berapa harganya sebab kita tidak buat catatan. Berapa banyak kita beli pun, kita sudah lupa. Ni mesti faktor usia kita.... ahaks! Banyaklah yang terlupa kalau tidak dibuat catatan. Yang kita ingat, kuih akok ini kita beli yang biasa dan akok pandan. Kedua-duanya habis licin sebelum kami sampai ke restoran untuk makan tengah hari.
| Akok Terengganu |
Akok yang pernah kita buat sendiri nama dia Kuih Akok Kedut Pandan: AKOK KEDUT PANDAN. Resipinya Amie kongsi dari Mamamia's Kitchen.