ADSENSE

Selasa, 15 September 2020

Pusat Kebudayaan Murut Sabah di Tenom

Sambung cerita jalan-jalan Tambunan - Keningau - Tenom - Kundasang 20-24 Ogos 2020. Kami bertolak dari Keningau ke Tenom sekitar pukul 8 pagi. Jarak dari Keningau ke Tenom hanya 43 kilometer sahaja. Sebelum sampai ke pekan Tenom, kami singgah dahulu di Pusat Kebudayaan Murut Sabah.

Selain maklumat tentang budaya Murut di Muzium Negeri Sabah, Kota Kinabalu kami juga dapat tambah info  keunikan budaya masyarakat Murut di sini.



Tidak semua ruangan pameran dapat dimasuki kerana masih terdapat kerja-kerja penyelenggaraan yang sedang dijalankan.



Mari kita singgah di rumah tradisi masyarakat Murut. Berkawan dengan Rosneh sehingga Amie berpeluang mengunjungi kampung halaman Rosneh di Kampung Silungai, Pensiangan pada tahun 2005 memberikan pengalaman yang sangat berharga. Amie sempat melawat rumah panjang kaum Murut, menyaksikan sendiri setiap pagi penghuni rumah panjang bersama bakul di belakang dan seekor anjing yang berjalan di hadapan tuannya, memungut hasil hutan. Entah apa ceritanya sekarang, ibu dan adik-adik Rosneh. (Rosneh tidak dapat dihubungi ketika kami tiba di Keningau). Moga semuanya sihat-sihat saja. Terima kasih yang tidak terhingga buat Rosneh sekeluarga serta penduduk rumah panjang Kampung Silungai termasuk ketua kampung, atas layanan baik kalian.Selain menimba pengalaman melihat cara hidup mereka, Amie juga rasa sangat bangga di atas usaha gigih Rosneh untuk mencapai cita-citanya.
Kau tahu Mie, aku dulu jalan kaki seminggu dari kampungku ke Nabawan untuk daftar tingkatan satu.
Amie tercengang. Tidak faham apa yang ingin disampaikan oleh Rosneh.
Aku berjalan sama cikguku dalam hutan.
Bila waktu petang, kami singgah di sulap-sulap, (pondok) kami kumpul ranting kayu kering, kami masak nasi. Kami bawa bekal beras, bawa periuk sekali.
Tidur dalam hutan?
Ya, memang ada sulap-sulap dalam hutan. Siapa-siapa saja boleh bermalam di situ sebelum sampai ke jalan besar. 
Amie terbayang hutan belantara yang kami lalui dalam hutan Pensiangan. Kami menaiki pacuan empat roda dari Keningau, melalui jalan balak. Dan kebanyakan masa di dalam perjalanan memang Amie asyik memejamkan mata, tidak sanggup melihat jurang yang dalam di kiri atau kanan jalan. Perjalanan ke Kampung Silungai memakan masa selama 2 hari. Hari pertama, Amie bertolak dari Lahad Datu dengan menaiki bas sehingga ke Ranau. Dari Ranau kami menaiki van sehingga ke Keningau. Keesokan paginya, kami bertolak dari Keningau dan melalui hutan belantara untuk sampai ke kampung kelahiran Rosneh. Rupanya bukan setakat menaiki pacuan empat roda, kami menyambung perjalanan dengan menaiki sampan enjin sangkut yang dibawa oleh adik lelaki Rosneh. Pukul 5 petang, sampan merapat ke tebing sungai, dan di situlah rumah panjang masyarakat Murut di Kampung Silungai. Ketika itu jugalah kepala rasa berpusing-pusing dan mata jadi berpinar-pinar. Rupanya Amie mabuk!
Rosneh!
Sehingga ke hari ini masih terngiang-ngiang tutur katamu! Ceritamu tentang keluargamu, dan anak-anak Kampung Silungai. 
Mie, ada kau nampak tadi aku tunjukkan sekolah rendahku di tepi sungaikan? Tiap kali kami pergi sekolah, kami masukkan beg berisi buku dalam plastik. Kalau sampan terbalik, buku tidak basah. Kami saja yang basah.
Di kampungnya hanya ada sebuah sekolah rendah. Untuk sambung persekolahan, kenalah keluar dari kampung. Sekolah menengah terdekat terdapat di Nabawan. Itulah tekad dan cita-cita Rosneh, sehingga sanggup berjalah kaki selama seminggu di dalam hutan belantara. Ketika itu, masih tahun 1980-an. Tahun 2005, ketika Amie sampai ke kampungnya, Amie dapat bayangkan betapa jauhnya Rosneh berjalan kaki sebab perjalanan kami dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda di dalam hutan pun memakan masa lebih kurang 3 jam! 
Usia 19 tahun, Rosneh sudah berumahtangga dengan gurunya sendiri. Demi cita-cita, biarpun telah memiliki 3 orang cahaya mata, Rosneh terus menimba ilmu atas dorongan dan izin suami tercinta. Atas jerih payah yang dilaluinya, akhirnya Rosneh berjaya menyambung pelajaran hingga ke menara gading di Universiti Semarang, Indonesia! Di sinilah sekali lagi dia menghadapi ujian yang sangat berat! Sakitnya merindui anak-anak kecilnya dan keluarga yang ditinggalkan selama 4 tahun demi sebuah cita-cita!
Rosneh! Andainya ada rezeki Allah izinkan, ingin sekali Amie bertemu denganmu. Bertemu dengan ibumu dan ahli keluargamu. Bagaimana agaknya ketua kampungmu yang peramah dan baik hati itu? Masih jelas terbayang bagaimana dia bercerita tentang musibah banjir yang melanda kampungmu pada tahun 1988. Dan paling tragis, banjir itu turut meragut nyawa isterinya dan keempat-empat anaknya sekaligus! Masih teringat juga pesannya sewaktu mengakhiri kisah sedihnya: Kalau jatuh ke dalam sungai, jangan melawan arus, ikut saja ke mana arus sungai membawamu pergi!

Oh! Teremosi pula.... ahaks!
Masyarat Murut merupakan suku kaum ketiga terbesar di Sabah. Mereka menetap di pedalaman dan kawasan tenggara Sabah serta wilayah perbatasan antara Kalimantan dan Sarawak. Tempat tinggal mereka termasuk Tenom,Kemabung, Pensiangan, Merotai, Kalabakan, Tongod dan Keningau. Hari ini, kaum Murut boleh ditemui di mana-mana sektor awam di negeri Sabah.
Eh! Marilah kita masuk ke balai lansaran! 
(Teringat penerangan ketua Kampung Silungai tentang peraturan ketika majlis jamuan di adakan di rumah panjang. Kalau nak cerita memang panjang berjelan... ahaks).

Ada lantai khas yang dibina sebagai pentas tarian.

Kami minta khidmat Encik Suami untuk tunjukkan langkah demi langkah tarian lansaran. Encik Suami sebenarnya pernah menjadi jurulatih latihan di LD.


Tarian tak menjadi, hanya ketawa  tak henti-henti!

Pemandangan di bahagian bawah rumah. Ada susunan kayu bulat (di atasnya pentas tarian) supaya menjadi anjal apabila para penari bergerak dalam bulatan dan melantunkan diri ke atas. 

Setelah penat melonjak-lonjak mencapai 'singkowoton' (tidak ada singkowoton di balai lansaran), kami pun bergerak ke sebuah rumah pameran yang lain.


Kaum Murut memang sangat terkenal dengan kepandaian dalam menghasilkan barang anyaman. Nampak sangat cantik hasil kraftangan mereka!


Ini pula kulit kura-kura yang dijadikan alat muzik.









Mari kita lawati pameran seterusnya.
Sepatutnya masuk ke sini dahulu, kemudian melawat ke tempat lain.
Para pengunjung boleh memukul gong sebanyak 3 kali sebelum memasuki ruang pameran.




Seterusnya biarlah gambar yang berbicara.








































Encik Suami bergambar kenangan di sini.
Katanya, sewaktu bertugas sebagai jurulatih tarian, dia perlu mengikuti kursus semua jenis tarian tradisi di negara kita. Tidak terkecuali semua tarian etnik Sabah termasuk tarian dari suku kaum Murut. Katanya lagi, dia pernah memakai pakaian yang dipakai oleh 'patung' di sebelahnya ini. Pakaian tersebut diperbuat daripada sejenis kulit kayu yang ditumbuk! Perhatikan betul-betul... pakaian daripada kulit kayu yang ditumbuk, bukannya kain seperti yang kita pakai!

Sempat belajar bahasa Murut : sasapak sinusukan yang bermaksud hiasan kepala lelaki bersulam.

Lalandau - topi lelaki Murut.
Pinongkoloh - sarung perempuan bersulam manik.
Holong - gelang tangan.

Saja jew rakam gambar kayu ini sebab teringat cerita Rosneh tentang hiasan di pentas tarian kena ada kayu seperti di atas. Waktu itu Rosneh bawa Amie melawat pentas tarian yang kebetulan ada seorang lelaki sedang membuat persiapan pentas dengan menggunakan kayu ini. Dengan menggunakan pisau, lelaki tersebut menyiat kayu dan terhasillah rumbai-rumbai seperti di atas.








Kami dimaklumkan akan ada persembahan kebudayaan pada pukul 10;20 pagi. Nampaknya Firdaus sudah keletihan ke sana ke mari sehingga tertindur di pangkin buluh.

Setelah menyaksikan tarian tradisi masyarakat Murut di  mini auditorium, kami pun meninggalkan Pusat Kebudayaan Murut.

Jumpa lagi.

8 ulasan:

nohas berkata...

Berat sungguh perjuangan menuntut ilmu..berjln, bermlm di dlm hutan..semoga Amie dpt bertemu Rosneh & famili..

Cantik anyaman nya..suka2..

ShirVen berkata...

kebudayaan sesuatu kaum itu semuanya unik2 termasuk kaum murut ni.
most of all rindu nak melawat sabah juga ni, asal plan tahun ni nak pergi
tapi semua ditunda gara2 covid 19

Warisan Petani berkata...

Banyak pengetahuan yang boleh kita pelajari

Siti Nadira berkata...

Banyak sangat tempat nak dilawati di sabah
memang unik dan menarik
mengenai banjir besar tahun 1988,
kawan saya dari keningau pun ada cerita...hilang tempat tinggal
hilang 2 kereta...tapi Alhamdulillah..senang dah sekarang

Cikgu Bada berkata...

Jauh perjalanan luas pemandangan

TukangKebun berkata...

Saya dah beberapa kali lalu depan Muzium ni tapi tak berkesempatan nak singgah sebab buat kerjalapangan. Tumpang tengok dengan pengalaman Kak Amie. Lain kali ada rezeki nak juga bawa anak-anak kan sini. Ya memang susah diorang nak ke sekolah kawasan pendalaman sini. Sedangkan pelajar bawah penyeliaan saya pun adik nya sekolah menengah kena tempat lain dan ibunya sewa tempat tinggal berdekatan demi nak kasi sekolah kan anak-anak. Sebab di Kampung hanya sehingga sekolah rendah sahaja ada.

Shida Radzuan berkata...

Unik dan menarik tempat ni.. Satu hari saya jika bkesempatan boleh ke sana!

Azhafizah MN berkata...

Sangat menarik pusat kebudayaan ni. Banyak yang boleh kita pelajari dari zaman dulu-dulu. Seni yang menarik dan cantik. Baru tahu juga kulit kura-kura dijadikan alat muzik.