Soto Ayam PKP 2.0
6:54 PTGMusim hujan begini, memang sedap betul dapat hirup kuah soto ayam panas-panas. Hari ini kami sekeluarga makan soto ayam sahaja dari tengahari hingga ke petang. Kalau tidak kerana kelmarin Firdaus minta pegedil kentang, memang tak terhidanglah soto pada hari ini. Kata Firdaus, nanti dia akan tolong buat pegedil. Dia nak tumbuk kentang goreng hingga hancur. Katanya lagi, nanti Mommy masukkan bawang goreng dengan daun sup dalam p[egedil. Tiga empat kali jugalah dia ingatkan untuk buat pegedil. Bangun pagi tadi, dia tanya lagi bila nak buat pegedil. Amie kata, nanti Mommy pergi pasar beli bahan. Balik dari pasar, bukan main seronok lagi dia. Tak sabar-sabar minta Amie goreng kentang untuk dibuat adunan pegedil.
Cerita Firdaus buat bantu buat pegedil dan resipi soto ayam ada di sini : Resipi Warisan : Soto Ayam
Soto Ayam |
Apabila Fuad masuk dapur, bisinglah dia melihat pegedil yang sedang Amie goreng. Katanya, kenapa buat sikit sangat. Bukan Mommy tak tahu di rumah ni semua hantu pegedil. Bukannya cukup tu, katanya lagi. Amie kata, daripada membebel pasal pegedil baiklah tolong cuci pinggan mangkuk di sinki. Tolong belah nasi himpit sekali.
Gang soto ayam sudah siap terhidang. |
Firdaus sudah potong rambut. Nampaklah mukanya yang makin bulat. Tak tahu di mana pelenyek kentang, jadi gunakan anak lesung saja untuk hancurkan kentang goreng sebanyak 1.5 kg.
Hancur kentang goreng Firdaus lenyek dengan anak lesung. Katanya, Daus sudah Tahun 2 mestilah pandai lenyekkan kentang.sampai hancur.
Seperti sebelumnya, Firdaus akan gunakan sudu sukatan untuk membentuk pegedil. Kali ini katanya nak buat pegedil saiz besar, jadi kenalah guna sudu sukatan paling besar.
Tekun budak kecil ini menyukat adunan kentang. |
Diratakannya permukaan pegedil. |
Firdaus keluarkan pegedil dari 'acuan'nya. |
Disusunnya pegedil yang sudah dibentuk dengan penuh hati-hati di atas dulang. |
Bahan-bahan untuk pegedil kentang:
1.5 kg ubi kentang - kupas dan potong baji menjadi 8 setiap biji ubi kentang
3 tangkai daun sup - hiris
1/2 cawan bawang merah goreng
1/2 sudu kecil lada putih - tumbuk
garam / perasa pilihan
1 biji telur
minyak
Cara:
1. Goreng kentang hingga masak dan toskan minyaknya.
2. Lenyek kentang hingga hancur.
4. Gaul kentang lenyek bersama daun sup, lada putih, dan garam / perasa pilihan.
5. Bulat-bulatkan adunan kentang dan leperkan ditepinya sedikit - Firdaus gunakan sudu sukatan
6. Pukul telur dan celup pergedil tadi ke dalam telur sebelum menggorengnya.
7. Gorenglah hingga masak atau berwarna kuning keemasan.
8. Angkat dan toskan.
Bahan -bahan:
1.5 kg dada ayam - belah 2
1/2 kg kaki ayam - bersihkan dan potong 2
Bahan tumisan untuk kuah soto:
1 sudu besar lada putih - tumbuk
3 cm kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
garam /perasa pilihan
3 liter air
4 sudu besar minyak untuk menumis
Bahan kisar:
1 labu bawang besar
5 ulas bawang putih
10 biji bawang merah
5 cm bonggol pokok sup
5 cm halia
5 biji buah keras
2 sudu besar rempah sup BABAS
Cara:
1. Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bahan kisar sehingga naik bau.
2. Kemudian masukkan semua rempah seperti kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih, dan buah pelaga kecuali lada putih tumbuk.
3. Seterusnya masukkan ayam dan kaki ayam dan balik-balikkan hingga layu.
4. Tambahkan air secukupnya dan biarkan mendidih.
5. Masukkan lada putih, garam dan perasa pilihan. Tutup periuk dan perlahankan api.
6. Apabila dada ayam telah masak, angkat dan toskan.
7. Biarkan kaki ayam terus direnih dengan api paling perlahan dan masak hingga empuk.
8. Goreng dada ayam hingga kuning keemasan. Angkat dan toskan minyaknya.
9. Carik-carik isi ayam dan masukkan tulang ayam tadi ke dalam kuah yang sedang direnih.
Ayam rebusyang telah digoreng dan dicarik-carik. |
Nasi himpit hasil potongan Fuad. |
Taugeh mentah. |
Bahan pelengkap: Bawang goreng, kacang tanah goreng, limau kasturi, sambal kicap dan hirisan daun sup. |
Biasanya Amie sediakan bawang goreng sendiri tetapi kali ini gunakan bawang goreng dalam paket sahaja. Pagi tadi nak beli bawang merah tapi apabila melihat harganya, Amie beli bawang besar saja. Bawang merah berharga RM25.00 sekilogram. Taugehnya pula, sebenarnya Amie suka taugeh kontot yang baru keluar ekor, tapi sehingga ke hari ini masih tak pandai buat. Sedap taugeh kontot, lemak-lemak rangup rasanya.
Wokey, semua sudah siap di atas meja. Mari kita lengkapkan soto di dalam mangkuk sebelum dihidangkan dengan bahan-bahan seperti berikut:
- ayam goreng yang disiat-siat
- nasi himpit
- pegedil kentang
- suhun goreng
- kacang tanah goreng
- taugeh
- bawang goreng
- hirisan daun sup
- kuah soto
- limau kasturi
- sambal kicap
Selamat menikmati Soto Ayam PKP 2.0
9 comments
Soto ni selalu jadi hidangan keluarga Sk ketika Aidiladha. Kadang, kalau keluar sarapan, banyak kedai jual Soto di JOHOR ni tapi kenapa Tak berapa minat makan Soto di kedai sbb supnya jarang menepati citarasa.
BalasPadamTerliur tengok Soto Amie, untung anak2 rajin menolong terutama si kecik Firdaus tu, hihi
@Seri Kandi Di Tanah Jauhar Di sini susah nak jumpa soto ayam macam di tempat kita, Malaya. Ada masa, buat jugalah untuk ubat kepingin.
BalasPadamRajinnya "assistant" kecik tu. Smart idea guna penyukat utk cetak pegedil.
BalasPadamSedapnya soto kak amie. Ini yang rindu nak balik johor ni. Rajin Firdaus tolong mommy masak kat dapur. Aikk tak pakai spek pulak dia. serious betul dia buat kerja tu. Pembantu berdedikasi betul.
BalasPadamAla rajinnya membantu budak tecik tu....
BalasPadamWak suka soto madura
BalasPadamSaya pun hantu begedil. Soto pun saya suka. Makan dengan cili kicap stail orang Johor. Rajin Firdaus tolong Mommy
BalasPadamsedap nya soto ayam..paling suka begedil tu
BalasPadamWah lengkap semua! Bagusnya adik firdaus rajin tolong buat begedil!!
BalasPadamHehe begedil memang sedap!! Cik TK pun suka!!!