Bismillahirrahmanirrahim.
Sukarnya hendak menulis kali ini.
Hari Sabtu, Ahad, Isnin dan hari ini Selasa - ada kalanya berasa entah di mana diri ini berada!
Hari Sabtu, Ahad, Isnin dan hari ini Selasa - ada kalanya berasa entah di mana diri ini berada!
Selepas menghadiri konvokesyen Ph.D Abang Farid di UTP pada 02 November 2026, Amie bersama Encik Suami, Fairuz dan Firdaus ke HUKM pada 04 November 2026 untuk mengambil ubat tambahan. Kata Encik Suami bekalan ubat tidak mencukupi sehingga ke tarikh 07 Disember 2026. HUKM minta bukti Encik Suami balik ke LD. Jadi Fairuz tunjukkan tiket penerbangan pada 07 November. Urusan tambah ubat berjalan lancar.
06 November 2026, selesai solat Jumaat di kampung, kami bertolak ke Ibis Style Sepang KLIA untuk memudahkan urusan penerbangan pada 07 November 2026. Ketika Fairuz hendak memasukkan kerusi roda ke dalam bonet kereta, Encik Suami kata tak perlu bawa. Katanya, kakinya masih kuat untuk berjalan. Disuruhnya Fairuz kembalikan kerusi roda ke dalam bilik.
Di hotel, menjelang pukul satu malam, Encik Suami kata tidak boleh tidur, dan rasa loya. Kemudian terdengar batuk-batuk kecil. Amie sudah gelisah, bimbang berlaku masalah sesak nafas lagi. Amie suruh Encik Suami makan ubat, tetapi katanya tidak perlu. Amie urut perlahan-lahan belakangnya dengan harapan berasa lebih selesa dan boleh tidur.
Pukul empat pagi, Amie hantar mesej dan telefon Abang Farid dan Fuad. Amie minta Abang Farid balik kampung dan ambil kerusi roda. Pada masa yang sama Fairuz meminta bantuan dari pihak hotel. Pekerja hotel membawa kerusi roda ke bilik penginapan kami. Encik Suami dibawa ke klinik terdekat iaitu Klinik Utama.
Sementara Fairuz mengurus Encik Suami, Amie berkemas-kemas di dalam bilik, bersedia untuk sebarang kemungkinan. Fairuz telefon, beritahu Encik Suami kini berada di Klinik Utama tetapi tidak boleh baring, dan terus sesak nafas. Bantuan oksigen diberikan dan doktor memutuskan supaya dibawa ke hospital terdekat iaitu Hospital Putrajaya.
Abang Farid pula, dari Batu Caves terperangkap dalam perjalanan ke kampung kerana banjir di Parit Mahang.
Encik Suami dimasukkan ke zon merah, wad emergency.
Terima kasih Ibis Style Sepang KLIA di atas bantuan yang diberi di saat kecemasan. Mereka hantar Encik Suami ke Klinik Utama menggunakan kenderaan hotel. Pihak hotel juga menawarkan akan panjangkan waktu penginapan hingga ke malam. Bagaimanapun kami terpaksa check out dan membawa beg menuju ke Hospital Putrajaya.
Menjelang tengah hari, kami masih menunggu di luar wad emergency. Abang Farid, Aseeyah dan Hamzah turut berada di sana. Fuad akan sampai dari Johor menjelang malam. Petang itu Abang Farid tempahkan tempat penginapan kami di Smile Hotel. Fuad sampai dan singgah sebentar di hotel sebelum ke hospital. Pukul 1:30 tengah malam, Encik Suami dipindahkan dari zon merah ke ACCU - Coronary Care Unit. Kami tidak dibenarkan berada di unit ini kecuali pada waktu lawatan sahaja.
![]() |
| Encik Suami di ACCU |
Hari Sabtu, Ahad dan Isnin berlalu dan hari Selasa yang sedang dihadapi. Malam tadi Encik Suami dipindahkan ke wad biasa. Alhamdulillah. Dapatlah semua anak-beranak melawat termasuk Fuad dan Abang Farid. Hari ini doktor beri peringatan, tidak membenarkan Encik Suami menaiki kapal terbang sebelum melalui proses pembedahan jantung di HUKM yang dijadualkan pada 10 Disember 2026.
Hari Sabtu lepas, semua terlupa tentang penerbangan kami empat beranak yang terlepas dari Kuala Lumpur ke Tawau!
Apa pun, syukurlah Encik Suami sempat dikejarkan ke hospital. Sekali lagi ucapan terima kasih atas segala pertolongan kepada pihak Ibis Style Sepang KLIA, Klinik Utama dan Hospital Putrajaya. Kami tidak mampu membalas budi baik semua pihak melainkan hanya Allah Yang Maha Kaya yang dapat mengurniakan sebesar-besar ganjaran buat semua yang terlibat memudahkan segala urusan rawatan Encik Suami. La hawla wala quwwata illa billah.







































