Mee Rebus Daging
10:17 PTG
Bertemu kembali.
Alhamdulillah. Hari ini merupakan hari ketiga umat Islam berpuasa, dan genap 40 hari kita berkurung menjalani PKP. Mudah-mudahan semuanya sihat-sihat saja.
Kali ini Amie ingin kongsikan Mee Rebus Daging, juadah berbuka puasa kami seisi keluarga petang tadi.
Orang kata mee rebus terletak pada 'kuasa' kuahnya. Oh! Begitu ceritanya. Kuah mee rebus yang sedap mempunyai kombinasi rasa dari pelbagai bahan yang dioleh sehingga menjadikan rasanya bergabung menjadi satu, lengkap dengan manis dari ubi keledek dan ubi kentang serta kacang tanah. Ditambah pula dengan serbuk kari, taucu dan kacang tanah kisar serta udang kering. Kuahnya yang agak pekat memang mampu menggoda selera!
Jom kita masak kuah mee rebus bersama-sama. Amie gunakan daging lembu bahagian peha, direbus hingga lembut dan gunakan air rebusan daging lembu dicampurkan dalam masakan kuah.
Bahan-bahan untuk kuah:
800 gram daging peha - rebus hingga empuk - hiris kecil - secawan untuk dimasak bersama kuah - simpan air rebusan (lebih kurang 500ml)
500 gram keledek - rebus dan lecek
500 gram ubi kentang - rebus dan lecek
5 biji tomato - cincang
1/2 cawan kacang tanah - goreng - kisar halus
4 sudu besar serbuk kari daging
2 sudu besar taucu pedas manis
4 sudu besar minyak
1.5 liter air
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
5 ulas bawang putih
10 biji bawang merah
2 cm halia
1 cm lengkuas
3/4 cawan udang kering - rendam hingga lembut
Bahan pelengkap:
1 kg mee kuning - bilas - celur - toskan
hirisan daun sup / bawang
bawang goreng
hirisan cili hijau
tauhu basah - goreng - hiris
taugeh - celur
fish ball - celur
telur rebus - belah 4
limau kasturi
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga terbit aroma.
2. Masukkan serbuk kari daging dan tambahkan sedikit air. Biarkan masak mendidih seketika.
3. Masukkan daging rebus, air rebusan daging, 1.5 liter air, ubi keledek dan ubi kentang lecek dan tomato cincang.
4. Masak sehingga kuah mendidih dan kacau selalu supaya bahagian bawah kuah tidak hangus. Kemudian masukkan kacang tanah kisar.
5. Renih sehingga kuah agak pekat.
6. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
7. Hidangkan mee kuning dalam mangkuk. Hiaskan dengan limau kasturi, hirisan cili hijau, daun sup / bawang, bawang goreng, taugeh , tauhu goreng, fish ball dan hirisan daging.
8. Tuangkan kuah, dan sedia untuk dinikmati.
Mee Rebus Daging dah siap.
Jom sama-sama nikmati Mee Rebus Daging dengan teman-teman seangkatan dengannya. Nak tambah sedap, boleh sediakan cili kicap!
2 comments
wow..baru plan nak wat mee rebus homemade juga tp kena tunggu cuti minggu depan baru leh main masak2 balik..hihi!
BalasPadamSA nak masak mee rebus daaging ni la asyik x menjadi je.....kena try and error lagi...
BalasPadam