Masak Asam Pedas Ikan Cara Mak Mentuaku
1:15 PTG
Alhamdulillah. Berita baik yang diterima setakat kelmarin dilaporkan sejumlah 1,487 telah pulih dari wabak Covid-19 dari sebanyak 4,119 yang disahkan positif. Namun angka kematian terus meningkat menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 65 kes.
Syukur Alhamdulillah, semua petugas barisan hadapan sentiasa bertungkus-lumus untuk mengubati, membanteras dan mencegah virus halimunan ini dari terus berkeliaran di segenap ruang muka bumi Allah. Kita tidak hanya berserah dengan berpeluk tubuh dengan menerima dan menyalahkan takdir, sebaliknya terus berusaha dan berikhtiar sehabis daya dan selebihnya barulah kita bertawakal kepada-Nya!
Sebagai rakyat biasa, pastikan kita sentiasa mematuhi arahan PKP dari semasa ke semasa dengan menjaga kebersihan diri dan arahan-arahan lain. Banyakkan bersyukur dan kurangkan keluhan. Jika kita rasa susah, ada lagi yang lebih susah dari kita. Sesekali pandanglah ke bawah, dan jangan terus mendongak ke atas. Muhasabah diri. Bersyukur dan sentiasa merendah diri. Kita hanya hamba-Nya yang kerdil. Kun Fayakun!
Kita cerita tentang resepi pula. Kali ini Amie ingin kongsikan masakan asam pedas ikan gaya mak mentua Amie. Mula-mula jadi menantu 26 tahun yang lalu, Encik Suami suka sangat bawa kita balik kampung. Jadi, kita pun seganlah kalau tak buat apa-apa. Kita pun tolong masak di dapur. Bila nampak kita di dapur, MIL pula buat kerja lain di luar rumah. Suatu hari, kita hidangkan asam pedas ikan tenggiri untuk lauk makan tengahari. MIL terkejut, dan katanya : Ooooo begini rupanya asam pedas orang negeri. (Orang negeri yang mereka maksudkan ialah negeri kita. Disebut orang negeri sebab mereka orang pulau, maksudnya lahir di pulau). Amie pun tercengang-cengang. Tak betulkah asam pedas ikan yang Amie masak?
Mungkin inilah kali pertama mereka makan masakan asam pedas ikan, bisik hati Amie.
Sehinggalah suatu hari, jiran MIL berikan seekor ikan lawang. Sambil menyiang ikan lawang, dan ajar Amie cara membersihkan ikan lawang dengan betul agar tidak meninggalkan bau, MIL kata nak masak asam pedas. Dari situ, barulah Amie tahu cara masakan asam pedas keluarga Encik Suami. Warna asam pedas MIL tidak merah kerana tiada penggunaan lada kering. MIL gunakan cili padi kampung yang berwarna hijau, belacan, halia, bawang, serai dan bancuhan air asam jawa. Memang semerbaklah dapur dengan aroma belacan ketika MIL masak asam pedas ikan tersebut.
Nampak berselera sekali FIL makan lauk ikan lawang masak asam pedas hasil air tangan MIL. Amie teringat lagi, MIL tambahkan seketul lagi ikan lawang ke dalam pinggan nasi Amie.
Amie beritahu Encik Suami, nak masak asam pedas ikan ikut resepi MIL. Walaupun tidak ada ikan sungai seperti yang MIL selalu gunakan, Amie akan gunakan ikan tudung periuk atau panggilan tempatannya ikan buna. Encik Suami pesan, gunakan cili padi kampung yang hijau. Wokeyyy....
Inilah rupa ikan tudung periuk atau ikan buna. Bentuknya leper saja tapi di bahagian siripnya penuh lemak. Digoreng saja pun sodap! Isinya lembut. Jadi tak perlu ambil masa yang agak lama untuk memasaknya. Seekor ikan tudung periuk ini beratnya 1200 gram. Amie potong 2, dan gunakan 1 bahagian sahaja untuk masakan asam pedas.
600 gram ikan tudung periuk - potong ikut saiz yang disukai
1 batang serai - diketuk
1 keping asam gelugor - boleh gunakan bancuhan air asam jawa
10 biji kacang bendi - buang tampuk dan ekor
2 biji tomato - belah 4
1 liter air
4 sudu besar minyak
garam / perasa pilihan
Bahan tumbuk:
15 biji cili padi kampung warna hijau
1 sudu kecil belacan
3 ulas bawang putih
5 biji bawang merah
1 cm halia
Cara memasak:
1. Panaskan minyak. Tumis bahan tumbuk bersama serai sehingga terbit aroma.
2. Tuangkan air dan biarkan kuah mendidih.
3. Masukkan asam gelugor, ikan dan kacang bendi.
4. Masak selama 5 minit.
5. Masukkan tomato, garam / perasa pilihan.
6. Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.
Asam Pedas Ikan Tudung Periuk dah siap!
Senang saja cara masakannya bukan?
Itulah Masak Asam Pedas Ikan Cara Mak Mentuaku.
3 comments
Sedapnya, masam2 pedas... ikan ini arwah bapak sy pun suka beli kak dulu....lebor bebeno.
BalasPadamNasa Mulia,
BalasPadamtak banyak ikan ni di pasar, jadi kalau jumpa terus beli. Sedapkan!
Salam kak amie...klu sini tempat kmi d sabah ni...banyak kak ikan buna ni...sekilo cuma rm5 saja...husband sy suka makan ikan ni
BalasPadam