Sambal Tempoyak Petai, Ikan Tilapia Goreng Kunyit & Labu Masak Lemak dengan Cekur Manis
2:33 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Sudah makan tengah hari? Apa agaknya hidangan yang disajikan?
Amie kongsikan menu kelmarin petang. Sekadar suka-suka untuk dibaca semula apabila ada kelapangan. Semoga semua coretan bersama keluarga akan menjadi kenangan manis pada masa akan datang.
Pada mulanya Amie hendak masak Sambal Tempoyak Petai dengan Ikan Tilapia Goreng Kunyit sahaja, tetapi apabila masuk dapur keluar empat lauk pula.
Sambal Tempoyak Petai ini muncul gara-gara melihat gambar Sambal Tempoyak Petai dalam entri lama. Kebetulan pokok kunyit tumbuh subur, ambillah beberapa helai dengan isinya sekali. Daun kunyit dihiris untuk ditambah dalam Sambal Tempoyak Petai, manakala isinya Amie tumbuk bersama bawang putih untuk Ikan Tilapia Goreng Kunyit.
| Lauk Hidangan Makan Tengah Hari / Malam |
Untuk resipi Sambal Tempoyak Petai boleh rujuk di sini:
Bahan-bahan:
- 7 sudu besar tempoyak
- 1 cawan isi petai - belah dua
- 4 helai daun kunyit - hiris
- 1 sudu kecil serbuk kunyit
- 1 keping asam gelugur
- 1/2 cawan minyak
- garam / gula / perasa pilihan
Bahan pilihan - terung pipit - goreng dahulu - toskan
Bahan kisar - tidak terlalu halus :
- 30 tangkai cili padi
- 5 tangkai cili hijau
- 5 ulas bawang putih
- 10 biji bawang merah
- 1 cawan ikan bilis - cuci bersih - toskan
Cara memasak:
- Panaskan minyak.
- Tumis bahan kisar hingga pecah minyak.
- Masukkan tempoyak.
- Taburkan garam / gula / perasa pilihan.
- Kacau rata.
- Masukkan daun kunyit dan petai.
- Biarkan seketika sehingga daun kunyit dan petai berubah warna.
- Jika suka masukkan teryng pipit yang sudah digoreng.
- Padamkan api dapur.
| Gambar entri lama : Sambal Tempoyak Petai |
| Labu Masak Lemak dengan Cekur Manis |
Labu Masak Lemak dengan Cekur Manis ini Amie tambahkan isi ikan kembung tumbuk. Untuk rasa lebih klasik Amie masukkan suhun dan hirisan cili merah. Nampaklah ala-ala kampung. Nostalgia gitu... ahaks!
| Ikan Tilapia Goreng Kunyit |
Amie goreng seekor ikan tilapia. Kebetulan ada kunyit hidup jadi Amie tumbuklah dengan bawang putih ikut gaya masakan blogger SURIA AMANDA, resipi tinggalan arwah bondanya, Mak Pah. Setiap kali tulis nama arwah dalam hati selalu mendoakan agar rohnya tenang di sana dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
SA kata selain ikan cencaru boleh jew guna ikan lain. Setakat ini Amie pernah gunakan ikan kerisi. Sedap betul, goreng garing lepas itu taburkan gorengan bawang putih dengan kunyit hidup.
Encik Suami ikut cuit-cuit Ikan Tilapia Goreng Kunyit. Ambil sajalah, tentu jemu hari-hari lauk ikan rebus dengan sayur sawi... ahaks! Encik Suami pula suruh Firdaus habiskan ikan goreng. Memang Amie selalu masak lauk ikan di rumah sebab Firdaus beli nasi dengan ayam di kantin. Kita pun sama waktu sarapan, biasanya di kantin kita makan bihun goreng dengan ayam goreng juga.
Tapi, kadang-kadang Amie gorengkan ayam juga untuk Firdaus.
| Nasi Putih |
Walaupun ada lauk-pauk lain yang disukainya tetapi Firdaus mencari juga Sambal Siram Minyak Panas. Mujurlah ada bakinya, jadi dia habiskan dengan cicah ikan goreng. Amie suap satu sudu kuah masak lemak labu. Tentulah Firdaus kata sedap sebab kuahnya berlemak dengan isi ikan, dan ada aroma lada hitam pula!
| Telur Masin |
Cantik pula isi telur masin yang tak berapa masin ini. Pandai pula Firdaus makan. Lembut jew kuning telurnya.
Petang ini rasanya masak nasi dan goreng ikan atau ayam sahajalah untuk Firdaus. Sambal tempoyak masih ada. Labu masak lemak pun masih berbaki. Encik Suami? Sudah tentulah lauk rebus-rebus sahaja.
8 comments
Saya tak berapa makan petai, tapi sambal tempoyak petai nampak sangat menyelerakan
BalasPadamwaduh ini semua menu kampung yang susah untuk ditolak kak
BalasPadamAduhaiiiiii lauk semuanya buat menambah nasi je ni
BalasPadamAlhamdulillah..dah kenyang makan tengah hari dah kak Amie. Harini masak udang galah masak lemak cili api.
BalasPadamDia kalau dah masuk dapur kadang jadi bertambah lauknya. hihi...
Ada lauk kering, berkuah dan sambal. Dah kena dah semua tu. Nak cuba jugalah resipi macam kak SA tu. Boleh je makan sikit langgar pantang sikit takpe kot kan. Buat lepas tekak merasa gitu. Kadang jemu makan ayam, okay jugak tu kak Amie masak ikan.
Setuju, cantik warna telur masin tu. Saya suka telur kuningnya sebab putih tu masin sangat kadang.
Tengok post kak amie pun dah terasa kenyang. Menu semuanya sedap2 belaka.
BalasPadamGeramnya tengok telur masin tu, lawa betul kejadiannya :)
BalasPadamGandingan mantap menu kali ni 😋
Terliur betul tengok air tangan Kak Amie ni. Masakan kampung macam ni memang betul2 membuka selera.
BalasPadamMenu macam ni bahaya betul kalau tengah diet, memang auto kecundang! 🫣 Nampak terliur sangat. Terbaiklah!
BalasPadam