DI Sebalik Pintu Damsyik (Damascus Gate)

8:51 PTG

Bismillahirrahmanirrahim.

30 Disember 2025.
Malam di Jerusalem begitu menggigit. Menurut Firdaus yang terjaga waktu dinihari, suhu merosot hingga sekitar 3°C. Selepas sarapan Firdaus sempat berjalan-jalan di hadapan hotel. Amie suruh Firdaus sapu lip balm di bibirnya supaya lembap. Kelmarin bibirnya kelihatan sangat kering dan hampir pecah-pecah. 

Angin yang bertiup lembut di hadapan hotel menjadikan setiap hembusan  terasa menusuk ke tulang. Jalan di luar hotel kelihatan lengang, sementara cahaya lampu memantulkan sinar kekuningan pada batu-batu tua yang membina kota bersejarah ini. Kami membalut tubuh dengan jaket tebal, mafla dan sarung tangan, namun kesejukan tetap menyelinap ke celah-celah pakaian.

Ketika kami meninggalkan hotel dan mula menghayun kaki untuk perjalanan pada hari tersebut, udara pagi terasa begitu segar dan bersih di bawah dingin suhu 7'C pada pukul 8:10 minit pagi.  Nafas yang dihembus kelihatan seperti asap halus dan itulah yang suka Firdaus lakukan. Dia akan memanggil kami untuk melihat asap atau wap yang keluar dari mulutnya.

Matahari sudah terbit, namun sinarnya seolah-olah tidak mampu menembusi selimut awan kelabu yang menyelubungi langit Jerusalem.

Amie masih teringat, sekembalinya kami dari Palestin, ramai saudara mara dan sahabat-handai bertanya : Selamatkan di sana? Bagaimana keadaan perang di sana? Hal ini kerana mereka merasakan bahawa kawasan bergolak itu berlaku di seluruh tanah Palestin.

Kami berada di Jerusalem. Jarak antara Jerusalem dengan Gaza Strip bergantung kepada lokasi iaitu jika jarak garis lurus, kira-kira 70–80 kilometer dan jarak melalui jalan raya, sekitar 90-100 kilometer, bergantung pada laluan yang digunakan.

Walaupun jaraknya tidak begitu jauh, perjalanan antara Jerusalem dan Gaza pada masa kini sangat sukar kerana terdapat kawalan keselamatan yang sangat ketat, sekatan sempadan, dan keadaan konflik yang berpanjangan. Dalam situasi semasa, orang awam umumnya tidak boleh bergerak bebas antara kedua-dua kawasan tersebut.

Sebagai gambaran, jarak itu lebih kurang seperti perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tuaran, yang boleh ditempuh sekitar satu hingga satu setengah jam jika jalan lancar. Namun, keadaan di Jerusalem dan Gaza sangat berbeza kerana faktor keselamatan dan politik.

Keberadaan kami di Jerusalem semasa ziarah ke Masjid al-Aqsa, sebenarnya tidak terlalu jauh dari Gaza dari segi geografi, walaupun kawasan itu tidak dapat dikunjungi seperti destinasi biasa.



Pemandangan ini sangat biasa di sekitar Bab al-Amud pada waktu pagi. Roti yang dijual biasanya Roti Taboon. Roti Khubz dan Roti Ka'ak al-Quds (roti bijan berbentuk cincin). Melalui pemerhatian dan pengalaman makan di hotel samada di Jordan atau Palestin, roti ini biasanya dimakan bersama hummus, za'atar, minyak zaitun, keju atau falafel.

Penjual roti di kaki lima.


Di kaki lima, seorang penjual roti setia menjaga gerainya dalam kesejukan pagi. Tubuhnya dibaluti jaket tebal, kedua-dua belah tangannya sesekali digosok untuk menghangatkan diri. Wajahnya tenang, namun jelas kelihatan kesejukan yang terpaksa ditempuh demi mencari rezeki. Asap nipis daripada roti yang masih hangat menjadi satu-satunya gambaran kehangatan di tengah udara yang dingin.



Selain gerai roti, kedai jualan makanan juga sudah mulai beroperasi.


Rasa sangat teruja pada pagi ini kerana tour guide kami, Mr. Hassan akan membawa kami melawat sebahagian Old City of Baitulmaqdis dan keseluruhan kompleks al-Aqsa. Nampaknya banyak tenaga yang akan digunakan kerana kami hanya berjalan kaki dari hotel ke semua tempat lawatan.


Biasanya kami masuk ke Old City menuju ke Masjidil Aqsa melalui Harod's Gate tetapi hari ini kami akan menyusuri tembok ke laluan yang berbeza. 



Pagi itu, langit Jerusalem mempamerkan warna yang sukar digambarkan. Di celah-celah awan kelabu yang masih tebal, terselit hamparan langit biru yang indah. Matahari sudah pun muncul, namun sinarnya seakan-akan tertahan di balik awan. Cahaya yang sampai ke bumi lembut dan redup, tidak menyilaukan mata. Mungkin kesan hujan yang turun pada malam sebelumnya meninggalkan udara yang segar dan dingin, menjadikan suasana kota lama terasa tenang, seolah-olah dunia baru sahaja terjaga daripada lena yang panjang.



Inilah antara laluan pejalan kaki dari kawasan Harmony City Hotel menuju ke Kota Lama Baitulmaqdis (Old City of Jerusalem), khususnya melalui Pintu Damsyik (Damascus Gate / Bab al-Amud)


Menurut Mr. Hassan, Old City of Baitulmaqdis merupakan sebuah kota lama yang kaya dengan tamadun dan budaya penting kepada tiga agama utama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Kota lama ini berkeluasan 0.9 kilometer persegi (sekitar 90 hektar), dkelilingi tembok yang dibina sejak kurun ke-15. Kota lama ini terbahagi kepada empat kawasan iaitu:
Di Old City ini terdapat banyak tapak suci peninggalan sejaran umat Islam, Kristian dan Yahudi. Di sudut tenggara Old City of Baitulmaqdis inilah terletaknya kompleks al-Aqsa.

Kami menyusur laluan ke Pintu Damsyik atau Damascus Gate. Lorong ini merupakan pintu masuk utama ke Muslim Quarter  dan laluan utama ke pasar (souk) atau Arab Bazaar. 



King Solomon's Quarris

King Solomon's Quarries (Zedekiah's Cave) ialah papan tanda menuju ke Gua Nabi Sulaiman atau Zedekiah's Cave, sebuah gua batu kapur yang sangat besar di bawah Kota Lama. Menurut tradisi, batu-batu dari gua ini dipercayai digunakan dalam pembinaan sebahagian bangunan di Baitulmaqdis pada zaman silam. Walaupun kaitannya dengan Nabi Sulaiman tidak dapat dipastikan secara sejarah, tempat ini mempunyai nilai arkeologi yang tinggi.



Mr. Hassan menjelaskan bahawa King Solomon's Quarries atau Zedekiah's Cave merupakan sebuah gua bawah tanah yang sangat besar terletak di bawah Kota Lama Baitulmaqdis, berhampiran Pintu Damsyik (Damascus Gate). Ia sebenarnya merupakan bekas kuari batu kapur yang digunakan sejak zaman purba untuk mendapatkan batu binaan bagi membina bangunan-bangunan penting di Jerusalem.
  • Di dalam gua ini terdapat ruang gua yang sangat luas, kira-kira 225 meter panjang dan sehingga 15 meter tinggi di sesetengah bahagian. Laluan telah dipasang untuk memudahkan pengunjung berjalan. 
  • Dinding batu kapur Meleke, iaitu batu kapur berkualiti tinggi yang terkenal di Jerusalem. Batu inilah yang digunakan untuk membina banyak bangunan bersejarah di kota ini.
  • Air Mata Zedekiah, iaitu mata air kecil yang sentiasa menitis dari celah batu. Menurut legenda, titisan air itu melambangkan tangisan Raja Zedekiah ketika melarikan diri daripada tentera Babylon.
  • Kesan-kesan kerja melombong batu, termasuk tanda-tanda pahat dan potongan pada dinding gua yang menunjukkan bagaimana bongkah batu dipisahkan daripada batuan asal beribu-ribu tahun dahulu.
  • Persembahan audiovisual di beberapa bahagian gua yang menceritakan sejarah Jerusalem, legenda Nabi Sulaiman, Raja Zedekiah dan pembinaan kota.
Adakah Nabi Sulaiman benar-benar melombong batu di sini?

Nama King Solomon's Quarries berasal daripada tradisi lama yang mengatakan batu dari gua ini digunakan untuk membina Bait Suci Nabi Sulaiman. Namun, tiada bukti arkeologi yang dapat mengesahkan perkara itu secara pasti. Yang pasti, gua ini memang merupakan kuari batu purba yang membekalkan batu binaan kepada Jerusalem sejak zaman dahulu. Namun, jika mempunyai masa yang lebih panjang di Baitulmaqdis, tempat ini sangat menarik untuk dikunjungi kerana memperlihatkan bagaimana batu-batu yang membentuk Kota Lama Jerusalem berasal dari perut bumi di bawah kota itu sendiri.


Pertama kali melihat gambar mata ini, ada satu perasaan kurang selesa!  Simbol mata yang besar pada papan tanda itu boleh dikatakan kelihatan agak menyeramkan, lebih-lebih lagi apabila kita tidak mengetahui maksudnya.

Merujuk kepada Mr. Hassan sebenarnya, mata itu bukan simbol keagamaan atau unsur mistik. Ia digunakan sebagai elemen grafik untuk menarik perhatian pengunjung kepada King Solomon's Quarries (Zedekiah's Cave).

  • Ada beberapa kemungkinan mengapa mata dipilih, antaranya melambangkan penemuan dan penerokaan. Mata mengajak pengunjung melihat sejarah yang tersembunyi di bawah Kota Lama Jerusalem.
  • Merujuk kepada legenda Air Mata Zedekiah, di dalam gua terdapat titisan air yang dikenali sebagai Zedekiah's Tears. Pereka papan tanda mungkin menggunakan imej mata sebagai simbol yang dikaitkan dengan air mata tersebut, bukan sebagai lambang keagamaan.
  • Reka bentuk promosi moden. Banyak tapak pelancongan menggunakan imej mata, pintu atau cahaya untuk membangkitkan rasa ingin tahu pengunjung.
Daripada apa yang diketahui tentang King Solomon's Quarries, tiada maksud rasmi yang mengaitkan gambar mata itu dengan simbol ghaib, mata satu atau amalan tertentu. Ia lebih kepada reka bentuk pemasaran untuk menarik perhatian orang ramai.

Amie lihat mata itu diletakkan seolah-olah berada di dalam batu dengan cahaya biru di bawahnya. Rekaan seperti ini memberi gambaran bahawa gua tersebut menyimpan rahsia atau sejarah yang tersembunyi di bawah bumi, selaras dengan konsep sebuah gua purba.






Damascus Gate atau Pintu Damsyik (dalam bahasa Arab disebut Bab al-Amud – باب العمود, bermaksud Pintu Tiang) ialah salah satu daripada lapan pintu utama Kota Lama Baitulmaqdis. Pintu ini merupakan antara pintu yang paling terkenal dan paling meriah kerana menjadi laluan utama menuju ke kawasan utara Kota Lama.

Nama Damsyik dikaitkan dengan kedudukannya yang menghadap ke arah utara, iaitu laluan lama yang menghubungkan Jerusalem dengan Damsyik, Syria. Sejak zaman dahulu, jalan dari pintu ini menjadi laluan perdagangan dan perjalanan antara kota-kota di rantau Syam. Dari segi sejarah, kawasan ini mempunyai lapisan sejarah yang sangat panjang:
  • Di bawah kawasan pintu sekarang terdapat tinggalan zaman Rom, termasuk kawasan yang dikaitkan dengan pintu gerbang kota lama pada era Maharaja Hadrian.
  • Struktur Pintu Damsyik yang dilihat hari ini dibina pada zaman pemerintahan Uthmaniyyah sekitar abad ke-16, semasa pemerintahan Sultan Suleiman the Magnificent.
  • Pintu ini dibina daripada batu kapur tempatan yang menjadi ciri utama seni bina Jerusalem.
Yang menarik tentang Pintu Damsyik bukan sekadar seni binanya, tetapi kehidupan yang berdenyut di sekitarnya. Di hadapan pintu ini biasanya terdapat:
  • penjual makanan dan roti
  • gerai buah-buahan
  • kedai kecil
  • penduduk tempatan yang keluar masuk untuk urusan harian.
Berbeza dengan gambaran kota lama yang hanya sunyi dan bersejarah, Pintu Damsyik memperlihatkan sisi kehidupan harian Jerusalem iaitu tempat sejarah bertemu dengan manusia biasa.

Langkah kami membawa kami ke Pintu Damsyik, salah satu pintu bersejarah yang menjadi saksi perjalanan masa berabad-abad lamanya. Batu-batu lama yang tersusun kukuh seolah-olah menyimpan cerita yang panjang tentang pedagang, musafir dan penduduk yang pernah melaluinya. Di sebalik kemegahan binaan lama itu, kehidupan moden tetap berjalan seperti biasa. Penjual roti, peniaga kecil dan penduduk tempatan menghidupkan suasana pagi yang dingin, menjadikan Pintu Damsyik bukan sekadar pintu masuk ke Kota Lama, tetapi juga pintu yang memperlihatkan wajah sebenar kehidupan Jerusalem.

Pintu Damsyik memang tempat yang sesuai untuk gambarkan sebagai pertemuan antara sejarah yang agung dan kehidupan manusia yang sederhana.



Dengan kata lain Pintu Damsyik (Bab al-Amud / Damascus Gate) ialah salah satu pintu masuk yang paling terkenal ke Kota Lama Baitulmaqdis yang dibina pada zaman pemerintahan Sultan Suleiman al-Qanuni sekitar tahun 1537–1541 sebagai sebahagian daripada tembok Kota Lama. Dari pintu inilah ramai penduduk Palestin dan para pelawat memasuki kawasan pasar dan menuju ke Masjid al-Aqsa.

Tangga dan dataran di hadapan pintu ini sering menjadi tempat orang ramai berkumpul, terutama pada hari Jumaat dan bulan Ramadan.

Pemandangan dekat Pintu Damsyik.

Gambar ini menunjukkan pemandangan dekat Pintu Damsyik dan nampak lebih jelas seni bina pintu gerbang yang megah. Batu-batu kapur berwarna cerah, gerbang besar dan kubu pertahanan di bahagian atas menggambarkan fungsi asalnya sebagai pintu pertahanan kota.

Nama Arabnya ialah Bab al-Amud, yang bermaksud Pintu Tiang, merujuk kepada tiang Rom yang suatu ketika dahulu berdiri berhampiran kawasan ini.



Peta Kota Lama Baitulmaqdis

Peta Kota Lama Baitulmaqdis ini menunjukkan empat kawasan utama di dalam Kota Lama:
  • Kawasan Islam (Muslim Quarter)
  • Kawasan Kristian (Christian Quarter)
  • Kawasan Yahudi (Jewish Quarter)
  • Kawasan Armenia (Armenian Quarter)
Masjid al-Aqsa dan Kubah Batu (Dome of the Rock) terletak di bahagian tenggara Kota Lama.



Bergambar kenangan di hadapan Pintu Damsyik.



Kami melalui jalan yang sama seperti ribuan penduduk Palestin, melihat penjual roti mula berniaga, kedai-kedai perlahan-lahan dibuka, dan akhirnya melintasi Pintu Damsyik sebelum meneruskan langkah ke Muslim Quarter.

Pagi ini bukan sekadar melangkah beberapa minit berjalan kaki, tetapi satu perjalanan yang membawa hati semakin hampir kepada salah satu tanah paling bersejarah dan suci di dunia. 


Apabila dewasa nanti sudah tentu gambar ini menjadi kenangan manis buat Firdaus.

Lorong Pasar Kota Lama


Ini ialah lorong pasar tradisional yang menghubungkan Bab al-Amud dengan kawasan dalam Kota Lama. Di sini terdapat pelbagai kedai yang menjual:

  • Jubah dan abaya
  • Selendang dan tudung
  • Cenderamata Palestin
  • Rempah-ratus
  • Kurma, buah-buahan dan sayuran
  • Minyak zaitun
  • Kraftangan dan barangan keagamaan

Lorong berbatu ini telah digunakan oleh para pedagang sejak ratusan tahun dahulu dan masih menjadi nadi kehidupan Kota Lama hingga hari ini.






Bagi Amie sudah tentu antara perkara yang paling menarik perhatian pelawat di Kota Lama Baitulmaqdis ialah batu-batunya. Hampir setiap langkah di lorong-lorong sempit itu mengingatkan diri ini bahawa kita sedang berjalan di atas sejarah yang berusia beribu-ribu tahun.

Setiap langkah di lorong Kota Lama Baitulmaqdis terasa begitu istimewa. Kaki kami memijak batu kapur Jerusalem yang telah digunakan sejak ratusan, malah sebahagiannya mungkin ribuan tahun dahulu. Batu-batu berwarna krim keemasan itu bukan sekadar laluan pejalan kaki, tetapi saksi bisu kepada jutaan manusia yang pernah melalui jalan yang sama, para nabi, ulama, pedagang, musafir dan para pencinta Masjid al-Aqsa. Menyentuh tembok-tembok batu itu seolah-olah menyentuh helaian sejarah yang masih hidup.

Namun begitu batu-batu di dataran dan lorong sudah menjadi sedikit licin di bahagian tengah. Itu bukan kerana rosak, tetapi kesan daripada jutaan tapak kaki manusia yang telah melalui jalan tersebut selama berabad-abad. Itulah yang menjadikan Kota Lama Baitulmaqdis begitu unik dan setiap bongkah batu seolah-olah menyimpan kisah sejarahnya sendiri.

Batu laluan pejalan kaki.


Mari kita cerita tentang batu-batu di sini. Lorong-lorong Kota Lama menggunakan batu kapur Jerusalem (Jerusalem limestone) yang dipotong menjadi kepingan segi empat atau segi empat tepat. Berwarna krim, kuning muda atau keemasan. Permukaannya sedikit kasar supaya tidak terlalu licin ketika hujan. Ketebalannya boleh mencecah belasan sentimeter kerana perlu menampung laluan pejalan kaki dan kenderaan kecil. Banyak batu asal telah digunakan selama ratusan tahun, manakala sebahagiannya diganti semasa kerja pemulihan dengan batu daripada kuari yang sama.

Apabila hujan, batu-batu ini menjadi lebih gelap dan berkilau, menghasilkan suasana yang sangat indah seperti yang kelihatan dalam gambar di atas.

Tembok Kota Lama juga dibina menggunakan batu kapur Jerusalem tetapi dalam blok yang jauh lebih besar. Setiap bongkah batu dipotong dengan sangat tepat. Berat satu bongkah boleh mencapai beberapa tan. Bahagian tengah batu sedikit menonjol, manakala bahagian tepi dipahat rata. Gaya ini dikenali sebagai marginal drafting, iaitu teknik pertukangan batu yang telah digunakan sejak zaman purba. Warna batu berubah mengikut cahaya matahari, keemasan pada waktu pagi dan petang, serta kelihatan lebih putih pada tengah hari.

Rumah-rumah, kedai dan bangunan lama di dalam Kota Lama hampir semuanya menggunakan batu kapur tempatan yang sama. Batu kapur ini dapat menyerap haba pada siang hari dan melepaskannya perlahan-lahan pada waktu malam dan menjadikan ruang dalaman lebih sejuk pada musim panas dan  lebih hangat pada musim sejuk.

Sangat tahan lama; banyak bangunan telah bertahan selama ratusan tahun walaupun mengalami gempa bumi, peperangan dan cuaca yang berubah-ubah.

Semua bangunan kelihatan hampir sama warna kerana kerajaan tempatan mewajibkan penggunaan Jerusalem Stone pada bahagian luar kebanyakan bangunan di Jerusalem, termasuk bangunan moden. Sebab itulah seluruh bandar kelihatan harmoni dengan tona krim keemasan yang menjadi identiti Jerusalem.



Melalui pemerhatian, Amie merasakan suasananya agak suram berbanding bandar-bandar pelancongan lain. Namun secara rasionalnya keadaan itu mempunyai beberapa sebab:

Pertama, batu kapur Jerusalem yang digunakan pada jalan, tembok dan bangunan berusia ratusan tahun memberikan warna krim, kelabu dan coklat yang lembut. Apabila cuaca mendung atau pada waktu pagi, warna-warna ini kelihatan lebih kusam dan mewujudkan suasana yang tenang.

Kedua, lorong-lorongnya sempit dan tinggi. Bangunan batu yang rapat menyebabkan cahaya matahari sukar menembusi lorong, lalu menghasilkan bayang-bayang yang membuat kawasan itu kelihatan redup walaupun pada waktu siang.

Ketiga, apabila mengambil gambar pada awal pagi, kebanyakan kedai baru mula dibuka. Penjual sedang menyusun barang, pelanggan masih belum ramai, dan suasana sememangnya lebih sunyi berbanding waktu tengah hari.

Keempat, suasana di Jerusalem juga dipengaruhi oleh keadaan politik dan keselamatan. Kehadiran anggota keselamatan, pemeriksaan di pintu masuk, dan ketegangan yang kadangkala berlaku menjadikan penduduk lebih berhati-hati dalam menjalani rutin harian. Ini boleh memberi gambaran bahawa suasananya kurang ceria, walaupun kehidupan tetap berjalan seperti biasa.

Namun begitu, kesuraman itu bukan semestinya tanda tempat itu tidak hidup atau kehilangan kehidupan. Ia lebih kepada suasana sebuah kota tua yang telah memikul sejarah yang sangat panjang. Batu-batu yang kelihatan lusuh, kedai-kedai kecil, lorong sempit dan tembok yang teguh berdiri seolah-olah menceritakan kisah berabad-abad yang pernah berlaku di situ.

Pada pandangan pertama, lorong-lorong di sekitar Bab al-Amud kelihatan suram. Bangunan batu yang berusia ratusan tahun, jalan berbatu yang telah haus dipijak jutaan manusia dan deretan kedai sederhana tidak menampilkan kemewahan seperti kota moden. Namun, di situlah letaknya keistimewaan Baitulmaqdis.  Di sebalik wajahnya yang sederhana, setiap lorong menyimpan kisah para nabi, pedagang, musafir dan para pencinta Masjid al-Aqsa yang pernah melaluinya."

Kota lama ini sebenarnya indah, tetapi penuh sayu. Keindahan sejarahnya hadir bersama kesedaran bahawa bumi ini telah melalui begitu banyak peperangan, pertukaran pemerintahan dan penderitaan penduduknya. Perasaan itu sukar digambarkan melalui gambar sahaja, tetapi sangat mudah dirasai apabila benar-benar menjejakkan kaki di sini.


Deretan kedai pakaian di sepanjang lorong ini kelihatan sederhana. Pakaian digantung rapat-rapat dan disusun dalam timbunan, memberikan suasana yang berbeza daripada butik-butik yang biasa kita kunjungi. Dari pandangan mata, sebahagian pakaian kelihatan seperti barangan terpakai atau gaya bundle, walaupun tidak pasti sama ada benar demikian. Keseluruhan suasana tampak suram, mungkin dipengaruhi oleh cuaca yang dingin, warna bangunan batu yang kusam dan kesibukan yang tidak begitu ketara pada pagi itu.





Apa yang dapat Amie simpulkan sebaik sahaja memasuki Pintu Damsyik, suasana pagi di kota lama Jerusalem tidak dipenuhi kemeriahan seperti yang sering kita bayangkan di destinasi pelancongan. Ada ketenangan yang bercampur dengan rasa sayu. Mungkin cuaca musim sejuk, bangunan-bangunan lama yang sarat sejarah, serta kehidupan harian para peniaga yang tetap meneruskan rutin mereka menjadikan suasana itu meninggalkan kesan yang mendalam di hati ini. Tambahan pula fikiran sering membayangkan suasana saudara seagama kita nun di Gaza yang sedang memperjuangkan kehidupan di tanah yang sama iaitu tanah para anbia'.

Ketika ini jam menunjukkan pukul 8:40 pagi.

2 comments

  1. Berjalan kaki waktu pagi dapat juga memanaskan badan dalam kesejukan tu. Bayangkan jaket tebal tu masih terasa lagi kesejukkannya.
    Nampak sedondon pula baju semua dengan bangunan Old City ni. Cantik suasananya. Boleh habis battery ambil gambar macam ni. Cantik gambar depan pintu Damsyik. Firdaus dah nak sama tinggi dengan Mommy dah. Seronok Firdaus kecil-kecil lagi dan jejak kaki kat sini. Kalau pergi lagi nanti dah dewasa dapatlah mengimbau kenangan lama.

    BalasPadam
  2. Ya allah kak amie... alhamdulilah rezeki berada di bumi palestin..

    Untung kak amie dapat merasa melihat suasana di sana walau bkn la di Gaza.. semoga rakyat palestine diberi perlindungan dan dapat kembali hidup seperti orang lain juga

    BalasPadam

TERIMA KASIH TINGGALKAN KOMEN.

RESIPI AMIE - SAJI - OGOS 2017

RESIPI AMIE - SAJI - APRIL 2015

RESIPI AMIE - AROMA - JANUARI 2013

RESIPI AMIE - AROMA - MEI 2014

RESIPI AMIE - JELITA - DISEMBER 2014

RESIPI AMIE - SAJI - MEI - 2015

RESIPI AMIE - SAJI - JULAI 2015

RESIPI AMIE - IBU & ANAK - JULAI 2015

RESIPI AMIE - SAJI -OGOS - 2015

RESIPI AMIE - SAJI - APRIL 2016

RESIPI AMIE - SAJI - APRIL 2017

RESIPI AMIE - SAJI - FEBRUARI 2017

RESIPI AMIE - SAJI - JANUARI 2017

RESIPI AMIE -SAJI - MEI 2016

Labels

~Albania ~Australia (Perth) ~Balkan ~Bosnia and Herzegovina ~Bosnia Herzegovina ~Brunei Darul Salam ~Bulgaria ~China (Shenzhen - Guilin - Yangshuo - Guangzhou) ~Croatia ~Cuti-Cuti Malaysia ~Ekspedisi ~Europe ~India (New Delhi - Srinagar - Pahalgam - Gulmarg) ~Indonesia ( Padang - Bukit Tinggi - Jambi - Palembang - Jakarta ) ~Indonesia ( Sumatera Barat - Bukit Tinggi - Padang ) ~Indonesia (Acheh - Banda Acheh) ~Indonesia (Bandung - Jakarta - Jogjakarta) ~Travelogue ~Indonesia (Kalimantan Timur: Nunukan - Tarakan - Balikpapan - Samarinda - Tenggarong) ~Indonesia (Sidoarjo - Surabaya - Malang) ~Indonesia (Surabaya - Malang) ~Italy ~Jalan-Jalan Cari Ikan ~Jalan-Jalan Cari Makan ~Johor ~Jordan - Amman ~Kedah ~Kelantan ~Kenali Hidupan Akuatik ~Korea Selatan - Seoul - Nami Island ~Kuala Lumpur ~Madinah 2023 ~Makkah & Madinah ~Makkah 2023 ~Melaka ~Montenegro ~Morocco (Casablanca - Marrakech - Rabat - Chefchaouen - Tangier - Fes) ~Muhasabah Diri ~Negeri Sembilan ~Nepal (Kathmandu-Pokhara-Dhampus-Machhapuchhre Base Camp) ~Pahang ~Pakistan ~Palestine - Jericho - Baitul Maqdis - Hebron - J ~Palestine - Jericho - Baitul Maqdis - Hebron - Jerusalem ~Penginapan / Homestay / Hotel / Resort ~Perak ~Perlis ~Portugal ( Lisbon) ~Pulau Pinang ~Putrajaya ~Republik Macedonia ~Sabah ~Sarawak ~Saudi Arabia ~Selangor ~Sepanyol (Algeciras - Granada - Cordova - Seville - Toledo - Madrid) ~Slovenia ~Switzerland ~Tempat Menarik di Malaysia ~Terengganu ~Thailand ( Bangkok - Hua Hin) ~Thailand (Hatyai) ~Travelogue ~Trip SPM : Sepanyol-Portugal-Morocco ~Turki ~Turkiye ~UAE - Sharjah - Dubai ~Umrah ~Umrah 2023 ~Vietnam ( Da Nang - Hoi An - Ba Na Hills) Acar Advertorial Agar-Agar Air Asam Aneka Hidangan Nasi Aneka Hidangan Sup Aneka Jenis Serunding Anekdot Antologi Puisi Apam Asian Food Festival Awards Ayam / Itik / Burung BBQ Bekal Makanan Biskut Buah Bubur Buku Cerita / Komik / Cerpen / Novel Buku Motivasi Buku Resepi Buku Resipi Buku Sejarah Buku Travelog / Novelog Cerita Dari Dapur Cerita Dari Pasar Cerpen Kanak-Kanak Chips Contest / Kuiz / GA Desserts Dried Pasta: Spaghetti/ Spiral / Fusili / Rigatoni / Fettuccine / Risoni / Lasagne / Conchiglie / Tagliatelle / Macaroni / etc Dumpling / Wantan / Siew Mai / Dim Sum Food Review Hari Raya Hasil Karyaku Herba Hidangan Berbuka Puasa Hidangan Berpantang Hidangan Bersahur Hidangan Tengah Hari / Malam Hidangan Tengahari / Malam Himpunan Kad Ucapan Ikan Japanese Food Jeruk / Pickles Johor Juadah Hari Raya Juices / Smoothies Kampung Laman Kek Kek Lapis Kek Lapis Sarawak Kek Sarawak Kelas Masakan Keluarga Kerabu Kerang-Kerangan Ketam / Sotong / Udang Khidmat Foodpanda Kiriman Komentator Korean Food Kudapan Kuih Raya Kuih Tradisional Nusantara Kuih-Muih Kuiz / GA Lain-Lain Laksa / Mee / Mee Hoon / Kuey Teow Lembu / Kambing / Lamb / Rusa Lobster Malaysian Food Festival Masakan Ala Kadazan / Dusun Masakan Acheh Masakan Ala Bajau Masakan Ala Bugis Masakan Ala Cina Masakan Ala Cocos Masakan Ala Jawa Masakan Ala Mamak Masakan Ala Nyonya Masakan Ala Pakistan Masakan Ala Thai Masakan Asia Selatan Masakan Asia Tengah Masakan Brunei Masakan India Masakan Indonesia Masakan Minang Masakan Negeri Sembilan Masakan Pahang Masakan Sabah Masakan Sarawak Masakan Singapura Masakan Suluk Masakan Timur Tengah Masakan Tradisi Kedah Masakan Tradisi Kelantan / Terengganu /Pantai Timur Masakan Tradisi Melayu Melaka Masakan Tradisi Perak Masakan Tradisi Pulau Pinang Masakan Tradisional Nusantara Masakan Utara Menu ala Fusion Mexican Food Minuman Panas / Sejuk Moroccan Food Muffin Nuffnang Oleh-oleh Otak-Otak Pakistan Pastry Pemakanan Sihat Pembelian Online Petua Di Dapur Pie Pizza Puding Resepi Amie's Little Kitchen di Media Cetak Resepi Bonda Roti Salad Sambal Sambutan Hari Istimewa Santai Bersama BEN ASHAARI Sarapan Pagi / Minum Petang Sate Sayur Seafood Segmen : Meriahnya Dunia Masakan Segmen Share Resipi Setulus Kasih Soto & Coto South Africa & Portuguese Food Sumber Tanaman Telur Tempahan Vetnamese Food Western Food Wordless Wednesday

Subscribe