Sambal Tempoyak Ikan Bilis dengan Petai & Terung Pipit
4:31 PTG
Hai...
Selamat petang semua. Moga hari ini terus ceria bersama tugasan harian dan keluarga tersayang. Cuaca di tempat kami seperti hari-hari sebelumnya. Selepas menikmati hidangan tengahari tadi, hujan turun membasahi bumi LD dengan selebat-lebatnya. Ketika Amie mengemas dapur, mencuci pinggan mangkuk, suasana sudah gelap! Kalau tak buka suiz lampu, memang kelamlah kejadiannya! Encik Suami sudah kembali semula ke tempat kerjanya, dan Fairuz pun keluar sama. Tinggalkan Amie berdua dengan Firdaus.
Rasanya elok sangatlah ajak Firdaus tidur selepas selesai mandi dan menunaikan solat. Puaslah menepuk, menggaru, mengusap dan memujuk. Namun si bujang kenit itu tak juga mahu tidur. Nampaknya dia lebih suka bermain, meminta Amie buatkan kapal terbang. Melayan pertanyaannya dan sebagainya.
Wokey!
Resepi yang ingin Amie kongsikan kali ini ialah Sambal Tempoyak Ikan Bilis dengan Petai dan Terung Pipit. Tak sangka pula, resepi ini menjadi dan rasanya sungguh enak sekali. Bukan apa. Tempoyak yang Amie gunakan ini baru saja 'berusia' 4 hari! Di sini tidak ada bekalan tempoyak. Kalau nak makan kenalah rajin-rajin buat sendiri. Masalahnya, sudah rajin buat tapi tak sabar nak makan pulak....ahaks!
Inilah antara bahan yang Amie gunakan untuk mengolah resepi Sambal Tempoyak Ikan Bilis dengan Petai dan Terung Pipit.
Amie gunakan bawang besar, bawang putih, bawang merah dan kunyit hidup. Kesemua bahan ini Amie kisar bersama cili padi. Amie juga gunakan hirisan sehelai daun kunyit untuk melengkapkan rasa dan aroma sambal.
Kesemua bahan yang Amie gunakan disukat dalam cawan sahaja, walaupun kesemuanya seperti yang anda lihat berada dalam mangkuk. Setelah menyukat secawan demi secawan, Amie pindahkan dalam mangkuk kecil yang muat untuk kuantiti secawan. Ikan bilis ini memang perlu ada untuk menimbulkan rasa lemak-lemak masin dalam sambal. Kalau tak mahu gunakan ikan bilis, boleh gantikan dengan udang kering.
Kebetulan pula Amie ada petai mata besar! Memang puas hati dapat saiz petai begini!
Haaa... ini dia peneman sambal tempoyak ikan bilis selain petai! Cantik bulat terung pipit ini. Zaman kecil-kecil dahulu, kalau nak makan terung pipit, petik sahaja dari pokok. Terasa-rasa gatalnya lengan terkena bulu-bulu putih tajan di batang pokok terung pipit! Bonda suka sangat masak terung pipit. Macam-macamlah hasil masakan yang Bonda hasilkan dari terung pipit ini. Ada kalanya Bonda jadikan terung pipit sebagai ulam.
Cili padi yang Amie gunakan bukanlah jenis cili padi yang pedas seperti cili padi kampung. Mungkin cili padi siam kot? Tapi, rasanya memang sedap sungguh bila dimasak bersama tempoyak. Tidaklah pedas menyengat, hanya pedas-pedas manja saja, dan tak perlu bubuh banyak gula.
Dan inilah bahan utama untuk menyempurnakan resepi sambal!
Tempoyak yang baru berusia 4 hari!
Tuannya dah tak sabar nak masak kamu!
Maklumlah, selalu buat tempoyak gunakan durian kahwin, tapi kali ini gunakan isi durian kampung yang manis dari Sarawak!
Jom kita masak Sambal Tempoyak Ikan Bilis dengan Petai dan Terung Pipit yang sangat sedap tu!
Bahan-bahan:
1 cawan tempoyak
1 cawan ikan bilis - rendam seketika - bilas - toskan
1 cawan isi petai - dihiris
1 cawan terung pipit - digoreng hingga layu
1 helai daun kunyit - dihiris
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
1 cawan cili padi
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
1 labu bawang besar
3 cm kunyit hidup
Inilah rupa terung pipit yang sudah digoreng. Tak perlu goreng terlalu lama, cukuplah sekadar layu sahaja. Kalau takut meletup, tutup kuali ketika menggoreng. Amie goreng tak sampai satu minit! Buka penutup kuali. Angkat terung pipit dan toskan.
Petai yang telah dihiris. Kalau saiz kecil tak perlulah hiris.
Ikan bilis yang sudah dicuci.
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar hingga pecah minyak. Gunakan api perlahan.
2. Kemudian masukkan ikan bilis.
3. Diikuti dengan petai.
4. Dan seterusnya terung pipit.
5. Jangan lupa masukkan tempoyak.
6. Gaul rata, dan masukkan hirisan daun kunyit.
7. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
7. Padamkan api dapur.
Sedapnya yaaa... ampun!!!!!
Kejap lagi nak ke dapur.
Nak makan lagi Sambal Tempoyak Ikan Bilis dengan Petai & Terung Pipit.
Siapa nak ikut ke dapur?
Jom!
5 comments
Nampak sedap Amie... sambal bilis dengan petai/terung pipit. Makan dengan nasi panas-panas, perghh... sedapnya.
BalasPadamFadzillah,
BalasPadambetul tu...saya makan dengan nasi panas, tak ambil lauk lain dah hihihiii.
Nak kena pi beli terung pipit baru boleh buat ni Amie.sedap nampaknya ssmbal Amie tu
BalasPadammakk oihh sedap sangat niiii :)
BalasPadamCukup sejenis lauk saja amie..sedap sgt dh tu
BalasPadam