Nasi Goreng Lobak Masin Hancur
7:57 PGBismillahirrahmanirrahim.
Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen.
Sarapan apa pagi ini?
Selamat berhujung minggu buat semua pengunjung setia Amie's Little Kitchen.
Sarapan apa pagi ini?
Nasi Goreng Lobak Masin hancur yang Amie paparkan di bawah ini bukanlah menu sarapan kami pagi ini. Kelmarin Amie balik lewat sedikit kerana terlibat dengan Majlis Apresiasi Murid 2023. Sampai rumah rasa sangat letih, dan terus tertidur. Sebelum itu sempat pesan dengan Encik Suami untuk masak nasi sebab belum makan tengah hari. Ketika Amie tidur, terdengar Firdaus beberapa kali tanya : Bila Mommy hendak masak? Bila boleh makan?
Kita sahut dalam keadaan mata terpejam : Tunggu kejap lagi. Tunggu ikan yang direndam jadi lembut. Firdaus terus jawab: Daus tak mahu makan nasi berlauk. Daus hendak makan nasi goreng yang macam Mommy buat semalam. Mommy goreng pakai butter dengan minyak yang wangi itu.
Mendengar permintaan Firdaus, kita pun terus bingkas bangun dan masuk dapur. Semalam Amie goreng nasi tambahkan lobak masin hancur. Tidak ada rasa masin pada lobak tersebut. Firdaus suka sangat sehingga habis licin semua nasi goreng! Dan minyak wangi yang Firdaus maksudkan itu ialah minyak sapi.
Nasi yang Encik Suami masak pun sudah lama kering. Tak perlulah disejukkan. Terus saja goreng dengan perencah yang ada. Ketika itu hujan lebat, jadi bertambah keronconglah perut Firdaus dengan Encik Suami.
Nasi Goreng Lobak Masin Hancur |
Resipi Nasi Goreng Lobak Masin Hancur
Bahan-bahan:
Bahan-bahan:
- 4 cawan nasi putih
- 1 cawan lobak masin hancur
- 3 biji telur - pukul ringan
- 3 batang sosej - potong ikut saiz yang disukai
- 2 sudu kecil serbuk cili
- 2 sudu besar mentega
- 1 sudu besar minyak sapi
- 2 sudu besar perencah nasi goreng Seri Aji
Bahan tumbuk kasar:
- 3 ulas bawang putih
- 5 biji bawang merah
- 1 sudu kecil belacan
Cara memasak:
- Panaskan sedikit mentega dalam kuali. Goreng kacau telur hingga masak. Angkat dan ketepikan.
- Masukkan lebihan mentega dan minyak sapi ke dalam kuali.
- Tumis bahan tumbuk kasar hingga wangi.
- Masukkan sosej dan lobak masin hancur. Tumis / goreng hingga garing.
- Masukkan serbuk cili dan gaul rata.
- Seterusnya masukkan nasi putih. Gaul sebati.
- Taburkan serbuk perencah nasi goreng Seri Aji.
- Masukkan pula telur goreng dan gaul sekali lagi.
- Biarkan beberapa minit sehingga terlihat asap keluar di atas nasi goreng.
- Kacau beberapa kali dan padamkan api dapur.
9 comments
Oh, tak masin sangat ke bila masukkan lobak masin tu, Kak Amie. Selalu makan lobak masin ni dalam Laksa Johor atau Bubur Nasi Berlauk.. sedappp.
BalasPadamAgaknya jenis tak masin kot SK. Ada rasa manis-manis sikit.
PadamSedap ni bole try 😍
BalasPadamSy masak nasi lemak pagi ni Kak Amie...
Cuba PH. Ada aroma kimchi sikit hihihii.
PadamHari ni wak sarapan cempedak goreng.
BalasPadamBuah cempedak dah mula masak
Teringat pulak isi cempedak yang difozenkan! Hendak goreng jugalah.
PadamTadi saya msh agak bingung lobak Masin itu apa. Ternyata kalo di sini disebut tongcai atau chai Po. Biasanya utk teman bakmi atau mie ayam. Ternyata enak juga kalo buat nasi goreng yaaa 👍
BalasPadamOooo terima kasih kongsi nama lainnya, tongcai atau chai po.
PadamSaya cuba goreng dengan nasi, memang sedap.
Biasa lobak masin SA makan dengan bubur berlauk..boleh la cuba resepi Kak Amie ni
BalasPadam