Dari Ohrid ke Mustafa Pasha Mosque di Skopje, Macedonia Utara
1:36 PTGBismillahirrahmanirrahim.
21 Februari 2024 - Rabu
Dari Ohrid, bas terus bergerak membawa kami ke Skopje. Skopje merupakan ibu negara Macedonia Utara. Bandar yang terletak di tepi Sungai Vardar. Dalam perjalanan dari Skhoder ke Tirana, dan dari Tirana ke Struga, TGB (Tour Guide Bosnia) beberapa kali menyebut nama Mother Teresa. Mother Teresa dilahirkan di Skopje, tetapi beliau keturunan Albania. Zaman kelahiran Mother Teresa pada 26 Ogos 1910, Skopje disebut Uskup dan masih berada di bawah Empayar Uthmaniyah.
Nama sebenar beliau ialah Agnes Gonxha Bojaxhiu atau lebih dikenali sebagai Mother Teresa (Ibu Teresa), sempena Saint Teresa of Lisieux, saint penaung bagi pengembang agama asing. Pada tahun 1928, Agnes Gonxha Bojaxhiu melawat India untuk mengajar di sekolah konven, tetapi beliau begitu terharu melihat mereka yang sakit dan hampir mati dan berkaparan di jalan-jalan di Calcutta menyebabkan beliau meninggalkan konven untuk berkhidmat di kawasan setinggan pada tahun 1948.
Kemurahan hati beliau menarik orang ramai untuk turut serta menyumbang bakti. Pada tahun 1950, Pengembang Agama demi Kerja Amal (Missionaries for Charity) membentuk kesatuan wanita (sisterhood) yang turut membantu pesakit kusta dan kawasan malapetaka lain di dunia. Pada tahun 1979, Ibu Teresa dianugerahkan dengan Hadiah Keamanan Nobel (Nobel Peace Prize) yang diterima oleh beliau bagi pihak mereka yang miskin, sebagaimana hadiah-hadiah sebelumnya. Mother Teresa meninggal pada 5 September 1997 pada usia 87 tahun di Calcutta, Benggala Barat, India.
Itulah serba sedikit info tentang Mother Teresa.
Kita kembali kepada tajuk iaitu Mustafa Pasha Mosque di Skopje.
Kita kembali kepada tajuk iaitu Mustafa Pasha Mosque di Skopje.
Mustafa Pasha Mosque |
Mustafa Pasha Mosque ialah sebuah masjid zaman Uthmaniyah yang terletak di Bazar Lama Skopje, Macedonia Utara. Satu demi satu negara Balkan telah dijejaki, dan sehelai demi sehelai lembaran sejarah lama terungkai di depan mata sendiri. Sewaktu di universiti, Amie pernah ambil subjek Sejarah Uthmaniyah. Sayangnya waktu itu tiada sebarang penghayatan sejarah melainkan belajar kerana hendak lulus sahaja. Memang Amie dapat gred A untuk Sejarah Uthmaniyah tetapi tidak dapat menghayati apa sebenarnya yang berlaku sepanjang sejarah pemerintahan tersebut melainkan menghafal fakta sahaja!
Empayar Uthmaniyah (Turki) telah menguasai sebahagian besar Eropah Tenggara, Asia Barat dan Afrika Utara antara abad ke-14 dan awal abad ke-20 selama lebih kurang 600 tahun. Ia didirikan pada akhir abad ke-13 di Anatolia barat laut di bandar Söğüt (Wilayah Bilecik Moden) oleh pemimpin suku Osmani. Keluarga Bani Osmani ini ialah sebahagian kecil keseluruhan suku-suku bangsa Turki yang dikenali sebagai bangsa Turki yang masuk ke Asia Kecil semenjak abad kesebelas yang lalu. Bangsa ini ialah pemimpin-pemimpin yang terus-menerus berjuang menentang Byzantine, terutama setelah mereka bergerak ke barat laut Anatolia di abad ke-13. Pengikut-pengikutnya terkenal sebagai ghazi atau lebih mudah dikenali sebagai parajurit yang berjuang memerangi Kristian kerana jihad untuk menegakkan Islam, dan mengecapi kejayaan. Di sinilah wujudnya empayar atau kerajaan Uthmaniyah, yang menampung kerajaan-kerajaan kecil bangsa Turki yang lain. Pemerintah Uthmaniyah melihat diri mereka sebagai "pemerintah sejagat" dan waris kepada Empayar Rom dan Islam, maka terjadilah "penyatuan kebudayaan".
Sebelum cerita lanjut tentang Mustafa Pasha Mosque, Amie kongsikan beberapa keping gambar pemandangan sepanjang perjalanan dari Ohrid ke Skopje.
Seperti biasa, dalam perjalanan sudah tentu ada tempat persinggahan untuk urusan peribadi. Sudah tentu kesemuanya terus menuju ke tandas. Selepas itu ada yang masuk ke kafe mencari minuman panas dan ada yang membeli keropok dan kekacang untuk kudapan.
Mari berkenalan dengan bendera dan jata negara Macedonia di bawah ini.
Ini pemandangan di hadapan stesen minyak yang terletak di seberang jalan. Tompok-tompok warna putih itu ialah sisa-sisa salji yang masih keras.
Tidak dapat gambarkan keindahan alam. Pandang sebelah kanan terlihat gunung berwarna putih dilitupi salji. Pandang sebelah kiri kelihatan gunung berwarna hitam pula. Entah jenis batu apa yang terdapat di gunung warna hitam itu.
Di pertengahan jalan ketika bas mendaki bukit, tiba-tiba pemandu bas berhentikan bas di tepi jalan. Rupanya bas tidak dapat bergerak seperti biasa. Pemandu bas turun ke bawah dan dalam beberapa minit bas dapat dipandu seperti biasa. Tabik sungguhlah dengan pemandu bas yang berasal dari Bulgaria ini. Beliau sangat berhemah ketika memandu dan mempunyai bekalan ilmu membaiki kerosakan kenderaan dalam perjalanan. Menurut Tour Guide Bosnia, pemandu bas di Eropah tidak boleh memandu melebihi 11 jam sehari. Kalau di Turki, pemandu bas pelancong tidak boleh memandu melebihi had kelajuan 100 kilometer walaupun jalan rata dan lengang. Di Balkan, tak tahulah berapa had kelajuannya. Mungkin sama.
Suasana perkampungan yang dapat dilihat dari kejauhan.
Ada pemeriksaan mengejut. Polis meminta pemandu bas membuka pintu tempat menyimpan bagasi. Kemudian mereka naik ke dalam bas, dan meminta semua penumpang menunjukkan passport masing-masing.
Kelihatan pokok-pokok bunga ditanam di sudut-sudut tertentu di jalan raya. Tidak lama lagi musim sejuk akan berakhir dan musim bunga pula akan menjelma. Sudah tentu pemandangan sekitar akan berubah. Pokok gondol akan berdaun, berputik dan berbuah. Suasana menjadi lebih ceria.
South East European University.
Kami mengunjungi Masjid Mustafa Pasha. Pada masa yang sama waktu zohor sudah tiba. Jadi kami solat jamak taqdim di sini.
Masjid Mustafa Pasha ini dibina di atas dataran tinggi di atas bazar lama pada tahun 1492 oleh Çoban Mustafa Pasha. Beliau kemudiannya menjadi wazir di mahkamah Sultan Selim I (1512-1520). Masjid ini sebahagian besarnya masih utuh dari keadaan asalnya, dan tiada penambahan telah dibuat selama ini. Umi, anak kepada Mustafa Pasha, disemadikan di türbe sebelah masjid. Di dalam masjid juga terdapat turbe, tempat Mustafa Pasha dikebumikan pada tahun 1519.
Bangunan Masjid Mustafa Pasha ini mewakili ciri seni bina Constantinople awal. Tapaknya bentuk segi empat sama dan ditutupi oleh kubah, diameternya ialah 16.3 m. Kubah itu dibina di atas tiang-tiang yang dihiasi dengan arabesque dan di bahagian kiri motif dari masa pembinaan masjid dicat, manakala di sebelah kanannya terdapat yang lebih baru tanpa nilai seni tertentu. Bangunan itu berdinding dengan batu rivet dan dua baris batu bata. Pintu masuk ke masjid adalah melalui serambi, yang diperbuat daripada marmar putih, dan di hadapannya terdapat empat tiang marmar yang disambungkan dengan gerbang separuh bulatan.
Di dalam masjid terdapat ruang solat, di bahagian tenggaranya terdapat mihrab, dan tempat membaca al-Quran. Di sebelah kanan mihrab terdapat mimbar. Dalam ruang bulat dengan huruf Arab, nama Muhammad dan Allah ditulis di timur dan barat.
Pengubahsuaian masjid dijalankan selama lima tahun dengan biaya oleh kerajaan Turki dan siap pada Ogos 2011.
Rasa terharu sangat apabila mendapat tahu di Skopje sahaja terdapat lebih 30 buah masjid. Terbayang zaman kegemilangan pemerintahan Islam di sini walaupun selepas itu zaman keruntuhan Empayar Uthmaniyah turut meruntuhkan sebahagian besar keagungan itu! Sekurang-kurangnya masih dapat mengutip keping-keping sejarah yang masih bersisa.
Selepas solat, kami menuruni anak tangga menuju ke Old Bazar.
Dalam perjalanan ke Old Bazar, sempat merakam gambar menara masjid yang ada di sekitar bandar lama.
Sebuah masjid yang kami temui dalam perjalanan ke Old Bazar.
Pendek kata, toleh kiri dan kanan, depan dan belakang hati bertambah lapang melihat menara-menara masjid di sekitar Skopje.
Alhamdulillah. Di mana-mana di bumi Allah, ada rumah-Nya.
Rumah Peringatan Mother Teresa di Skopje. |
2 comments
Negara-negara sejuk ni nampak awannya banyak dan agak gloomy. Pasti seronok mengembara pada bila cuaca sejuk dan tidak begitu extreme.
BalasPadamMemang yaa mesjid2 di Balkan banyak yg designnya seperti Turkiye, Krn pengaruh nya kuat sangat 👍
BalasPadamSaya sama dengan kak Amie. Saat zaman sekolah sejarah saya bagus, tp semua hanya hapalan. Bukan menghayati isinya 🤭😅. JD sekarang kalo ditanya, ya lupa lagi 😄