Smiling Fish Fried Sardin In Chilli Sauce
11:39 PTGBismillahirrahmanirrahim.
Apa khabar semua? Tentu masing-masing sibuk membuat persiapan hari raya yang bakal menjelma tidak lama lagi. Amie pun sama. Rasa teruja kerana anak-anak mula mengatur langkah untuk pulang ke LD. Rumah yang sunyi sepi sudah tentu akan kembali ceria apabila semua ahli keluarga dapat berkumpul. Kelmarin, Fuad terbang dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dan bermalam di tempat Fairuz. Pukul dua pagi nanti mereka dijadualkan bertolak dari Penampang ke LD. Abang Farid dan Aseeyah pula akan terbang dari Kuala Lumpur ke LD pada 22 April 2023. Mungkin pada hari raya kedua kalau 1 Syawal jatuh pada hari Jumaat.
Menu berbuka puasa kami ringkas sahaja. Kami makan nasi lauk ikan sardin, sayur bunga betik tumis dengan udang kering dan cili padi. Tambah lagi satu lauk iaitu telur dadar. Encik Suami sediakan satu jug besar jus oren dengan lobak merah. Oleh kerana selepas solat terawih hendak sambung kerja di dapur, jadi memang bergelas-gelaslah jus oren dan lobak merah masuk perut!
Smiling Fish Fried Sardin In Chilli Sauce |
Amie gunakan Smiling Fish Fried Sardin In Chilli Sauce, ikan tin kegemaran Fuad dan Encik Suami. Memang sedaplah rasanya, sebab ikan sardin siap digoreng dan bersos cili. Amie gunakan dua tin kecil. Masih berbaki, dan boleh dipanaskan semula waktu sahur nanti.
Bunga Betik Tumis dengan Udang Kering dan Cili Padi |
Untuk Encik Suami, Amie tumis bunga betik ditambah cili padi dengan udang kering. Nampak lauk kami hari ini kering-kering saja kecuali sardin sedikit berkuah.
Kalau ada lauk sardin rasanya tak lengkap kalau tidak dadarkan telur! |
Resipi Smiling Fish Fried In Chilli Sauce
Bahan-bahan:
- 2 tin Smiling Fried Sardin In Chilli Sauce
- 2 biji kentang - kupas - potong ikut suka - goreng hingga masak - angkat dan ketepikan
- 2 tangkai cili hijau - potong 3
- 1 sudu kecil pati asam jawa - bancuh dengan 1/2 cawan air
- 4 sudu besar minyak
- garam / gula / perasa pilihan secukupnya
Bahan hiris:
- 3 ulas bawang putih
- 1 labu bawang besar
- 2 cm halia
Cara memasak:
- Panaskan minyak. Tumis bahan hiris hingga layu.
- Masukkan sardin, dan gaul rata.
- Tuangkan bancuhan air asam jawa. Biarkan masak mendidih.
- Masukkan kentang goreng dan cili hijau.
- Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan secukupnya.
- Setelah kuah agak pekat, padamkan api dapur.
Satu jug besar jus buah oreng campur lobak merah. |
Sempat penuhkan semula bekas kerepek jejari ketam! |
Dan potong sotong kering yang sudah kembang sebesen. Hari raya nanti bolehlah masak macam-macam. Hendak masak sambal atau masak kuah kacang, sotong kangkung atau sotong panggung pun boleh. |
8 comments
Mesti tak sabarkan Kak Amie nak tunggu kepulangan anak menantu :)
BalasPadamKami pula tak sabar nak balik kampung :D
Betul PH.
PadamSelamat balik kampung ye.
Meriah rumah nanti, anak² dah mula sampai. Pertama kali saya tengok ikan sardin dalam tin yang sudah siap digoreng.
BalasPadamBetul Nur. Memang rindu keriuhan suasana bersama anak-anak.
PadamIkan sardin ni sedap, tak lembik.
smiling fish tu jenama sardin rupanya. selamat membuat persiapan raya. saya masih bekerja. huhu
BalasPadamYa, jenama sardin.
PadamMoga cuti raya nanti dimanfaatkan sepenuhnya.
anak2 pun mesti tak sabar nak sampai rumah mummy...macam kami tak sabar nak balik rumah mak ayah,firdaus pun mesti tak sabar nak tunggu abang2&kakak aseyah kesayang...meriahnya raya
BalasPadamSama-sama sabar menanti kan Afzan.
PadamMoga Afzan sekeluarga selamat sampai ke rumah mak ayah.