Mee Hoon Goreng dengan Sosej
10:14 PG
Assalamualaikum.
Hari ini hari kelapan kita menjalani Perintah Kawalan Pergerakan.
Marilah kita banyakkan bersyukur, kurangkan keluhan kebosan kerana duduk di rumah. Selain makan dan tidur, sangat banyak perkara yang boleh kita lakukan bersama keluarga. Alhamdulillah. Kami masih meneruskan tugasan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara atas talian bersama semua anak murid, dan setiap hari kami membuat laporan dalam borang online yang telah disediakan khas oleh PPD. Memang tidak menang tangan melayani anak murid dalam talian. Malam tadi, sehingga lewat pukul 10 malam, Amie masih menerima gambar-gambar tugasan yang telah disiapkan oleh murid Amie. Firdaus juga tidak ketinggalan terlibat sama dalam program ini. Guru di sekolahnya berkongsi arahan dalam kumpulan WhatsAap bersama ibu bapa. Jadi, anak-anak tidaklah membuang masa begitu sahaja. Antara tugasannya termasuklah menyiapkan latihan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris serta belajar Matematik melalui video yang dikongsikan oleh gurunya. Untuk mata pelajaran Pendidikan Islam pula, ustazah memberikan tugasan kepada ibu bapa supaya mengajar anak-anak mengambil wudhu' dan niat solat fardhu.
Amie kongsikan menu Mee Hoon Goreng dengan Sosej, sarapan kami pagi kelmarin sebenarnya ni. Jom kita lihat resepinya di bawah ini. Encik Suami minta Amie tambahkan lobak merah Australia yang kurus dan manis itu.
Bahan-bahan:
1 bungkus mee hoon - rendam hingga lembut - toskan airnya
5 batang sosej - hiris bulat nipis
1 batang lobak - buang kulit - hiris bulat nipis
1 pokok sawi - potong-potong
1 sudu besar kicap manis
4 sudu besar minyak
garam / gula / perasa pilihan
Bahan kisar:
5 tangkai cili kering
3 ulas bawang putih
1/2 labu bawang besar (gantikan bawang merah)
Cara memasak:
1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar sehingga terbit minyak.
2. Masukkan lobak merah bersama sosej.
3. Setelah lobak merah lembut, masukkan sayur sawi. Kacau rata.
4. Masukkan mee hoon dan kemudian tuangkan kicap manis.
5. Gaul rata.
6. Perasakan dengan garam / gula / perasa pilihan.
7. Gaul beberapa kali dan padamkan api dapur.
8. Hidangkan dengan hirisan cili merah, daun sup dan telur hancur.
Jemput!
0 comments